Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 1

Kasih Tuhan Kekal Selama-lamanya

Kasih Tuhan Kekal Selama-lamanya

“Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya. Perintah-Nya pun tidak membebankan.”​—1 YOHANES 5:3.

1, 2. Mengapakah anda mengasihi Tuhan Yehuwa?

ADAKAH anda mengasihi Tuhan? Barangkali anda amat mengasihi Yehuwa dan menganggap-Nya sebagai sahabat karib anda. Hal ini mungkin menggerakkan anda untuk membaktikan diri kepada-Nya. Sebenarnya Yehuwa mengasihi anda sebelum anda mengasihi-Nya. Bible menyatakan, “Kita menunjukkan kasih, kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.”​—1 Yohanes 4:19.

2 Bagaimanakah Dia berbuat demikian? Dia memberi kita bumi yang indah ini dan segala yang kita perlukan untuk menikmati hidup. (Matius 5:43-48; Wahyu 4:11) Dia memberi kita Bible agar kita dapat membina hubungan yang rapat dengan-Nya. Apabila kita membaca Bible, kita seolah-olah sedang mendengar-Nya, dan apabila kita berdoa, Dia mendengar doa kita. (Mazmur 65:2) Dia juga memberi kita bimbingan dan kekuatan melalui kuasa suci-Nya. (Lukas 11:13) Dia bahkan mengutus  Anak-Nya yang tersayang ke bumi untuk membebaskan kita daripada dosa dan kematian.​—Baca Yohanes 3:16; Roma 5:8.

3. Bagaimanakah kita dapat menjadi sahabat Yehuwa buat selama-lamanya?

3 Yehuwa ingin kita menjadi sahabat-Nya buat selama-lamanya. Untuk mengekalkan persahabatan dengan seseorang, kita perlu berusaha. Begitu juga, kita perlu berusaha untuk mengekalkan persahabatan dengan Yehuwa. Bible menyatakan, ‘Tetaplah berada di bawah naungan kasih Tuhan.’ (Yudas 21) Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Bible memberitahu kita, “Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya. Perintah-Nya pun tidak membebankan.”​—1 Yohanes 5:3.

ERTI MENGASIHI TUHAN

4, 5. Bagaimanakah kasih anda untuk Yehuwa mula bertumbuh?

4 Apakah yang dimaksudkan oleh Yohanes apabila dia menggunakan ungkapan “mengasihi Tuhan”? Dia sedang merujuk kepada kasih kita yang mendalam kepada Tuhan. Adakah anda ingat bila anda mula mengasihi Yehuwa?

Apabila anda membaktikan diri dan dibaptis, anda menunjukkan bahawa anda mengasihi Yehuwa dan ingin mematuhi-Nya buat selama-lamanya

5 Cuba renung kembali saat anda mengetahui bahawa Yehuwa ingin anda hidup selama-lamanya di dunia baharu. Anda belajar bahawa Dia telah membuat banyak pengorbanan, termasuk mengutus Anak-Nya ke bumi untuk mati demi anda. (Matius 20:28; Yohanes 8:29; Roma 5:12, 18) Seraya pengetahuan anda tentang kasih Yehuwa bertambah, hati  anda tergerak untuk mengasihi-Nya juga.​—Baca 1 Yohanes 4:9, 10.

6. Jika anda mengasihi seseorang, apakah yang akan anda lakukan? Kasih kepada Tuhan menggerakkan anda untuk melakukan apa?

6 Namun sekadar berkata, “Saya mengasihi Tuhan” tidak mencukupi. Jika anda mengasihi seseorang, anda akan melakukan perkara yang menyenangkan hatinya. Demikian juga, jika anda mengasihi Yehuwa, anda akan didorong untuk hidup dalam cara yang menyenangkan hati-Nya. Seraya kasih anda bertambah dalam, anda juga akan tergerak untuk membaktikan diri dan dibaptis. Dengan berbuat demikian, anda berjanji untuk menyembah Yehuwa buat selama-lamanya. (Baca Roma 14:7, 8.) Bagaimanakah anda dapat menepati janji itu?

