APAKAH yang berbeza dalam gambar ini berbanding dengan gambar sebelumnya? Betul jawapan adik. Terdapat manusia dalam gambar ini. Mereka ialah lelaki dan perempuan yang pertama. Siapakah yang menciptakan mereka? Tuhan. Siapakah nama Tuhan? Nama-Nya ialah Yehuwa. Lelaki dan perempuan pertama pula bernama Adam dan Hawa.

Bagaimanakah Tuhan Yehuwa menciptakan Adam? Mula-mula, Dia menggunakan tanah untuk membentuk tubuh seorang lelaki yang sempurna. Kemudian, Tuhan meniup ke dalam hidung lelaki itu lalu dia mula bernafas. Maka, Adam menjadi makhluk yang hidup.

Tuhan Yehuwa memberi Adam kerja. Dia menyuruh Adam menamakan binatang-binatang mengikut jenisnya. Adam mungkin telah memerhatikan binatang-binatang ini untuk masa yang lama. Oleh itu, dia dapat memilih nama yang paling sesuai bagi binatang-binatang ini. Semasa Adam sedang menamakan binatang-binatang ini, dia telah terfikir sesuatu. Tahukah adik apa yang difikirkan oleh Adam?

Semua binatang mempunyai teman masing-masing. Di taman ini terdapat ibu gajah dan bapa gajah. Terdapat juga ibu singa dan bapa singa. Tetapi, Adam tidak mempunyai seorang teman. Oleh itu, Yehuwa membuat Adam tidur nyenyak. Semasa dia sedang tidur, Tuhan mengeluarkan satu daripada tulang rusuk Adam. Dengan tulang rusuk ini, Yehuwa membentuk seorang perempuan untuk menjadi isterinya.

Alangkah gembiranya hati Adam sekarang! Dan fikirkanlah betapa gembiranya Hawa apabila dia ditempatkan di taman yang begitu indah. Sekarang mereka dapat beranak cucu dan hidup bersama-sama dengan bahagia.

Yehuwa mahu Adam dan Hawa hidup untuk selama-lamanya. Dia mahu mereka menjadikan seluruh bumi ini cantik seperti Taman Eden. Apabila Adam dan Hawa memikirkan kerja yang akan dilakukan oleh mereka, sudah tentu mereka berasa sangat gembira! Adakah adik ingin menyertai mereka dalam kerja mencantikkan bumi ini? Malangnya, kebahagiaan Adam dan Hawa tidak berkekalan. Marilah kita lihat sebabnya.