Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 PELAJARAN 3

Rahab Percaya kepada Yehuwa

Rahab Percaya kepada Yehuwa

Bayangkan kita berada di kota Yerikho yang terletak di Kanaan. Orang Kanaan tidak percaya kepada Yehuwa. Seorang wanita bernama Rahab tinggal di kota Yerikho.

Semasa Rahab masih muda, dia mendengar cerita tentang bagaimana Musa membelah Laut Merah dan membawa orang Israel keluar dari Mesir. Dia juga mendengar bagaimana Yehuwa membantu orang Israel untuk menang semasa berperang dengan musuh. Sekarang, dia mendengar bahawa orang Israel sedang berkhemah dekat Yerikho!

Rahab menyelamatkan dua pengintip itu kerana dia percaya kepada Yehuwa

Pada suatu malam, dua orang Israel pergi ke Yerikho untuk mengintip kota itu. Mereka pergi ke rumah Rahab. Dia menjemput mereka masuk dan singgah di rumahnya. Pada malam itu juga, raja Yerikho mendengar bahawa pengintip telah masuk ke dalam kota itu dan pergi ke rumah Rahab. Jadi, raja menghantar orang untuk menangkap pengintip itu. Rahab menyembunyikan pengintip itu di atas bumbung rumah dan memberitahu orang suruhan raja, “Memang pengintip itu ada datang ke rumah saya, tetapi mereka sudah keluar dari kota. Jika kamu kejar mereka sekarang, kamu dapat menangkap mereka!” Tahukah adik mengapa Rahab menyelamatkan dua pengintip itu?— Kerana Rahab percaya kepada Yehuwa. Dia tahu Yehuwa akan memberikan tanah Kanaan kepada orang Israel.

Sebelum pengintip itu beredar, mereka berjanji bahawa Rahab dan keluarganya akan selamat semasa Yerikho dimusnahkan. Tahukah adik apa yang perlu Rahab lakukan?— Pengintip itu kata, “Ikatlah tali merah ini pada tingkap, supaya semua orang yang berada dalam rumah kamu akan selamat.” Rahab melakukan apa yang disuruh oleh pengintip itu. Apakah yang berlaku selepas itu?—

Yehuwa menyelamatkan Rahab dan keluarganya

Beberapa hari kemudian, orang Israel berkawad mengelilingi kota Yerikho secara senyap. Mereka mengelilingi kota itu sekali setiap hari, selama enam hari. Tetapi, pada hari ketujuh, mereka mengelilingi kota sebanyak tujuh kali. Kemudian, mereka semua menjerit dengan kuat. Yehuwa menyebabkan tembok-tembok di sekeliling  kota itu runtuh. Tetapi, sebuah rumah tidak runtuh! Rumah itu mempunyai tali merah di tingkap. Bolehkah adik melihat rumah itu dalam gambar?— Rahab dan keluarganya telah selamat!

Apakah yang dapat adik belajar daripada Rahab?— Rahab belajar banyak perkara menarik tentang Tuhan. Oleh itu, dia percaya kepada Yehuwa. Adik juga sedang belajar banyak perkara menarik tentang Yehuwa. Adakah adik percaya kepada Yehuwa seperti Rahab?— Sudah tentu adik percaya!