Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB LIMA BELAS

Penyembahan yang Mendapat Perkenan Tuhan

Penyembahan yang Mendapat Perkenan Tuhan
  • Adakah semua agama menyenangkan hati Tuhan?

  • Bagaimanakah kita dapat mengenal pasti agama yang benar?

  • Hari ini, siapakah penyembah Tuhan yang sejati di bumi?

1. Apakah manfaat yang boleh diraih jika kita menyembah Tuhan dalam cara yang betul?

TUHAN YEHUWA sangat mengambil berat tentang kita. Dia memberikan bimbingan-Nya dengan kasih sayang dan mahu kita mendapat manfaat daripada bimbingan-Nya. Jika kita menyembah-Nya mengikut cara yang betul, kita akan hidup bahagia dan menghindari banyak masalah. Kita juga akan mendapat berkat serta bantuan-Nya. (Yesaya 48:17) Namun demikian, terdapat ratusan agama yang mendakwa bahawa mereka mengajarkan kebenaran tentang Tuhan. Tetapi, ajaran mereka jauh berbeza, terutamanya ajaran tentang siapa Tuhan dan apa yang dikehendaki oleh-Nya daripada kita.

2. Bagaimanakah kita dapat mempelajari cara yang betul untuk menyembah Yehuwa, dan apakah contoh yang dapat membantu kita untuk memahami hal ini?

2 Bagaimanakah anda akan tahu cara yang betul untuk menyembah Yehuwa? Anda tidak perlu belajar tentang semua agama lalu membuat perbandingan. Anda hanya perlu belajar apa sebenarnya yang diajarkan dalam Bible tentang agama yang benar. Sebagai contoh, banyak negara mempunyai masalah wang palsu. Apakah yang akan anda lakukan jika anda disuruh untuk membezakan antara wang tulen dan wang palsu? Adakah  anda akan menghafal setiap ciri yang terdapat pada wang palsu di pasaran? Tidak. Sebaliknya, anda akan meneliti ciri-ciri yang terdapat pada wang tulen. Selepas anda mengetahui ciri-ciri itu, anda tentu dapat mengenal pasti wang palsu. Dalam cara yang sama, jika kita tahu caranya untuk mengenal pasti agama yang benar, kita dapat mengenal pasti agama-agama yang palsu.

3. Menurut Yesus, apakah yang mesti dilakukan jika kita menginginkan perkenan Tuhan?

3 Adalah penting untuk kita menyembah Yehuwa dalam cara yang mendapat perkenan-Nya. Ramai orang percaya bahawa semua agama menyenangkan hati Tuhan, tetapi hal ini tidak diajarkan di dalam Bible. Malahan, sekadar mengakui bahawa kita penganut agama Kristian tidak memadai. Yesus berkata bahawa ‘hanya orang yang melakukan kehendak Bapanya yang di syurga’ akan menikmati pemerintahan Tuhan. Maka, jika kita ingin mendapat perkenan Tuhan, kita mesti mempelajari kehendak Tuhan lalu melakukannya. Yesus memanggil orang yang tidak melakukan kehendak Tuhan sebagai orang yang ‘tidak mentaati Tuhan.’ (Matius 7:21-23) Agama palsu adalah seperti wang palsu yang tidak mempunyai nilai yang sebenar. Yang lebih parah lagi, agama palsu mendatangkan mudarat kepada penganutnya.

4. Apakah yang dilambangkan oleh dua jalan yang disebut oleh Yesus, dan dua jalan ini menuju ke mana?

4 Yehuwa menawarkan peluang kepada semua orang untuk mendapat kehidupan kekal di Firdaus. Tetapi, kita mesti menyembah Tuhan dalam cara yang betul dan hidup selaras dengan piawaian-Nya sekarang. Malangnya, banyak orang enggan berbuat demikian. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka [“pembinasaan,” NW] itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu. Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.” (Matius 7:13, 14, ABB) Agama benar menghalakan kita ke kehidupan abadi. Agama palsu pula memimpin kita ke pembinasaan. Yehuwa tidak mahu seorang  manusia pun dibinasakan, dan itulah sebabnya Dia memberi semua manusia peluang untuk belajar tentang-Nya. (2 Petrus 3:9) Ya, cara kita menyembah Tuhan menentukan hidup mati kita.

