Selepas menginjil selama setahun setengah, Yesus perlu membuat keputusan yang penting. Siapakah yang akan bekerja bersamanya? Siapakah yang akan dilatihnya untuk memimpin sidang Kristian? Untuk membuat keputusan ini, Yesus ingin mendapatkan bimbingan Yehuwa. Jadi, dia pergi ke sebuah gunung dan berdoa sepanjang malam. Pada keesokan pagi, dia memanggil pengikutnya dan memilih 12 orang rasul. Ingatkah adik siapa nama mereka? Mereka ialah Petrus, Andreas, Yakobus, Yohanes, Filipus, Bartolomeus, Tomas, Matius, Yakobus anak Alfeus, Tadius, Simon, dan Yudas Iskariot.

Andreas, Petrus, Filipus, Yakobus

Mereka akan mengikut Yesus ke mana sahaja dia pergi. Selepas melatih mereka, Yesus menyuruh mereka untuk menginjil. Yehuwa juga memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh jahat dan menyembuhkan orang yang sakit.

Yohanes, Matius, Bartolomeus, Tomas

Orang Farisi menganggap para rasul sebagai orang yang tidak berpendidikan. Tetapi, Yesus tidak berfikir begitu. Dia mempercayai mereka dan menganggap mereka sebagai sahabatnya. Dia juga memberikan latihan kepada mereka. Mereka akan bersama Yesus  pada saat yang penting dalam kehidupannya. Contohnya, sebelum kematian Yesus, dan selepas dia dibangkitkan. Seperti Yesus, kebanyakan daripada mereka berasal dari Galilea. Ada antara mereka yang sudah berkahwin.

Yakobus anak Alfeus, Yudas Iskariot, Tadius, Simon

Para rasul tidak sempurna dan melakukan kesilapan. Kadangkala, mereka bercakap tanpa berfikir, membuat keputusan yang salah, dan tidak menunjukkan kesabaran. Mereka pernah bertengkar tentang siapa yang lebih penting. Namun, mereka ialah orang yang baik dan mereka mengasihi Yehuwa. Mereka akan menjadi ahli sidang Kristian yang pertama dan memainkan peranan yang penting selepas Yesus pergi.

“Aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.”​—Yohanes 15:15