Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 52

Tentera Yehuwa yang Berapi

Tentera Yehuwa yang Berapi

Raja Siria, iaitu Ben-hadad, asyik menyerang Israel. Tetapi, sebelum setiap serangan itu, Elisa memberikan amaran supaya raja Israel dapat melarikan diri. Selepas mengetahui hal ini, Ben-hadad ingin menculik Elisa. Semasa Elisa berada di Dotan, Ben-hadad mengutus tentera Siria untuk menangkapnya.

Tentera Siria tiba di Dotan pada waktu malam. Pada keesokan pagi, pembantu Elisa bangun lalu pergi ke luar. Dia nampak kota itu dikepung oleh banyak askar. Dia menjadi takut dan menjerit, “Elisa, apa yang harus kita lakukan?” Elisa menjawab, “Sebenarnya, yang menyertai kita lebih banyak daripada yang menyertai mereka.” Kemudian, Yehuwa membuka mata pembantu Elisa, dan dia melihat kawasan pergunungan yang penuh dengan kuda-kuda dan kereta kuda yang berapi.

Apabila tentera Siria ingin menangkap Elisa, dia segera berdoa, “Yehuwa, butakanlah mata mereka.” Tiba-tiba, tentera Siria berasa keliru. Biarpun mereka dapat melihat, mereka tidak tahu di mana mereka berada. Elisa pun berkata, “Kamu berada di kota yang salah. Ikutlah saya. Saya  akan bawa kamu kepada lelaki yang kamu cari itu.” Mereka pun mengikut Elisa ke Samaria, iaitu tempat tinggal raja Israel.

Setelah tiba di Samaria, barulah tentera Siria sedar akan apa yang telah berlaku. Apabila raja Israel melihat mereka, dia bertanya kepada Elisa, “Patutkah beta membunuh mereka?” Adakah Elisa menggunakan peluang ini untuk membalas dendam? Tidak. Elisa berkata, “Jangan bunuh mereka. Berilah mereka makanan dan hantarlah mereka pulang.” Jadi, raja pun mengadakan sebuah jamuan yang besar untuk tentera Siria sebelum mereka pulang.

“Inilah keyakinan kita terhadap Tuhan: Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.”​—1 Yohanes 5:14