CARA UNTUK MENGENAL PASTI AGAMA YANG BENAR

5. Bagaimanakah kita boleh mengenal pasti penganut agama yang benar?

5 Bagaimanakah seseorang boleh menemui “jalan yang menghala ke hidup sejati”? Yesus berkata bahawa agama benar dapat dikenal pasti melalui kelakuan orang yang menganutinya. Dia berkata, “Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik.” (Matius 7:16, 17) Dalam erti kata lain, orang yang menganuti agama yang benar dapat dikenal pasti melalui kepercayaan dan tingkah laku mereka. Walaupun penganut agama yang benar tidak sempurna dan melakukan kesilapan, sebagai satu kumpulan, mereka berusaha untuk melakukan kehendak Tuhan. Mari kita bincangkan enam ciri yang membantu kita untuk mengenal pasti penganut agama yang benar.

6, 7. Apakah pandangan hamba-hamba Tuhan terhadap Bible, dan apakah contoh yang telah disediakan oleh Yesus dalam hal ini?

6 Ajaran hamba-hamba Tuhan berlandaskan Bible. Bible menyatakan, ‘Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Tuhan. Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Tuhan dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.’ (2 Timotius 3:16, 17, ABB) Hawari Paulus telah menulis kepada orang Kristian yang lain, ‘Ketika kami menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada kamu, kamu mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Tuhan. Memang perkhabaran itu daripada Tuhan!’ (1 Tesalonika 2:13) Maka, kepercayaan dan amalan agama yang benar tidak  berlandaskan pandangan manusia atau adat turun-temurun, tetapi berlandaskan Firman Tuhan yang terilham, iaitu Bible.

7 Yesus Kristus telah menyediakan contoh yang baik bagi kita. Ajarannya didasarkan pada Firman Tuhan. Dalam doa kepada Bapanya di syurga, dia berkata, “Firman-Mu adalah kebenaran.” (Yohanes 17:17, nota kaki) Yesus mempercayai Firman Tuhan, dan apa sahaja yang diajarkannya selaras dengan apa yang terkandung dalam Bible. Yesus sering menyebut, “Di dalam Alkitab tertulis.” (Matius 4:4, 7, 10) Selepas itu, Yesus memetik ayat daripada Alkitab. Dalam cara yang sama, umat Tuhan hari ini tidak mengajar orang pendapat-pendapat sendiri. Mereka percaya bahawa Bible ialah Firman Tuhan, dan ajaran mereka adalah kukuh berteraskan apa yang dinyatakan di dalamnya.

8. Penyembahan Yehuwa merangkumi apa?

8 Penganut agama yang benar menyembah Yehuwa sahaja dan memberitakan nama-Nya. Yesus menyatakan, ‘Sembahlah Yehuwa Tuhanmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ (Matius 4:10) Oleh itu, hamba-hamba Tuhan hanya menyembah Yehuwa; mereka tidak menyembah tuhan yang lain. Penyembahan mereka merangkumi kerja memberitakan nama Tuhan yang benar dan membantu orang untuk mengenali-Nya. Mazmur 83:19 (ABB) menyatakan, “Biarlah mereka tahu bahawa hanya Engkaulah TUHAN [Yehuwa], Yang Maha Tinggi di seluruh bumi!” Yesus telah menyediakan pola yang baik untuk kita. Dia membantu orang lain untuk mengenali Tuhan. Dalam doanya, dia berkata, ‘Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepadaku.’ (Yohanes 17:6) Dalam cara yang sama, penyembah sejati hari ini juga mengajar orang tentang nama Tuhan, tujuan-Nya, serta sifat-sifat-Nya.

