Saudara Saudari yang Dikasihi,

Sebagai penyembah Yehuwa, kita amat mengasihi Firman-Nya, iaitu Bible. Kita yakin bahawa catatan Bible adalah tepat dari segi sejarah, mengandungi nasihat yang dapat dipercayai, dan membuktikan kasih Yehuwa terhadap manusia. (Mazmur 119:105; Lukas 1:3; 1 Yohanes 4:19) Kita tentu ingin membantu orang lain untuk mempelajari kebenaran yang terkandung dalam Firman Tuhan. Oleh yang demikian, kami berbesar hati untuk menerbitkan buku ini yang bertajuk, Belajar daripada Cerita-Cerita Bible. Biarlah kami menceritakan sedikit sebanyak tentang buku ini.

Terutama sekali, buku ini telah disediakan untuk kanak-kanak. Namun, maklumatnya juga bermanfaat bagi orang dewasa yang ingin mengetahui kandungan Bible dengan lebih lanjut. Memandangkan Bible sesuai untuk semua lapisan umur, kita tentu dapat meraih manfaat daripada buku ini. Pengajarannya dapat membantu kita memperoleh sukacita yang sejati.

Buku ini mengisahkan kehidupan manusia, sejak penciptaan alam semesta. Semua kisah tersebut telah dipetik daripada catatan Bible. Banyak usaha telah dicurahkan agar kisah Bible dalam buku ini disampaikan dengan jelas dan mudah difahami, dan seboleh-bolehnya mengikut urutan peristiwa yang berlaku.

Namun, buku ini tidak sekadar menceritakan kisah Bible. Kandungannya, termasuk gambar-gambar, telah disediakan dengan teliti untuk menyerlahkan perasaan watak-watak setiap cerita, serta membantu pembaca membayangkan apa yang sedang berlaku.

Buku ini menunjukkan bahawa Bible sering bertumpu kepada orang yang mentaati Yehuwa dan yang memberontak terhadap-Nya. Kisah mereka dapat memberikan iktibar kepada kita. (Roma 15:4; 1 Korintus 10:6) Buku ini mengandungi 14 bahagian. Dalam setiap bahagian, terdapat ringkasan bagi isi-isi penting yang dapat dipelajari.

 Jika anda ialah seorang ibu atau bapa, bacalah cerita-cerita dalam buku ini bersama anak anda dan bincangkan gambar-gambar yang disediakan. Kemudian, anda dan anak anda boleh membaca ayat Bible yang berkaitan dengan cerita tersebut. Bantulah anak anda untuk memahami bahawa pengajaran dalam setiap cerita adalah berdasarkan Bible. Kaedah yang sama juga boleh digunakan untuk membantu orang dewasa memahami mesej Bible secara ringkas.

Kami berharap bahawa buku ini dapat membantu semua orang yang berhati jujur untuk mempelajari Firman Tuhan dan menerapkan pengajarannya dalam kehidupan mereka. Dengan demikian, semua orang, tidak kira yang tua atau muda, juga dapat menyembah Tuhan dan menjadi sebahagian daripada keluarga rohani-Nya.

Saudara-saudara anda,

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa