Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 8

Umat Yehuwa Mesti Bersih dan Suci

Umat Yehuwa Mesti Bersih dan Suci

“Kamu semua mesti tetap bersih dan suci kerana Aku suci.”​—IMAMAT 11:44.

1-3. (a) Mengapakah seorang ibu memastikan bahawa anaknya bersih? (b) Mengapakah Yehuwa mahu umat-Nya bersih dan suci?

BAYANGKANLAH seorang ibu sedang membantu anaknya bersedia untuk pergi ke sekolah. Dia memastikan bahawa anaknya sudah mandi dan pakaiannya bersih dan kemas. Anak yang bersih akan lebih sihat dan memberikan tanggapan yang baik kepada orang lain.

2 Yehuwa mahu kita bersih dan suci. (Imamat 11:44, 45) Dia tahu bahawa kebersihan membawa banyak  manfaat kepada kita. Apabila kita bersih, kita akan memuliakan-Nya.​—Yehezkiel 36:22; baca 1 Petrus 2:12.

3 Apakah erti bersih dan suci? Apakah manfaatnya jika kita bersih dan suci? Marilah kita mencari jawapan kepada soalan-soalan ini dan melihat aspek mana yang perlu kita perbaiki.

MENGAPA KITA MESTI BERSIH DAN SUCI

4, 5. (a) Mengapakah kita mesti menjaga kebersihan? (b) Bagaimanakah ciptaan mengajar kita pandangan Yehuwa tentang kebersihan?

4 Yehuwa mengajar kita untuk menjadi bersih dan suci, dan Dia memberikan teladan yang baik dalam hal ini. (Imamat 19:2) Jadi sebab utama kita mesti bersih dan suci adalah kerana kita mahu ‘mengikut teladan Tuhan.’​—Efesus 5:1.

5 Ciptaan mengajar kita pandangan Yehuwa tentang kebersihan. Yehuwa menciptakan kitar semula jadi agar kita mempunyai udara dan air yang bersih. (Yeremia 10:12) Contohnya, Yehuwa telah menciptakan mikrob, iaitu benda hidup kecil yang hanya dapat dilihat dengan mikroskop. Mikrob dapat mengubah bahan buangan yang berbahaya menjadi selamat. Ahli sains menggunakan mikrob untuk membersihkan pencemaran yang diakibatkan oleh manusia.​—Roma 1:20.

6, 7. Bagaimanakah Hukum Musa menunjukkan bahawa Yehuwa menghendaki para penyembah-Nya menjaga kebersihan?

6 Hukum Musa juga mengajar kita bahawa Yehuwa menghendaki para penyembah-Nya menjaga kebersihan. Contohnya, pada Hari Pengampunan  Dosa, imam agung harus mandi sebanyak dua kali. (Imamat 16:4, 23, 24) Imam-imam lain juga harus mencuci tangan dan kaki sebelum mempersembahkan korban. (Keluaran 30:17-21; 2 Tawarikh 4:6) Dalam keadaan tertentu, orang yang mengingkari hukum-hukum tentang kebersihan akan dihukum mati.​—Imamat 15:31; Bilangan 19:17-20.

7 Kita dapat memahami pandangan Yehuwa tentang kebersihan menerusi Hukum Musa. (Maleakhi 3:6) Hukum itu menunjukkan bahawa Yehuwa menghendaki para penyembah-Nya menjaga kebersihan, dan pandangan Yehuwa tidak berubah. Dewasa ini, Dia masih menghendaki kita untuk tetap bersih dan suci.​—Yakobus 1:27.

ERTI BERSIH DAN SUCI

8. Yehuwa menghendaki kita memelihara kebersihan dari segi apa?

8 Kebersihan bukan sekadar merujuk kepada kebersihan tubuh, pakaian, dan rumah kita. Kebersihan juga merangkumi kebersihan dari segi ibadat, kelakuan, dan fikiran kita. Ya, jika kita ingin menjadi bersih di mata Yehuwa, kita perlu memelihara kebersihan dalam setiap aspek kehidupan.

9, 10. Apakah maksud ibadat yang bersih?

9 Ibadat yang bersih. Kita mesti menjauhi ibadat palsu. Semasa bangsa Israel menjadi tawanan di Babilon, mereka dikelilingi oleh orang yang menyembah tuhan-tuhan palsu. Tetapi Yesaya berkata bahawa mereka akan kembali ke Israel dan memulihkan ibadat sejati. Yehuwa menyuruh mereka, “Keluarlah  dari situ! Jangan sentuh apa-apa yang najis! Keluarlah dari situ dan pastikan bahawa kamu tetap suci.” Ibadat mereka kepada Yehuwa tidak boleh dicemari oleh ajaran, adat, atau tradisi agama-agama palsu Babilon.​—Yesaya 52:11.

