Selepas Perayaan Paska, Yesus dan pengikutnya berjalan melalui Samaria untuk pulang ke Galilea. Semasa mereka berhampiran kota Sikhar, Yesus berehat di perigi Yakub. Para pengikutnya pula pergi membeli makanan di kota.

Kemudian, seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah saya air.” Wanita itu berkata, “Kenapa tuan cakap dengan saya? Orang Yahudi tidak bercakap dengan orang Samaria.” Yesus menjawab, “Jika kamu tahu siapa saya, kamu akan minta air daripada saya, dan saya akan beri kamu air kehidupan.” Wanita itu bertanya, “Apa maksudnya? Tuan tiada bekas untuk isi air pun.” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air yang saya berikan tidak akan dahaga lagi.” Wanita itu berkata, “Berilah saya air itu.”

Jadi, Yesus menyuruh wanita itu untuk memanggil suaminya. Tetapi wanita itu berkata, “Saya tiada suami.” Yesus berkata, “Betul. Sebenarnya, kamu sudah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu.” Kemudian, wanita itu berkata, “Sekarang saya tahu tuan ialah nabi. Bangsa saya percaya kami boleh beribadat di gunung ini, tetapi bangsa Yahudi berkata orang hanya boleh beribadat di Yerusalem. Saya percaya apabila Mesias datang, dia akan mengajar kami cara untuk beribadat.” Buat pertama kali, Yesus mendedahkan siapa dirinya. Dia berkata, “Sayalah Mesias.”

 Wanita itu segera memberitahu orang Samaria di kotanya, “Saya sudah jumpa Mesias. Dia tahu segala hal tentang saya. Marilah jumpa dia!” Mereka pun pergi untuk mendengar ajaran Yesus.

Orang Samaria menjemput Yesus untuk tinggal di kota mereka. Yesus mengajar mereka selama dua hari, dan banyak orang percaya kepadanya. Mereka berkata kepada wanita Samaria itu, “Selepas mendengar kata-katanya, kami yakin bahawa dialah penyelamat yang diutus ke dunia.”

“‘Marilah!’ Hendaklah sesiapa yang dahaga datang. Hendaklah sesiapa yang menginginkan air kehidupan mendapatkannya dengan percuma.”​—Wahyu 22:17