Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BAB 7

Tirulah Pandangan Tuhan tentang Nyawa

Tirulah Pandangan Tuhan tentang Nyawa

“Engkaulah sumber segala kehidupan.”​—MAZMUR 36:9.

1, 2. Apakah hadiah yang kita terima daripada Yehuwa?

YEHUWA memberi kita hadiah yang amat bernilai, iaitu kehidupan. (Kejadian 1:27) Dia ingin kita menjalani kehidupan yang terbaik, maka Dia memberi kita prinsip-prinsip Bible. (Ibrani 5:14) Apabila kita mematuhi prinsip-prinsip itu, kita membenarkan Yehuwa untuk melatih daya fikir kita. Hasilnya, kehidupan kita akan menjadi lebih bahagia dan kita akan lebih menghargai prinsip-prinsip itu.

2 Kehidupan di dunia ini sangat rumit. Tiada hukum Bible yang dapat meliputi setiap situasi yang mungkin timbul dalam hidup kita. Contohnya, kita mungkin perlu membuat keputusan tentang rawatan yang berkaitan dengan penggunaan darah. Tetapi Bible mengandungi prinsip-prinsip yang mengajar kita pandangan Yehuwa tentang nyawa dan darah. Jika kita memahami prinsip-prinsip itu, kita dapat memelihara hati nurani yang murni dan membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa. (Amsal 2:6-11) Marilah kita membincangkan beberapa prinsip itu.

 PANDANGAN TUHAN TENTANG NYAWA DAN DARAH

3, 4. (a) Bagaimanakah kita mengetahui pandangan Tuhan tentang darah? (b) Darah melambangkan apa?

3 Bible mengajar kita bahawa darah melambangkan nyawa, dan nyawa berharga di mata Yehuwa. Selepas Kain membunuh adiknya, Yehuwa berfirman, “Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah.” (Kejadian 4:10) Ya, di mata Yehuwa, darah Habel melambangkan nyawanya yang diragut oleh Kain.

4 Selepas Banjir pada zaman Nuh, Tuhan membenarkan manusia untuk makan daging. Tetapi Dia berfirman, “Kamu tidak boleh makan daging yang masih berdarah, kerana darah melambangkan nyawa.” (Kejadian 9:4) Perintah ini wajib dipatuhi oleh semua keturunan Nuh, termasuk kita. Jelaslah bahawa di mata Yehuwa, darah melambangkan nyawa, dan kita patut mempunyai pandangan yang sama.​—Mazmur 36:9.

5, 6. Bagaimanakah Hukum Musa menunjukkan pandangan Yehuwa tentang nyawa dan darah?

5 Dalam Hukum Musa, Yehuwa berfirman, ‘Jika sesiapa makan darah sebarang makhluk, Aku akan membinasakannya kerana nyawa setiap makhluk hidup terkandung dalam darahnya.’​—Imamat 17:10, 11.

6 Hukum Musa menyatakan bahawa apabila seekor binatang disembelih untuk dijadikan makanan, darah binatang itu harus dicurahkan ke tanah. Tindakan ini menunjukkan bahawa nyawa binatang itu dikembalikan kepada Penciptanya, Yehuwa. (Ulangan 12:16; Yehezkiel 18:4) Tetapi Yehuwa tidak menyuruh bangsa Israel untuk mengeluarkan setiap titis  darah daripada daging. Asalkan darah dicurahkan dalam cara yang betul, mereka boleh makan daging dengan hati nurani yang bersih. Dengan berbuat demikian, mereka menunjukkan bahawa mereka menghormati Yehuwa dan nyawa binatang. Hukum Musa juga menyuruh bangsa Israel mempersembahkan korban binatang untuk mendapat pengampunan dosa.​—Lihat Penjelasan 19 dan 20.

7. Bagaimanakah Daud menunjukkan bahawa dia menghargai nyawa?

7 Daud mencerminkan pandangan Tuhan tentang nyawa. Semasa berperang, para pahlawan Daud telah menyerbu perkhemahan musuh dan membahayakan nyawa mereka untuk mendapatkan air baginya. Tetapi apabila mereka membawa air itu kepada Daud, dia “menuangkan air itu ke tanah demi Yehuwa” dan berkata, “Tidak mungkin beta minum air ini kerana beta takut kepada Yehuwa. Mereka telah mempertaruhkan nyawa mereka hanya untuk membawa air ini.” Ya, Daud memahami bahawa Tuhan amat menghargai nyawa dan darah.​—2 Samuel 23:15-17.