KITA MEMATUHI PERINTAH TUHAN

7. Nyatakan beberapa perintah Yehuwa. Jika kita mengasihi-Nya, apakah yang akan kita lakukan?

7 Dalam Bible, kita belajar bahawa Yehuwa melarang kita melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, mencuri, berbohong, menjadi mabuk, dan menyembah tuhan-tuhan lain. Jika kita mengasihi Yehuwa, kita akan mematuhi perintah-Nya.​—1 Korintus 5:11; 6:18; 10:14; Efesus 4:28; Kolose 3:9.

8, 9. Meskipun Yehuwa tidak memberi kita hukum yang khusus untuk setiap situasi, bagaimanakah kita dapat membuat pilihan yang bijak? Berikan contoh.

8 Yehuwa tidak memberi kita hukum yang khusus untuk setiap situasi. Jadi bagaimanakah kita dapat menyenangkan hati-Nya jika tidak ada hukum  yang spesifik untuk membimbing kita? (Efesus 5:17) Kita boleh mengkaji prinsip-prinsip Bible. Prinsip-prinsip Bible ialah kebenaran asas yang membantu kita memahami cara pemikiran Yehuwa. Apabila kita membaca Bible, kita dapat mengenal Yehuwa dan mengetahui apa yang disukai dan apa yang dibenci oleh-Nya.​—Baca Mazmur 97:10; Amsal 6:16-19; lihat Penjelasan 1.

9 Contohnya, bagaimanakah kita dapat memilih hiburan yang sesuai? Yehuwa tidak memberi kita hukum yang spesifik tentang hal ini. Tetapi Dia memberi kita prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu kita membuat pilihan yang bijak. Dewasa ini, dunia hiburan sarat dengan unsur keganasan dan seks. Bible menyatakan bahawa Yehuwa “membenci orang yang suka akan keganasan” dan akan “menghakimi orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.” (Mazmur 11:5; Ibrani 13:4) Bagaimanakah dua prinsip ini dapat membantu kita? Jika kita mahu menyenangkan hati Yehuwa, kita patut menghindari perkara yang dibenci oleh-Nya.

10, 11. Mengapakah kita mematuhi Yehuwa?

10 Adakah kita mematuhi Yehuwa hanya kerana takut dihukum atau tidak mahu ditimpa akibat buruk? (Galatia 6:7) Tidak. Kita mematuhi Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya. Sebagaimana seorang anak ingin menggembirakan hati bapanya, kita juga ingin menggembirakan hati Yehuwa dan mendapat perkenan-Nya.​—Mazmur 5:12; Amsal 12:2; lihat Penjelasan 2.

 11 Tidak kira senang atau susah, kita mahu mematuhi semua hukum Yehuwa. (Ulangan 12:32) Kita ingin meniru teladan penulis mazmur yang berkata, “Aku menggemari perintah-Mu; sesungguhnya, aku mencintai perintah-Mu.” (Mazmur 119:47; Roma 6:17) Kita juga ingin meniru teladan Nuh, yang telah menunjukkan kasihnya kepada Yehuwa dengan ‘melakukan segala sesuatu yang diperintahkan oleh-Nya.’​—Kejadian 6:22.

12. Bagaimanakah kita dapat menggembirakan hati Yehuwa?

12 Apabila kita mematuhi Yehuwa, kita ‘menggembirakan hati-Nya.’ (Amsal 11:20; 27:11) Alangkah besarnya penghormatan kita kerana dapat menggembirakan hati Pencipta alam semesta! Yehuwa telah memberi kita kebebasan untuk memilih, dan Dia tidak pernah memaksa kita untuk mematuhi-Nya. Dia mahu kita membuat keputusan yang bijak dan memilih jalan hidup yang terbaik kerana didorong oleh kasih kita kepada-Nya.​—Ulangan 30:15, 16, 19, 20; lihat Penjelasan 3.

PERINTAH TUHAN TIDAK MEMBEBANKAN

13, 14. Mengapakah perintah-perintah Tuhan tidak terlalu susah untuk dipatuhi? Berikan contoh.