9, 10. Bagaimanakah orang Kristian sejati memperlihatkan kasih antara satu sama lain?

9 Umat Tuhan mengasihi satu sama lain dengan tulus tanpa mementingkan diri. Yesus berkata, ‘Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikutku.’ (Yohanes 13:35) Orang Kristian pada abad pertama mengasihi  satu sama lain, seperti yang telah disebut oleh Yesus. Kasih ini yang berlandaskan prinsip Bible merentasi batas kaum, bangsa, dan kedudukan sosial. Kasih sebegini menyatupadukan orang dalam tali persaudaraan yang tidak dapat dipisahkan. (Kolose 3:14) Penganut agama palsu tidak mempunyai ikatan persaudaraan sebegini. Bagaimanakah kita tahu akan hal ini? Mereka saling membunuh atas sebab perbezaan bangsa atau kaum. Orang Kristian sejati tidak melengkapi diri dengan senjata lalu membunuh saudara Kristian mereka atau orang lain. Bible menyatakan, ‘Inilah perbezaan antara anak Tuhan dengan anak Iblis: Sesiapa tidak melakukan kehendak Tuhan, atau tidak mengasihi saudaranya, dia bukanlah anak Tuhan. Kita harus saling mengasihi. Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri.’​—1 Yohanes 3:10-12, ABB; 4:20, 21.

10 Sudah tentu, mereka yang memiliki kasih yang sejati bukan sahaja tidak akan membunuh malahan mereka juga tidak mementingkan diri. Dengan murah hati, mereka menggunakan masa, tenaga, wang, dan harta benda untuk membantu dan menggalakkan satu sama lain. (Ibrani 10:24, 25) Semasa menghadapi kesusahan, mereka saling membantu. Mereka juga memperlakukan satu sama lain dengan jujur. Mereka mengamalkan nasihat Bible yang berikut dalam kehidupan mereka: ‘Berbuatlah baik kepada semua orang.’​—Galatia 6:10.

11. Mengapakah penting untuk kita mengakui Yesus Kristus sebagai individu yang digunakan oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita?

11 Orang Kristian sejati mengakui Yesus Kristus sebagai individu yang digunakan oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita. Bible menyatakan, ‘Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Tuhan untuk menyelamatkan kita.’ (Kisah 4:12, ABB) Seperti yang telah kita pelajari di Bab 5, Yesus telah menyerahkan nyawanya sebagai tebusan untuk manusia yang patuh kepada Tuhan. (Matius 20:28) Tambahan lagi, Yesus dilantik oleh Tuhan sebagai Raja Kerajaan di syurga. Kerajaan ini  akan memerintah seluruh bumi, dan Tuhan menghendaki kita patuh kepada Yesus serta mengamalkan ajarannya jika kita ingin mendapat kehidupan yang kekal. Itulah sebabnya Bible menyatakan, “Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal, tetapi sesiapa yang tidak taat kepada Anak itu tidak akan beroleh hidup itu.”​—Yohanes 3:36.

12. Apakah erti ungkapan “bukan sebahagian daripada dunia ini”?

12 Umat Tuhan yang benar bukan sebahagian daripada dunia ini. Semasa dibicarakan di depan gabenor Roma yang bernama Pilatus, Yesus berkata, ‘Pemerintahanku bukan dari dunia ini.’ (Yohanes 18:36) Tanpa mengira negara asal, pengikut Yesus yang sejati merupakan rakyat Kerajaan Tuhan di syurga. Maka mereka tetap berkecuali atau bersikap neutral dalam hal ehwal politik dunia. Mereka tidak mengambil bahagian atau menyebelahi mana-mana pihak dalam perselisihan yang berlaku. Namun demikian, penyembah Yehuwa tidak menghalang orang lain daripada menyertai mana-mana parti politik, menjadi calon politik, atau mengundi. Walaupun penyembah Tuhan neutral dalam hal-hal politik, mereka tetap patuh kepada undang-undang. Mengapa? Kerana Firman Tuhan memerintah mereka untuk “taat kepada pemerintah.” (Roma 13:1) Namun, jika terdapat percanggahan antara tuntutan Tuhan dan tuntutan sistem politik negara mereka, penyembah Tuhan yang benar mengikut jejak para hawari yang berkata, ‘Kami harus taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’​—Kisah 5:29; Markus 12:17.