8, 9. Apakah pandangan orang Kristian dewasa ini tentang darah?

8 Orang Kristian pada abad pertama tidak perlu mempersembahkan korban binatang lagi. Tetapi Yehuwa tetap menyuruh mereka agar “menjauhi darah.” Perintah ini sama pentingnya dengan perintah menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral dan menjauhi patung berhala.​—Kisah 15:28, 29.

Bagaimanakah saya dapat menjelaskan keputusan saya berkenaan penggunaan pecahan-pecahan kecil darah?

9 Dewasa ini, kita juga perlu mematuhi perintah ini. Kita tahu bahawa Yehuwa ialah Sumber kehidupan dan semua nyawa milik-Nya. Kita juga tahu  bahawa darah adalah suci dan melambangkan nyawa. Maka kita harus memikirkan prinsip-prinsip Bible semasa membuat keputusan tentang rawatan yang berkaitan dengan penggunaan darah.

DARAH DALAM BIDANG PERUBATAN

10, 11. (a) Apakah pandangan Saksi-Saksi Yehuwa tentang transfusi darah dan empat bahagian utama darah? (b) Apakah keputusan peribadi yang harus dibuat oleh setiap orang Kristian?

10 Saksi-Saksi Yehuwa sedar bahawa “menjauhi darah” bererti tidak meminumnya atau memakannya, tidak menerima transfusi darah (iaitu, tidak memasukkan darah ke dalam badan), tidak menderma darah, dan tidak menyimpan darah sendiri untuk kegunaan pada kemudian hari. Hal ini juga bererti tidak menerima empat bahagian utama darah, iaitu sel darah merah, sel darah putih, platelet, dan plasma.

11 Keempat-empat bahagian utama darah ini dapat dipecahkan menjadi bahagian yang lebih kecil yang dipanggil pecahan kecil darah. Setiap orang Kristian harus memutuskan sama ada dia akan menerima pecahan kecil darah ini atau tidak. Dia juga perlu memilih sama ada untuk melakukan prosedur perubatan yang menggunakan darahnya atau tidak. Setiap orang perlu membuat keputusan sendiri tentang bagaimana darahnya akan digunakan semasa pembedahan, ujian makmal, atau rawatan perubatan.​—Lihat Penjelasan 21.

12. (a) Mengapakah Yehuwa ingin kita membuat keputusan yang baik dalam hal-hal yang berkaitan dengan hati nurani kita? (b) Bagaimanakah kita dapat membuat keputusan yang bijak dalam soal perubatan?

12 Yehuwa memeriksa fikiran dan niat hati kita,  maka Dia ingin kita membuat keputusan yang baik, bahkan dalam hal-hal yang berkaitan dengan hati nurani kita. (Baca Amsal 17:3; 24:12.) Oleh itu, sebelum memilih suatu rawatan, kita perlu meminta bimbingan Yehuwa dan membuat penyelidikan supaya kita dapat membuat keputusan berdasarkan hati nurani yang terlatih. Kita tidak patut menanya orang lain apa yang akan dilakukan oleh mereka, dan mereka juga tidak patut memaksa kita mengikut keputusan mereka. Bible menyatakan, “Setiap orang harus memikul tanggungan masing-masing.”​—Galatia 6:5; Roma 14:12.

HUKUM YEHUWA MENUNJUKKAN KASIH-NYA TERHADAP KITA

13. Apakah yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa daripada hukum dan prinsip-Nya tentang darah?

13 Yehuwa selalu memberikan hukum yang bermanfaat bagi kita kerana Dia mengasihi kita. (Mazmur 19:7-11) Tetapi kita mematuhi-Nya bukan sekadar kerana hukum-Nya bermanfaat. Kita mentaati-Nya kerana kita mengasihi-Nya. Kasih kita kepada-Nya menggerakkan kita untuk menolak transfusi darah. (Kisah 15:20) Sebenarnya perintah Yehuwa untuk menjauhi darah juga melindungi kesihatan kita. Dewasa ini, banyak orang sedar akan risiko transfusi darah, dan banyak doktor berpendapat bahawa pembedahan tanpa darah lebih baik untuk kesihatan pesakit. Maka jelaslah bahawa Yehuwa memang bijaksana dan pengasih.​—Baca Yesaya 55:9; Yohanes 14:21, 23.

14, 15. (a) Apakah hukum-hukum yang diberikan oleh Yehuwa untuk melindungi umat-Nya? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru pandangan Yehuwa tentang nyawa?