10 Orang Kristian dewasa ini menjauhi agama palsu. (Baca 1 Korintus 10:21.) Banyak tradisi, adat, dan kepercayaan, berasal daripada ajaran agama palsu. Misalnya, orang percaya bahawa terdapat sesuatu dalam diri kita yang masih hidup selepas kita mati. (Pengkhutbah 9:5, 6, 10) Keluarga kita mungkin memaksa kita untuk mengikut adat-adat yang berkaitan dengan ajaran palsu ini. Tetapi kita tidak akan mengalah kerana kita mahu tetap bersih di mata Yehuwa.​—Kisah 5:29.

11. Apakah maksud kelakuan yang bersih?

11 Kelakuan yang bersih. Jika kita ingin tetap bersih di mata Yehuwa, kita mesti menjauhi semua perbuatan seks yang tidak bermoral. (Baca Efesus 5:5.) Dalam Bible, Yehuwa berfirman, “Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan seks yang tidak bermoral.” Dia menyatakan bahawa orang yang tidak bermoral dan tidak bertaubat “tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.”​—1 Korintus 6:9, 10, 18; lihat Penjelasan 22.

12, 13. Mengapakah kita perlu mempunyai fikiran yang bersih?

12 Fikiran yang bersih. Fikiran kita akan mempengaruhi perbuatan kita. (Matius 5:28; 15:18, 19) Jika kita mempunyai fikiran yang bersih, kita akan melakukan apa yang baik. Tetapi kita tidak sempurna, dan  kadangkala fikiran yang kotor akan muncul dalam minda kita. Jika kita tidak segera membuang fikiran yang kotor itu, minda kita akan tercemar dan kita mungkin tergerak untuk melakukan perbuatan yang buruk. Oleh itu, kita perlu mengisi minda kita dengan fikiran yang murni. (Baca Filipi 4:8.) Kita juga patut menjauhi hiburan yang tidak bermoral atau ganas. Maka, kita perlu berhati-hati ketika memilih apa yang kita baca, tonton, dan bualkan.​—Mazmur 19:8, 9.

13 Ya, jika kita ingin tetap dikasihi Tuhan, kita mesti tetap bersih dari segi ibadat, kelakuan, dan fikiran. Tetapi kita juga perlu bersih dari segi fizikal.

BERSIH DARI SEGI FIZIKAL

14. Mengapakah penting untuk menjaga kebersihan fizikal?

14 Apabila kita menjaga kebersihan fizikal, kita akan membawa faedah kepada diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Kita akan berasa senang hati, dan orang lain akan suka mendekati kita. Yang terpenting, kita memuliakan Yehuwa. Contohnya, jika anda nampak seorang budak yang selalu kotor, tidakkah anda akan mempunyai tanggapan yang buruk tentang ibu bapanya? Dalam cara yang sama, jika kita tidak menjaga kebersihan diri, kita akan mencemarkan nama Yehuwa. Paulus berkata, ‘Dalam apa cara sekalipun, kita tidak mahu menyebabkan orang lain tersandung supaya tugas suci kita tidak dicela. Sebaliknya, dalam segala hal kita menunjukkan bahawa kita ialah hamba Tuhan.’​—2 Korintus 6:3, 4.

Sebagai umat Yehuwa, kita perlu menjaga kebersihan diri dan persekitaran kita

15, 16. Bagaimanakah kita dapat menjaga kebersihan diri?

15 Badan dan pakaian kita. Kita perlu menjaga kebersihan  diri setiap hari. Misalnya, kita mandi setiap hari. Kita juga mencuci tangan dengan sabun dan air, terutamanya sebelum memasak atau makan, dan selepas menggunakan tandas atau menyentuh apa yang kotor. Tabiat mencuci tangan amat penting kerana dapat mencegah penyakit, dan bahkan menyelamatkan nyawa. Jika kita tidak ada tandas atau sistem kumbahan, kita masih dapat mencari jalan yang lain. Orang Israel kuno tidak ada tandas, jadi mereka membuang air besar di tempat yang jauh dari perigi dan tempat tinggal mereka, lalu menimbunnya dengan tanah.​—Ulangan 23:12, 13.

16 Kita tidak perlu membeli pakaian yang mahal atau mengikut fesyen terkini. Tetapi pakaian kita perlu bersih dan kemas. (Baca 1 Timotius 2:9, 10.) Kita  mahu memastikan bahawa kita memilih pakaian yang memuliakan Yehuwa.​—Titus 2:10.

17. Mengapakah kita perlu menjaga kebersihan rumah dan persekitaran kita?

17 Rumah dan persekitaran kita. Tidak kira di mana kita tinggal, kita perlu menjaga kebersihan. Kita juga perlu memastikan bahawa kereta, motosikal, atau basikal kita, sentiasa bersih, terutamanya jika kita menggunakannya untuk pergi ke perjumpaan atau menginjil. Semasa mengiinjil, kita mengajar orang tentang bumi firdaus yang bersih. (Lukas 23:43; Wahyu 11:18) Maka apabila kita menjaga kebersihan rumah dan persekitaran kita, kita membuktikan bahawa kita sedang bersedia untuk kehidupan di dunia baharu.