13 Adakah perintah Yehuwa tidak munasabah dan mengekang kebebasan kita? Tidak, kerana Bible menyatakan, ‘Perintah-Nya tidak membebankan.’ (1 Yohanes 5:3) Dalam bahasa Yunani, perkataan “membebankan” bererti “berat.” Perkataan ini juga digunakan untuk menggambarkan hukum yang tidak munasabah atau orang yang ingin mengawal  dan mencederakan orang lain. (Matius 23:4; Kisah 20:29, 30) Terjemahan Alkitab Berita Baik menyatakan, “Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.” Ya, perintah-perintah Yehuwa selalu munasabah dan tidak terlalu “berat” bagi kita.

14 Sebagai contoh, kawan anda meminta anda untuk membantunya berpindah ke rumahnya yang baharu. Dia telah memasukkan semua barangnya ke dalam kotak-kotak; ada kotak yang ringan dan dapat diangkat oleh satu orang, dan ada juga beberapa buah kotak yang berat dan perlu diangkat oleh dua orang. Adakah kawan anda akan meminta anda mengangkat kotak yang berat itu seorang diri? Sudah tentu tidak! Dia tidak mahu anda tercedera. Begitu juga, Yehuwa tidak akan memberi kita perintah yang terlalu susah untuk dipatuhi. (Ulangan 30:11-14) Yehuwa memahami keterbatasan kita kerana “Dia ingat bahawa kita ini debu.”​—Mazmur 103:14.

15. Mengapakah kita dapat yakin bahawa hukum Yehuwa bermanfaat kepada kita?

15 Musa memberitahu bangsa Israel bahawa jika mereka mematuhi hukum Yehuwa, mereka akan “sentiasa hidup makmur.” (Ulangan 5:28-33; 6:24) Yehuwa memberi kita hukum-Nya kerana Dia tahu apa yang terbaik bagi kita dan ingin kita menikmati cara hidup yang terbaik. (Baca Yesaya 48:17; Roma 11:33) Selain itu, Bible menyatakan bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Hal ini bererti bahawa semua tindakan dan kata-kata-Nya didorong oleh kasih.

16. Bagaimanakah kita dapat mematuhi Tuhan meskipun kita tidak sempurna dan hidup dalam dunia yang jahat?

 16 Namun kita akan menghadapi cabaran jika kita mahu mematuhi Tuhan kerana dunia ini dikuasai Syaitan, dan dia mencuba mempengaruhi kita untuk berbuat jahat. (1 Yohanes 5:19) Selain itu, kita perlu bergelut dengan ketidaksempurnaan sendiri. (Roma 7:21-25) Tetapi kasih kepada Yehuwa menguatkan kita untuk melakukan apa yang baik. Lagipun, jika kita berusaha untuk mematuhi-Nya, Yehuwa berjanji untuk memberi kita kuasa suci-Nya. (1 Samuel 15:22, 23; Kisah 5:32) Kuasa suci-Nya dapat membantu kita untuk memupuk sifat-sifat yang baik.​—Galatia 5:22, 23.

17, 18. (a) Apakah yang akan kita pelajari dalam buku ini? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam bab yang seterusnya?

17 Dalam buku ini, kita akan mempelajari cara untuk menyenangkan hati Yehuwa, dan cara untuk menerapkan prinsip-prinsip Bible dan piawaian moral Tuhan dalam hidup kita. Ingatlah bahawa Yehuwa tidak memaksa kita untuk mematuhi-Nya. Tetapi jika kita memilih untuk mematuhi-Nya, hidup kita akan bertambah baik dan kita akan mendapat kehidupan kekal. Yang terpenting, apabila kita mematuhi Tuhan, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi-Nya.​—Lihat Penjelasan 4.

18 Yehuwa telah memberi kita hati nurani untuk membantu kita mematuhi-Nya. Apakah itu hati nurani? Bagaimanakah kita dapat melatihnya? Soalan-soalan ini akan dijawab dalam bab yang seterusnya.