 14 Dari dahulu lagi, hukum Tuhan memang membawa manfaat kepada umat-Nya. Contohnya, Tuhan memerintahkan agar bangsa Israel memasang pagar di sekeliling bumbung rumah mereka yang rata untuk mengelakkan kemalangan. (Ulangan 22:8) Tuhan juga memerintahkan agar lembu jantan yang ganas dikurung agar tidak membahayakan nyawa orang. (Keluaran 21:28, 29) Jika orang Israel tidak mematuhi hukum-hukum itu dan menyebabkan orang lain mati, mereka harus menanggung hutang darah.

15 Hukum-hukum itu menunjukkan bahawa Yehuwa menghargai nyawa. Maka kita juga patut menghargai nyawa dengan menjaga keselamatan rumah dan kereta kita, memandu dengan cermat, dan memilih rekreasi yang selamat. Sesetengah orang, terutamanya orang muda, kurang mementingkan keselamatan dan membahayakan nyawa mereka. Tetapi Tuhan tidak senang hati dengan sikap sedemikian. Dia mahu kita menghormati nyawa sendiri dan nyawa orang lain.​—Pengkhutbah 11:9, 10.

16. Apakah pandangan Yehuwa terhadap pengguguran bayi?

16 Yehuwa menghargai nyawa setiap orang, termasuk nyawa bayi yang belum lahir. Menurut Hukum Musa, jika seseorang mencederakan seorang wanita yang hamil sehingga wanita itu atau bayinya mati, meskipun orang itu tidak sengaja, dia masih bersalah di mata Yehuwa dan harus dihukum mati. (Baca  Keluaran 21:22, 23.) Jadi bayangkanlah perasaan Yehuwa apabila Dia melihat jutaan bayi yang belum lahir digugurkan setiap tahun.

17. Mengapakah wanita yang telah menggugurkan bayinya sebelum dia mempelajari Bible tidak perlu terus berasa bersalah?

17 Bagaimana pula jika seorang wanita telah menggugurkan bayinya sebelum dia mempelajari Bible? Dia boleh yakin bahawa Yehuwa akan mengampunkan dosanya atas dasar korban tebusan Yesus. (Lukas 5:32; Efesus 1:7) Jika dia benar-benar bertaubat, dia tidak perlu terus berasa bersalah. Bible menyatakan, ‘Yehuwa penuh rahmat dan belas kasihan. Sejauh matahari terbit dari matahari terbenam, sejauh itu juga Dia membuang dosa kita.’​—Mazmur 103:8-14.

BUANGLAH PERASAAN BENCI

18. Mengapakah kita harus membuang perasaan benci dari hati kita?

18 Jika kita menghormati nyawa, kita akan membuang rasa benci dari hati kita. Yohanes menulis, “Setiap orang yang membenci saudaranya merupakan pembunuh.” (1 Yohanes 3:15) Perasaan tidak suka dapat menjadi perasaan benci. Apabila kita membenci seseorang, kita akan memfitnahnya, tidak menghormatinya, dan bahkan berharap agar dia mati. (Imamat 19:16; Ulangan 19:18-21; Matius 5:22) Yehuwa dapat melihat hati kita, maka kita harus membuang perasaan benci dari hati kita.​—Yakobus 1:14, 15; 4:1-3.

19. Bagaimanakah pandangan Yehuwa terhadap keganasan patut mempengaruhi kita?

19 Jika kita menghargai nyawa, kita juga akan  menghindari segala bentuk keganasan, termasuk hiburan yang ganas. Mazmur 11:5 menyatakan, ‘Yehuwa membenci orang yang suka akan keganasan.’ Kita tidak mahu mengisi minda kita dengan kata-kata kesat dan tindakan yang ganas. Sebaliknya, kita mahu memenuhi fikiran kita dengan hal-hal yang murni dan membawa kedamaian.​—Baca Filipi 4:8, 9.

JAUHI ORGANISASI YANG TIDAK MENGHARGAI NYAWA

20-22. (a) Bagaimanakah Yehuwa memandang dunia Syaitan? (b) Bagaimanakah umat Tuhan menunjukkan bahawa mereka “bukan sebahagian daripada dunia”?

