Tidak lama selepas dibaptis, Yesus mula menyebarkan berita ini: “Kerajaan Tuhan sudah dekat.” Apabila Yesus pergi ke Galilea dan Yudea, para pengikutnya pergi bersamanya. Semasa di rumah ibadat di Nasaret, Yesus membacakan gulungan Yesaya dengan suara yang kuat, “Yehuwa telah memberikan kuasa suci-Nya kepada saya supaya saya dapat menyebarkan berita baik.” Apakah maksudnya? Orang ramai ingin melihat Yesus melakukan mukjizat. Tetapi, sebab utama Yesus menerima kuasa suci Tuhan adalah untuk menyebarkan berita baik. Kemudian dia berkata, “Hari ini, ayat yang baru kamu dengar tadi sudah terjadi.”

Selepas itu, Yesus pergi ke Tasik Galilea dan bertemu dengan empat orang nelayan yang bernama Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah saya, dan saya akan menjadikan kamu penjala manusia.” Mereka terus meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Yesus. Mereka pergi ke seluruh Galilea dan menyebarkan berita tentang Kerajaan Yehuwa. Mereka menginjil di rumah ibadat, di pasar, dan di mana sahaja. Ramai orang mengikut mereka ke mana sahaja mereka pergi. Berita tentang Yesus tersebar luas, bahkan sampai ke Siria.

Selepas suatu ketika, Yesus memberikan kuasa kepada beberapa orang pengikutnya untuk menyembuhkan orang dan mengusir roh-roh jahat. Yang lain pula menginjil bersamanya di kota dan pekan. Beberapa wanita, termasuk Maria Magdalena, Yohana, dan Susana, menjaga keperluan Yesus dan para pengikutnya.

Setelah melatih pengikutnya, Yesus menyuruh mereka untuk mula menginjil. Banyak orang di Galilea menjadi pengikutnya dan dibaptis. Yesus berkata bahawa mereka seperti ladang yang sedia untuk dituai. Oleh itu, dia berkata, “Berdoalah supaya Yehuwa menghantar lebih banyak orang untuk kerja menuai.” Kemudian, dia memilih 70 orang murid dan mengutus mereka secara berpasangan untuk menginjil di seluruh Yudea. Mereka mengajar semua orang tentang Kerajaan Tuhan. Setelah mereka kembali, mereka tidak sabar-sabar untuk memberitahu  Yesus tentang kerja yang telah dilakukan mereka. Si Iblis tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalang kerja penyebaran.

Yesus ingin pengikutnya terus melakukan kerja yang penting ini selepas dia naik ke syurga. Dia memberitahu mereka, “Sebarkanlah berita baik ke seluruh bumi. Ajarlah orang tentang Firman Tuhan dan baptislah mereka.”

“Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.”​—Lukas 4:43