Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 PELAJARAN 13

Apakah yang Akan Berlaku kepada Agama-Agama di Dunia?

Apakah yang Akan Berlaku kepada Agama-Agama di Dunia?

1. Adakah semua agama baik?

Semua agama mempunyai penganut yang berhati jujur. Berita baiknya ialah Tuhan prihatin terhadap mereka. Tetapi sedihnya, kejahatan sering berlaku atas nama agama. (2 Korintus 4:3, 4; 11:13-15) Menurut laporan berita, sesetengah agama bahkan terlibat dalam kegiatan pengganas, pembunuhan kaum, perang, dan penderaan kanak-kanak. Kejadian sebegini menyedihkan orang yang berhati jujur!​—Baca Matius 24:3-5, 11, 12.

Agama benar memuliakan Tuhan, manakala agama palsu membuat-Nya marah. Agama palsu menyebarkan ajaran yang tidak berdasarkan Bible, termasuk ajaran palsu tentang Tuhan dan keadaan orang mati. Namun, Yehuwa ingin manusia mempelajari kebenaran tentang diri-Nya.​—Baca Yehezkiel 18:4; 1 Timotius 2:3-5.

2. Apakah yang akan berlaku kepada agama-agama di dunia?

Tuhan tidak terpedaya dengan agama yang mendakwa bahawa mereka mengasihi-Nya, tetapi sebenarnya mencintai dunia Syaitan. (Yakobus 4:4) Firman Tuhan memanggil semua agama palsu sebagai “Babilon Besar.” Babilon ialah sebuah kota kuno. Agama palsu bermula di situ selepas Banjir pada zaman Nuh. Tidak lama lagi, Tuhan akan menghapuskan agama-agama yang menipu dan menindas manusia.​—Baca Wahyu 17:1, 2, 5, 16, 17; 18:8.

Namun, Yehuwa tidak lupa akan orang yang berhati jujur di serata dunia, meskipun mereka menganuti agama palsu. Dia sedang membebaskan penganut agama palsu dengan mengajar mereka kebenaran Bible.​—Baca Mikha 4:2, 5.

 3. Orang yang berhati jujur harus melakukan apa?

Agama benar menyatukan orang

Yehuwa prihatin terhadap orang yang mencintai kebenaran dan kebaikan. Dia menggesa mereka untuk meninggalkan agama palsu. Mereka yang mengasihi Tuhan rela membuat perubahan agar dapat menyenangkan hati-Nya.​—Baca Wahyu 18:4.

Pada abad pertama, orang yang berhati jujur bersukacita apabila mereka mendengar berita baik daripada para rasul. Mereka mempelajari cara hidup yang baharu daripada Yehuwa. Hasilnya, kehidupan mereka lebih gembira, bermakna, dan penuh harapan. Mereka telah memberikan teladan yang baik kepada kita kerana mereka menerima berita baik dengan mengutamakan Yehuwa dalam kehidupan.​—Baca 1 Tesalonika 1:8, 9; 2:13.

Yehuwa mengalukan-alukan mereka yang meninggalkan agama palsu untuk menyertai keluarga-Nya. Jika anda menerima jemputan Yehuwa ini, anda dapat menjadi sahabat-Nya, menyertai para penyembah-Nya, dan memperoleh hidup kekal.​—Baca Markus 10:29, 30; 2 Korintus 6:17, 18.

4. Bagaimanakah Tuhan akan membawa sukacita ke seluruh bumi?

Agama palsu bakal dimusnahkan. Hal ini ialah berita baik kerana agama palsu tidak dapat menindas, menyesatkan, dan memecahbelahkan manusia sejagat lagi. Setiap makhluk hidup dapat bersatu padu menyembah satu-satunya Tuhan yang benar.​—Baca Wahyu 18:20, 21; 21:3, 4.