Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 CERITA 79

Yesus Melakukan Banyak Mukjizat

Yesus Melakukan Banyak Mukjizat

Yesus datang ke bumi untuk menginjil tentang Kerajaan Tuhan. Yehuwa memberi Yesus kuasa untuk melakukan mukjizat dan menunjukkan apa yang akan dilakukannya selepas menjadi Raja. Apabila orang sakit datang kepada Yesus, dia dapat menyembuhkan mereka. Orang buta dapat melihat, orang pekak dapat mendengar, orang lumpuh dapat berjalan, dan orang yang dirasuk roh-roh jahat juga disembuhkan. Jika mereka menyentuh hujung pakaian Yesus, mereka pun dapat sembuh. Orang ramai mengikutnya ke mana sahaja dia pergi. Walaupun Yesus ingin bersendirian, dia masih sudi meluangkan masa dengan mereka.

Pernah sekali, beberapa orang membawa seorang lelaki yang lumpuh ke tempat tinggal Yesus. Rumah itu sesak dengan orang. Jadi, mereka membuat lubang pada bumbung, lalu menurunkan lelaki itu. Kemudian, Yesus berkata, “Bangunlah dan berjalan!” Lelaki itu pun bangun. Orang yang melihat hal ini berasa sangat kagum.

Di sebuah pekan, 10 orang pesakit kusta menjerit kepada Yesus, “Tolonglah kami!” Pada zaman itu, pesakit kusta dilarang mendekati orang lain. Hukum Yehuwa juga menyatakan bahawa pesakit kusta yang disembuhkan harus pergi ke Rumah Tuhan. Jadi, Yesus menyuruh mereka untuk pergi ke Rumah Tuhan. Semasa dalam perjalanan, mereka disembuhkan. Tetapi, hanya seorang sahaja yang mengucapkan terima kasih kepada Yesus dan memuji Tuhan.

 Seorang wanita yang sakit selama 12 tahun ingin disembuhkan. Jadi, semasa orang ramai mengelilingi Yesus, dia datang dari belakang lalu menyentuh hujung pakaian Yesus. Dengan serta-merta, penyakitnya sembuh. Kemudian, Yesus bertanya, “Siapa sentuh saya?” Wanita itu sangat takut, tetapi dia memberitahu Yesus apa yang telah dilakukannya. Yesus menunjukkan belas kasihan kepadanya dan berkata, “Anakku, pergilah dengan damai.”

Seorang pegawai bernama Yairus merayu, “Yesus, datanglah ke rumah saya. Anak saya sangat sakit.” Tetapi, anaknya meninggal sebelum Yesus tiba. Apabila Yesus sampai di sana, dia berkata, “Janganlah menangis. Dia sedang tidur.” Kemudian, dia memegang tangan anak itu dan berkata, “Anak kecil, bangunlah.” Dia pun bangun dengan segera. Yesus menyuruh ibu bapanya untuk memberinya makanan. Bayangkan perasaan ibu bapanya!

“Tuhan telah mengurapi Yesus dengan kuasa suci-Nya dan memberinya kekuatan. Oleh sebab Tuhan menyertainya, dia dapat pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang ditindas oleh Iblis.”​—Kisah 10:38