20 Dunia Syaitan tidak menghargai nyawa dan berhutang darah di mata Yehuwa. Sejak dahulu lagi, kuasa-kuasa politik telah membunuh banyak orang, termasuk hamba Tuhan. Bible menggambarkan kuasa-kuasa ini sebagai binatang yang buas dan ganas. (Daniel 8:3, 4, 20-22; Wahyu 13:1, 2, 7, 8) Dewasa ini, orang mendapat banyak keuntungan dengan menjual beli senjata. Ya, sememangnya “seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.”​—1 Yohanes 5:19.

21 Tetapi orang Kristian sejati “bukan sebahagian daripada dunia.” Itulah sebabnya mereka berpendirian neutral dalam hal politik dan peperangan. Mereka tidak membunuh dan tidak menyokong mana-mana organisasi yang berhutang darah. (Yohanes 15:19; 17:16) Apabila dianiaya, mereka tidak membalas dengan keganasan. Yesus mengajar kita untuk mengasihi orang, bahkan musuh kita.​—Matius 5:44; Roma 12:17-21.

 22 Kita juga menjauhi Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia, yang paling berhutang darah. Bible menyatakan bahawa “darah nabi-nabi, darah umat suci Tuhan, dan darah semua orang yang telah dibunuh di bumi” dijumpai di dalamnya. Maka Yehuwa menyuruh kita, “Keluarlah daripadanya, hai umat-Ku.”​—Wahyu 17:6; 18:2, 4, 24.

23. Apakah yang perlu kita lakukan untuk ‘keluar daripada Babilon Besar’?

23 ‘Keluar daripada Babilon Besar’ bererti kita meninggalkan agama palsu. Misalnya, kita perlu mengeluarkan nama kita daripada senarai ahli gereja. Selain itu, kita perlu membenci dan menolak perbuatan jahat yang diterima atau digalakkan oleh agama palsu, seperti perbuatan seks yang tidak bermoral, penglibatan dalam politik, dan ketamakan, yang telah membunuh jutaan orang sejak dahulu lagi.​—Baca Mazmur 97:10; Wahyu 18:7, 9, 11-17.

24, 25. Jelaskan bagaimana kita menikmati ketenangan minda dan hati nurani yang bersih setelah mengenal Yehuwa.

24 Sebelum mengenal Yehuwa, kita mungkin telah menyokong dunia Syaitan. Tetapi sekarang kita sudah berubah. Kita telah menerima tebusan Yesus dan membaktikan diri kepada Tuhan. ‘Yehuwa sendiri telah menyegarkan kita,’ maka kita menikmati ketenangan minda, memiliki hati nurani yang bersih, dan mendapat perkenan Tuhan.​—Kisah 3:19; Yesaya 1:18.

25 Biarpun kita pernah menyertai organisasi yang tidak menghargai nyawa, Yehuwa dapat mengampuni kita berdasarkan tebusan Yesus. Kita menghargai kehidupan yang dikurniakan Tuhan, dan kita menunjukkan  rasa syukur dengan membantu orang lain untuk meninggalkan dunia Syaitan, mengenal Yehuwa, dan menjadi sahabat-Nya.​—2 Korintus 6:1, 2.

BERITAHU ORANG TENTANG KERAJAAN TUHAN

26-28. (a) Apakah tugas yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yehezkiel? (b) Apakah tugas yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita?

26 Pada zaman kuno, Yehuwa menyuruh Yehezkiel untuk mengumumkan bahawa Yerusalem akan dimusnahkan. Yehuwa juga menyuruhnya untuk mengajar orang apa yang perlu dilakukan agar mereka selamat. Jika Yehezkiel tidak menyampaikan amaran itu, dia akan bertanggungjawab atas kematian mereka. (Yehezkiel 33:7-9) Yehezkiel menunjukkan bahawa dia menghargai nyawa dengan menyebarkan berita yang penting itu kepada sebanyak orang yang mungkin.

27 Yehuwa menyuruh kita untuk memberitahu orang bahawa dunia Syaitan akan dimusnahkan tidak lama lagi. Yehuwa juga menyuruh kita untuk membantu mereka mengenal-Nya agar mereka dapat hidup di dunia baharu. (Yesaya 61:2; Matius 24:14) Maka kita perlu menyebarkan berita ini kepada sebanyak orang yang mungkin agar kita dapat berkata, ‘Aku bersih daripada darah semua orang, kerana aku tidak pernah teragak-agak untuk memberitahu orang tentang segala tujuan Tuhan.’​—Kisah 20:26, 27.

28 Tetapi kita juga perlu bersih dalam aspek-aspek lain. Marilah kita belajar tentangnya dalam bab yang seterusnya.