Semasa musim kemarau, Yehuwa memberitahu Elia, “Pergilah ke Sarafat. Di sana, seorang balu akan memberi kamu makanan.” Di pintu kota itu, Elia melihat seorang balu yang sedang mengumpulkan kayu. Dia meminta air daripada balu itu. Apabila balu itu hendak pergi, Elia memanggilnya, “Berilah saya seketul roti juga.” Tetapi balu itu berkata, “Saya tidak ada roti untuk tuan. Saya hanya ada tepung dan minyak untuk membuat sedikit makanan bagi saya dan anak saya.” Elia berkata, “Yehuwa telah berjanji, jika kamu membuat roti untuk saya, tepung dan minyak kamu tidak akan habis sehinggalah hujan turun lagi di sini.”

Balu itu pun pulang dan membuat roti untuk Elia. Seperti yang dijanjikan Yehuwa, balu itu dan anaknya tidak kehabisan makanan semasa musim kemarau itu. Mereka sentiasa mempunyai tepung dan minyak.

Kemudian, sesuatu yang teruk terjadi. Anak lelaki balu itu jatuh sakit dan mati. Balu itu merayu agar Elia membantunya. Elia  mendukung anak lelaki itu ke sebuah bilik di tingkat atas rumah balu itu. Dia membaringkannya di atas katil lalu berdoa, “Yehuwa, tolonglah hidupkan anak ini.” Tahukah adik mengapa mukjizat yang bakal dilakukan oleh Yehuwa ini merupakan sesuatu yang luar biasa? Sebab tiada orang pernah dihidupkan semula. Lagipun, balu itu dan anaknya bukan orang Israel.

Selepas Elia berdoa, anak itu hidup semula dan mula bernafas! Elia berkata kepada balu itu, “Lihatlah! Anakmu sudah hidup!” Balu itu sangat gembira lalu berkata, “Tuan memang hamba Tuhan, dan firman Yehuwa yang tuan ucapkan itu memang benar.”

“Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai benih, menuai, atau memiliki gudang ataupun jelapang. Namun Tuhan memberi burung-burung itu makanan. Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?”​—Lukas 12:24