18. Mengapakah kita perlu menjaga kebersihan tempat ibadat kita?

18 Tempat ibadat kita. Kita menjaga kebersihan Dewan Perjumpaan dan tempat-tempat lain yang digunakan untuk perhimpunan atau konvensyen. Apabila orang datang ke Dewan Perjumpaan buat kali pertama dan nampak bahawa dewan kita bersih, hal ini memuliakan Yehuwa. Kita semua dapat bekerjasama untuk membersihkan dan membaiki Dewan Perjumpaan.​—2 Tawarikh 34:10.

BUANG TABIAT YANG BURUK

19. Apakah yang harus kita jauhi?

19 Bible tidak mencatatkan setiap tabiat buruk yang patut kita jauhi, tetapi Bible mengandungi prinsip-prinsip yang mengajar kita tentang pandangan Yehuwa. Dia tidak mahu kita merokok, atau menyalahgunakan dadah atau alkohol. Tabiat-tabiat  ini memendekkan nyawa kita, dan merosakkan kesihatan kita dan orang di sekeliling kita. Banyak orang menghentikan tabiat buruk ini kerana ingin menjaga kesihatan. Tetapi sebagai sahabat Tuhan, kita menjauhi tabiat-tabiat buruk ini kerana kita mengasihi Tuhan dan menghargai nyawa yang dikurniakan-Nya. Seorang wanita berkata bahawa dia hanya dapat membuang tabiat buruknya dengan bantuan Yehuwa. Maka mari kita membincangkan lima prinsip Bible yang dapat membantu kita membuang tabiat yang buruk.

20, 21. Apakah tabiat-tabiat buruk yang Yehuwa mahu kita jauhi?

20 “Marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga. Hendaklah kita takut akan Tuhan supaya kita menjadi suci dengan sepenuhnya.” (2 Korintus 7:1) Yehuwa mahu kita menjauhi tabiat buruk yang merosakkan minda dan tubuh kita.

21 Satu sebab mengapa kita harus “menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan” dicatatkan di 2 Korintus 6:17, 18. Di ayat itu, Yehuwa berfirman, “Jangan lagi menyentuh perkara yang najis.” Kemudian Dia berjanji, ‘Aku akan menerima kamu. Aku akan menjadi bapa kamu, dan kamu akan menjadi anak-anak-Ku.’ Ya, Yehuwa akan mengasihi kita seperti seorang bapa mengasihi anak-anaknya jika kita menjauhi tabiat yang buruk.

22-25. Nyatakan beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita menjauhi tabiat yang buruk.

22 ‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa dengan segenap hati, segenap jiwa, dan segenap akal.’ (Matius  22:37) Inilah hukum yang terpenting. (Matius 22:38) Kita tidak dapat berbuat demikian jika kita terus melakukan sesuatu yang membahayakan nyawa atau merosakkan minda kita. Maka kita patut berusaha sedaya upaya untuk menghargai nyawa yang telah diberikan kepada kita.

23 ‘Yehuwa memberikan kehidupan dan nafas serta segala sesuatu kepada semua orang.’ (Kisah 17:24, 25) Jika kawan anda memberi anda hadiah yang istimewa, adakah anda akan membuangnya atau merosakkannya? Pastinya tidak. Dalam cara yang sama, nyawa ialah hadiah yang menakjubkan daripada Yehuwa. Jika kita menghargai nyawa kita, kita akan hidup dalam cara yang memuliakan-Nya.​—Mazmur 36:9.

24 “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39) Tabiat yang buruk memudaratkan diri kita dan orang di sekeliling kita, terutamanya ahli keluarga kita. Misalnya, seseorang yang tidak merokok mungkin akan menghidap penyakit serius jika ahli keluarganya merokok. Maka jika kita mengasihi orang lain, kita akan menghentikan tabiat yang buruk.​—1 Yohanes 4:20, 21.

25 “Teruslah mengingatkan mereka agar taat dan patuh kepada kerajaan dan pihak berkuasa.” (Titus 3:1) Banyak kerajaan melarang rakyatnya daripada memiliki atau menyalahgunakan dadah. Memandangkan Yehuwa menyuruh kita untuk menghormati pihak kerajaan, kita akan mematuhi undang-undang sedemikian.​—Roma 13:1.

Apabila kita menjauhi tabiat yang buruk, kita memuliakan Tuhan

26. (a) Apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi sahabat Yehuwa? (b) Mengapakah kita mahu mengikut bimbingan Yehuwa?

 26 Jika kita mahu menjadi sahabat Yehuwa, kita mungkin perlu membuat perubahan. Memang tidak mudah untuk menghentikan tabiat yang buruk, tetapi kita dapat berjaya! Yehuwa berjanji bahawa Dia akan membantu kita. Dia berfirman, ‘Aku, Yehuwa, mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu. Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.’ (Yesaya 48:17) Apabila kita berusaha untuk menjadi bersih dan suci, kita sedang memuliakan Tuhan.