Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 98

Ajaran Kristian Tersebar ke Banyak Tempat

Ajaran Kristian Tersebar ke Banyak Tempat

Para rasul mengikut perintah Yesus untuk menyebarkan berita baik. Pada tahun 47 M, para saudara di Antiokhia mengutus Paulus dan Barnabas untuk menginjil. Mereka pergi ke kawasan di Asia Kecil, seperti Derbe, Listra, dan Ikonium.

Mereka menginjil kepada semua orang, tidak kira yang miskin, kaya, tua, atau muda. Banyak orang menerima ajaran tentang Kristus. Apabila mereka menginjil kepada gabenor Siprus, iaitu Sergius Paulus, seorang ahli sihir cuba menghalang mereka. Paulus berkata kepada ahli sihir itu, “Yehuwa akan hukum kamu.” Ahli sihir itu terus menjadi buta. Setelah melihat hal itu, Gabenor Sergius mula percaya kepada Yehuwa.

Paulus dan Barnabas menginjil dari rumah ke rumah, di pasar, di rumah ibadat, dan di mana sahaja. Selepas mereka menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh di Listra, orang berfikir bahawa mereka ialah tuhan dan mula menyembah mereka. Paulus dan Barnabas menghalang mereka dan berkata, “Kami hanya orang biasa. Sembahlah Tuhan saja!” Tiba-tiba, beberapa orang Yahudi menghasut orang untuk menentang Paulus. Mereka membaling batu ke arah Paulus sehingga dia hampir mati lalu meninggalkannya di luar kota. Namun, Paulus masih hidup. Para saudara segera datang untuk menyelamatkannya. Kemudian, Paulus pergi ke Antiokhia.

Pada tahun 49 M, Paulus membuat perjalanan buat kali kedua. Selepas melawat sidang di Asia Kecil, dia pergi ke Eropah. Dia pergi ke Atena, Efesus, Filipi, Tesalonika, dan tempat yang lain. Silas, Lukas, dan seorang pemuda bernama Timotius, juga mengikutnya. Mereka menubuhkan  sidang dan meneguhkan saudara saudari di sana. Selama setahun setengah, Paulus membantu rakan seiman di Korintus. Dia menginjil, mengajar orang, dan menulis surat kepada banyak sidang. Dia juga membuat khemah untuk menyara hidupnya. Selepas beberapa waktu, dia kembali ke Antiokhia.

Pada tahun 52 M, Paulus membuat perjalanannya yang ketiga. Mula-mula, dia melawat Asia Kecil. Selama beberapa tahun, dia mengajar dan menyembuhkan orang serta membantu sidang Efesus. Setiap hari, dia memberikan ceramah di dewan sebuah sekolah. Ramai orang mendengar apa yang disampaikannya dan mengubah hidup mereka. Kemudian, Paulus melawat Filipi dan Korintus. Akhirnya, dia pergi ke Yerusalem.

“Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.”​—Matius 28:19