Semasa di Gunung Sinai, Yehuwa telah menyuruh Musa untuk membina sebuah khemah istimewa yang dipanggil khemah suci. Orang Israel dapat menyembah Tuhan di khemah itu dan membawa khemah itu bersama mereka sepanjang perjalanan mereka.

Yehuwa berkata, “Suruhlah umat-Ku membawa sumbangan untuk membina khemah suci.” Maka, orang Israel memberikan emas, perak, tembaga, batu permata, dan barang kemas. Mereka juga memberikan kain bulu, kain linen, kulit binatang, dan banyak barang yang lain. Mereka sangat murah hati sehingga Musa berkata, “Cukuplah. Kamu tidak perlu bawa lagi.”

Banyak lelaki dan wanita membantu untuk membina khemah suci. Yehuwa memberi mereka kebijaksanaan. Ada yang menjahit, menenun, atau menyulam. Yang lain pula membuat kerja pembinaan dengan menggunakan batu, emas, dan kayu.

Orang Israel membina khemah suci itu mengikut perintah Yehuwa. Mereka menjahit tirai yang cantik untuk memisahkan dua bilik di dalam khemah itu, iaitu Bilik Maha Suci dan Bilik Suci. Di dalam Bilik Maha Suci, terdapat tabut perjanjian yang diperbuat daripada kayu akasia dan emas. Tabut perjanjian mengingatkan orang Israel bahawa mereka mesti menepati janji mereka untuk mentaati Yehuwa. Di dalam Bilik Suci pula, terdapat kaki pelita emas, meja, dan mazbah untuk membakar kemenyan. Di halaman khemah suci, terdapat besen tembaga dan mazbah yang besar.

 Yehuwa memilih Harun dan anak-anak lelakinya untuk menjadi imam di khemah suci. Mereka harus menjaga khemah itu dan membakar korban untuk Yehuwa. Sekali setahun, Harun akan memasuki Bilik Maha Suci. Hanya dia yang dibenarkan untuk berbuat demikian kerana dia ialah imam agung. Di bilik itu, Harun akan mempersembahkan korban bagi dosanya sendiri, dosa keluarganya, dan dosa seluruh bangsa Israel.

Khemah suci siap dibina setahun selepas orang Israel meninggalkan Mesir. Sekarang, mereka mempunyai tempat untuk menyembah Yehuwa.

Yehuwa gembira melihat khemah suci itu, dan Dia meletakkan sekepul awan di atasnya. Jika awan itu berada di atas khemah suci, orang Israel akan terus berkhemah di tempat itu. Namun, sebaik sahaja awan itu naik, mereka akan segera berangkat. Mereka akan membawa khemah suci bersama mereka dan berjalan mengikut awan itu.

“Ketika itu, aku mendengar suara lantang yang berseru dari takhta itu, ‘Lihatlah! Khemah Tuhan ada bersama manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Tuhan sendiri akan menyertai mereka.’”​—Wahyu 21:3