NUH mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak lelaki. Nama-nama anak lelakinya ialah Sem, Ham, dan Yafet. Mereka masing-masing mempunyai seorang isteri. Jadi, keluarga Nuh berjumlah lapan orang.

Sekarang, Tuhan menyuruh Nuh membuat sesuatu yang agak ganjil. Dia menyuruh Nuh membina sebuah bahtera yang besar. Saiz bahtera ini besar seperti sebuah kapal. Tetapi bentuknya adalah seperti sebuah kotak yang besar dan panjang. Tuhan berkata, “Binalah sebuah bahtera yang bertingkat tiga dan buatlah bilik-bilik di dalamnya.” Bilik-bilik tersebut akan digunakan oleh Nuh, keluarganya, dan binatang-binatang. Semua makanan yang diperlukan oleh mereka akan disimpan di sana juga.

Tuhan juga menyuruh Nuh mengecat seluruh bahtera dengan tar agar air tidak dapat meresap ke dalam bahtera. Tuhan berkata, “Aku akan memusnahkan seluruh dunia dengan mendatangkan sebuah banjir yang besar. Semua orang yang tidak berada di dalam bahtera akan mati.”

Nuh dan anak-anak lelakinya menurut perintah Yehuwa dan mereka mula membina bahtera. Tetapi orang lain hanya mengetawakan mereka dan terus membuat hal-hal yang jahat. Tidak ada sesiapa pun yang mempercayai Nuh apabila dia memberitahu mereka apa yang akan dilakukan oleh Tuhan.

Pembinaan bahtera memakan masa yang panjang kerana bahtera ini sangat besar. Akhirnya, selepas bertahun-tahun, bahtera ini siap dibina. Sekarang, Tuhan menyuruh Nuh membawa binatang-binatang ke dalam bahtera. Tuhan berkata, “Bawa seekor binatang jantan dan seekor binatang betina daripada sesetengah jenis binatang ke dalam bahtera. Bawalah juga tujuh ekor binatang daripada binatang-binatang yang lain.” Tuhan juga menyuruh Nuh membawa pelbagai jenis burung ke dalam bahtera. Nuh melakukan segala-gala yang diperintahkan oleh Tuhan.

Kemudian, Nuh dan keluarganya juga masuk ke dalam bahtera. Selepas itu, Tuhan menutup pintu bahtera. Ketika Nuh dan keluarganya berada di dalam bahtera, mereka menunggu banjir besar untuk berlaku. Bayangkanlah diri adik menunggu bersama-sama mereka di dalam bahtera itu. Adakah banjir besar akan berlaku seperti yang telah dikatakan oleh Tuhan?