Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 43

Dosa Raja Daud

Dosa Raja Daud

Selepas Saul meninggal, Daud naik takhta pada umur 30 tahun. Beberapa tahun kemudian, dia melakukan dosa yang teruk. Pada suatu malam, semasa di bumbung istana, Daud melihat seorang wanita yang cantik. Namanya ialah Bat-syeba. Suami Bat-syeba ialah seorang askar yang bernama Uria. Daud menjemput Bat-syeba untuk datang ke istana lalu tidur bersamanya. Kemudian, Bat-syeba pun mengandung. Daud mencuba untuk menyembunyikan perbuatannya. Jadi dia memberikan arahan agar Uria diletakkan di barisan depan semasa berperang. Askar lain harus berundur supaya Uria terbunuh. Selepas Uria meninggal, Daud berkahwin dengan Bat-syeba.

Tetapi Yehuwa melihat semua perbuatan Daud yang jahat. Apakah yang dilakukan-Nya? Dia menyuruh Nabi Natan untuk berjumpa dengan Daud. Natan berkata, “Seorang lelaki yang kaya ada banyak bebiri. Tetapi dia mengambil satu-satunya bebiri seorang lelaki yang miskin. Lelaki yang miskin itu sangat menyayangi bebirinya.” Daud naik marah dan berkata, “Lelaki yang kaya itu patut mati!” Natan pun menjawab, “Tuankulah lelaki itu!” Daud berasa sangat sedih lalu berkata, “Beta telah berdosa terhadap Yehuwa.” Dosa Daud membawa banyak masalah kepada keluarganya. Yehuwa menghukum Daud, tetapi membiarkannya hidup kerana dia rendah hati dan jujur.

Daud ingin membina Rumah Tuhan, tetapi Yehuwa telah memilih anak Daud, iaitu Salomo, untuk membinanya. Jadi Daud menyediakan bahan-bahan yang diperlukan. Kemudian dia berkata, “Rumah Yehuwa haruslah indah dan mengagumkan. Salomo masih muda, jadi beta akan  membantunya mendapatkan bahan-bahan binaan.” Daud juga memberikan banyak wang dan mencari pekerja yang mahir. Selain itu, dia mengumpulkan emas dan perak, serta kayu sedar dari Tirus dan Sidon. Sebelum meninggal, Daud memberi Salomo pelan pembinaan bagi Rumah Tuhan. Dia juga berkata, “Yehuwa menyuruh ayahanda menulis semua ini untukmu. Jangan takut. Yehuwa akan membantu kamu. Kuatkan hatimu dan mulakan pembinaan itu.”

“Sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya, tetapi sesiapa yang mengakui dan meninggalkan dosanya akan mendapat belas kasihan.”​—Amsal 28:13