13. Apakah pandangan pengikut Yesus yang sejati terhadap Kerajaan Tuhan? Sehubungan itu, apakah yang dilakukan oleh mereka?

13 Pengikut Yesus yang sejati mengkhabarkan Kerajaan Tuhan sebagai satu-satunya harapan bagi manusia. Yesus bernubuat, ‘Berita baik tentang bagaimana Tuhan memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.’ (Matius 24:14, ABB) Pengikut Yesus Kristus yang sejati tidak menggalakkan orang untuk bergantung pada pemerintah manusia bagi menyelesaikan  masalah mereka. Sebaliknya, mereka memberitakan Kerajaan Tuhan di syurga sebagai satu-satunya harapan bagi manusia. (Mazmur 146:3) Yesus mengajar kita untuk berdoa supaya Kerajaan Tuhan yang sempurna datang. Dia berdoa, “Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati.” (Matius 6:10) Firman Tuhan menubuatkan bahawa Kerajaan Tuhan di syurga “akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain [yang kini wujud], lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya.”​—Daniel 2:44.

14. Pada pandangan anda, kumpulan agama manakah memenuhi syarat-syarat agama yang benar?

14 Berdasarkan apa yang baru dibincangkan, tanyalah diri, “Penganut agama manakah yang mendasarkan semua ajaran mereka pada Bible dan memberitakan nama Yehuwa? Kumpulan orang manakah yang meluahkan kasih dalam cara yang diarahkan oleh Yehuwa, menaruh kepercayaan pada Yesus, bukan sebahagian daripada dunia ini, dan mengkhabarkan Kerajaan Tuhan sebagai satu-satunya harapan yang sejati bagi manusia? Daripada semua agama di bumi, agama manakah yang memenuhi semua syarat ini?” Semua bukti jelas menunjukkan bahawa jawapannya ialah Saksi-Saksi Yehuwa.​—Yesaya 43:10-12.

APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?

15. Adakah sekadar mempercayai bahawa Tuhan wujud memadai? Jelaskan.

15 Untuk menyenangkan hati Tuhan, sekadar mempercayai bahawa Dia wujud tidak memadai. Bible menyatakan bahawa roh-roh jahat juga percaya bahawa Tuhan wujud. (Yakobus 2:19) Tetapi, memang nyatalah bahawa roh-roh jahat tidak melakukan kehendak Tuhan dan tidak mendapat perkenan-Nya. Untuk mendapat perkenan Tuhan, kita bukan sahaja mesti percaya bahawa Dia wujud malahan kita mesti melakukan kehendak-Nya. Kita juga mesti membebaskan diri daripada kongkongan agama palsu lalu memeluk penyembahan yang sejati.

16. Apakah yang harus dilakukan jika kita terlibat dalam agama palsu?

16 Hawari Paulus menunjukkan bahawa kita tidak boleh  mengambil bahagian dalam penyembahan palsu. Dia menulis, ‘Tinggalkanlah orang yang tidak mengenal Tuhan, dan asingkan diri daripada mereka. Janganlah berhubungan dengan sesuatu pun yang najis, maka Aku [Yehuwa] akan menerima kamu.’ (2 Korintus 6:17, ABB; Yesaya 52:11) Jadi, orang Kristian yang sejati menghindari apa-apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan penyembahan palsu.

17, 18. Apakah itu Babilon Besar, dan mengapakah penting untuk anda ‘keluar dari Babel’?

