Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 15

Yehuwa Tidak Pernah Melupakan Yusuf

Yehuwa Tidak Pernah Melupakan Yusuf

Semasa Yusuf di dalam penjara, Firaun Mesir mendapat suatu mimpi. Tiada orang yang tahu maksud mimpi itu. Tetapi seorang hamba Firaun berkata bahawa Yusuf dapat menjelaskan mimpi itu. Maka, Firaun segera memanggil Yusuf untuk datang.

Firaun bertanya, “Dapatkah kamu jelaskan maksud mimpi beta?” Kemudian Yusuf menjawab, “Mesir akan ada banyak makanan selama tujuh tahun. Selepas itu, kebuluran akan berlaku selama tujuh tahun. Pilihlah orang yang bijak untuk kumpulkan makanan supaya rakyat tidak mati kelaparan.” Firaun pun berkata, “Kamulah yang beta pilih! Kamu akan menjadi orang kedua yang paling berkuasa di Mesir.” Bagaimanakah Yusuf tahu maksud mimpi Firaun? Yehuwalah yang telah membantunya.

Yusuf pun mengumpulkan makanan selama tujuh tahun. Kemudian, tepat seperti yang dikatakannya, seluruh dunia kekurangan makanan. Oleh itu, banyak orang dari tempat lain datang untuk membeli makanan daripadanya. Yakub, iaitu ayah Yusuf, terdengar bahawa ada banyak makanan di Mesir. Jadi, dia menyuruh 10 orang anak lelakinya untuk membeli makanan dari Mesir.

Di sana, mereka berjumpa dengan Yusuf. Mereka tidak kenal Yusuf. Tetapi, Yusuf tahu bahawa mereka ialah abang-abangnya. Mereka semua bersujud kepadanya seperti dalam mimpi Yusuf semasa dia kecil. Yusuf ingin tahu jika abang-abangnya masih jahat seperti dahulu. Jadi dia berkata kepada mereka, “Kamu pengintip! Kamu datang untuk siasat tempat ini.” Kemudian, abang-abangnya menjawab, “Tidak. Kami berasal dari Kanaan. Kami ada 12 orang adik-beradik. Salah seorang adik kami  sudah mati. Adik yang bongsu pula ada dengan ayah kami.” Yusuf pun berkata, “Bawalah adik bongsu kamu ke sini, barulah saya akan percaya kepada kamu.” Jadi abang-abang Yusuf pun pulang.

Apabila mereka kekurangan makanan lagi, Yakub menyuruh anak-anaknya untuk pergi ke Mesir. Kali ini, mereka membawa adik bongsu mereka, iaitu Benyamin. Yusuf ingin menguji abang-abangnya. Maka, dia menyembunyikan cawan perak di dalam beg Benyamin dan menuduh bahawa mereka telah mencuri cawan itu. Apabila cawan itu dijumpai dalam beg Benyamin, abang-abangnya terkejut lalu merayu agar Benyamin tidak ditangkap. Sebaliknya, mereka rela dihukum agar adik mereka dilepaskan.

Sekarang, Yusuf sedar bahawa abang-abangnya telah berubah. Dia terharu lalu menangis dan berkata, “Saya Yusuf, adik kamu. Adakah ayah masih hidup?” Mereka terkejut setelah mendengar kata-kata Yusuf. “Janganlah salahkan diri kerana apa yang kamu lakukan dulu. Tuhan menghantar saya ke sini supaya dapat menyelamatkan kamu. Cepat, bawalah ayah datang ke sini,” kata Yusuf.

Selepas Yakub mendengar berita baik ini, dia mengikut anak-anaknya ke Mesir. Akhirnya, Yusuf dan ayahnya dapat bersama lagi selepas berpisah selama bertahun-tahun.

“Jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu juga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu.”​—Matius 6:15