 17 Bible menunjukkan bahawa semua bentuk agama palsu merupakan cabang daripada “Babel yang besar,” atau Babilon Besar. * (Penyingkapan 17:5) Babel mengingatkan kita tentang kota Babilon pada masa lampau. Kota ini merupakan tempat di mana agama palsu bermula selepas berlakunya Banjir Besar pada zaman Nuh. Banyak ajaran dan amalan agama palsu pada masa sekarang berasal dari kota Babilon kuno. Sebagai contoh, orang Babilon menyembah tuhan tritunggal atau tiga tuhan dalam satu. Hari ini, ajaran utama dalam kebanyakan agama ialah ajaran Tritunggal. Tetapi Bible menunjukkan dengan jelas bahawa Tuhan yang benar hanyalah satu, iaitu Yehuwa, dan Yesus Kristus ialah Anak-Nya. (Yohanes 17:3) Orang Babilon kuno juga percaya bahawa manusia mempunyai jiwa yang tidak boleh mati. Mereka percaya bahawa selepas manusia mati, sesuatu dalam badan manusia akan terus hidup dan merana di suatu tempat di mana mereka diseksa. Hari ini, kebanyakan agama mengajar penganutnya bahawa jiwa atau roh seseorang tidak boleh mati dan boleh menderita di neraka berapi.

18 Oleh sebab penyembahan orang Babilon kuno tersebar ke seluruh pelosok dunia, Babilon Besar pada zaman moden ini boleh dikenal pasti sebagai empayar agama palsu sedunia. Dan Tuhan telah menubuatkan bahawa empayar agama palsu ini akan dibinasakan secara tiba-tiba. (Penyingkapan 18:8) Sekarang, adakah anda sedar akan pentingnya untuk memutuskan semua hubungan dengan Babilon Besar? Tuhan Yehuwa mahu anda ‘keluar dari Babel’ semasa anda masih sempat berbuat demikian.​—Penyingkapan 18:4.

Dengan menyembah Yehuwa bersama-sama umat-Nya, anda akan menerima berkat yang jauh melebihi pengorbanan yang dibuat

19. Apakah yang akan anda peroleh jika anda menyembah Yehuwa?

19 Sesetengah orang mungkin enggan bergaul dengan anda kerana anda membuat keputusan untuk berhenti mengambil  bahagian dalam amalan agama palsu. Namun demikian, jika anda menyembah Yehuwa dengan umat-Nya, berkat yang akan anda terima tentu jauh melebihi pengorbanan yang dibuat. Seperti murid-murid Yesus pada abad pertama yang telah meninggalkan hal-hal lain untuk mengikutinya, anda akan mempunyai banyak saudara saudari rohani. Anda akan menjadi sebahagian daripada keluarga besar yang terdiri daripada jutaan orang Kristian yang sejati dari seluruh dunia. Mereka akan memperlihatkan kasih sejati kepada anda. Dan “pada zaman yang akan datang,” anda akan mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya. (Markus 10:28-30) Barangkali suatu hari nanti, mereka yang telah menyisihkan anda kerana kepercayaan anda akan meneliti ajaran Bible lalu menjadi penyembah Yehuwa.

20. Apakah harapan masa depan untuk mereka yang menganuti agama yang benar?

20 Bible mengajar kita bahawa tidak lama lagi Tuhan akan membinasakan sistem dunia yang fasiq ini dan menggantikannya dengan dunia baru yang adil benar di bawah pemerintahan Kerajaan-Nya. (2 Petrus 3:9, 13) Dunia baru itu tentu amat menakjubkan! Dan di dalam sistem baru yang adil benar itu, hanya satu agama benar yang akan wujud. Maka, buatlah keputusan yang bijak dan ambillah langkah yang perlu untuk bergaul dengan penyembah-penyembah sejati sekarang juga.

^ per. 17 Untuk maklumat lanjut tentang mengapa Babilon Besar mewakili empayar agama palsu sedunia, sila lihat bahagian Lampiran yang bertajuk “Mengenal Pasti Identiti Babilon Besar.”