DI DALAM Bible anda, bagaimanakah ayat di Mazmur 83:18 (19) diterjemahkan? Dalam New World Translation of the Holy Scriptures, ayat ini menyatakan, “Agar mereka tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, Engkau sahajalah Yang Maha Tinggi atas seluruh bumi.” Terdapat sebilangan terjemahan lain yang menggunakan kata-kata yang hampir sama. Walau bagaimanapun, banyak terjemahan tidak menggunakan nama Yehuwa. Nama Yehuwa digantikan dengan gelaran-gelaran seperti “Tuan” atau “Tuhan.” Jadi, apakah yang patut digunakan dalam ayat Bible ini, gelaran atau nama Yehuwa?

Nama Tuhan dalam huruf Ibrani

Ayat ini menyebut tentang sebuah nama. Dalam bahasa Ibrani asal yang digunakan untuk menulis sebahagian besar Bible, sebuah nama peribadi yang unik digunakan dalam ayat ini. Dalam huruf Ibrani, nama itu dieja יהוה (YHWH). (Lihat Kejadian 2:4, nota kaki) Dalam bahasa Malaysia, nama itu diterjemahkan sebagai “Yehowa” atau “Yehuwa.” Adakah nama itu muncul dalam satu ayat Bible sahaja? Tidak. Dalam teks asal Kitab Ibrani, nama itu muncul hampir 7,000 kali!

Berapa pentingkah nama Tuhan? Perhatikan doa contoh yang diberikan oleh Yesus Kristus. Dia memulakan doa ini dengan menyatakan, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9, NW) Penubuat Yeremia berkata, “Ya TUHAN [Yehuwa], Engkau tiada taranya; Engkau sungguh perkasa, nama-Mu agung dan berkuasa.” (Yeremia 10:6, ABB) Memanglah jelas bahawa nama Tuhan adalah sangat penting. Maka, mengapakah sesetengah penterjemah mengeluarkan nama itu daripada terjemahan Bible mereka lalu menggantikannya dengan gelaran-gelaran?

Nampaknya terdapat dua sebab yang utama. Pertama, ramai orang mendakwa bahawa nama itu tidak patut digunakan kerana cara asal untuk menyebut nama itu tidak diketahui hari ini. Bahasa Ibrani kuno ditulis tanpa menggunakan huruf vokal  a, e, i, o, u. Oleh itu, hari ini, tidak seorang manusia pun yang tahu dengan pasti bagaimana orang yang hidup pada zaman Bible telah menyebut YHWH. Walau bagaimanapun, patutkah hal ini menghalang kita daripada menggunakan nama Tuhan? Sebagai contoh, nama Yesus pada zaman Bible mungkin disebut Yeshua atau Yehoshua. Yang manakah merupakan sebutan yang betul? Tidak seorang pun tahu dengan pasti. Namun, manusia di setiap penjuru bumi menyebut nama Yesus dalam cara yang berbeza-beza mengikut kebiasaan bahasa mereka. Walaupun mereka tidak tahu bagaimana namanya disebut pada abad pertama, hal ini tidak menghalang mereka daripada menggunakan namanya. Dalam cara yang sama, jika anda bercuti di negara lain, nama anda mungkin disebut dalam cara yang berbeza. Maka, ketidakpastian tentang cara untuk menyebut nama Tuhan bukanlah alasan untuk tidak menggunakan nama-Nya.

Sebab kedua yang sering diberikan berkaitan dengan satu tradisi lama orang Yahudi. Banyak dalam kalangan orang Yahudi percaya bahawa nama Tuhan tidak patut disebut. Mereka mempercayai hal ini kerana mereka salah faham akan hukum Bible yang menyatakan, ‘Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku Yehuwa, Tuhan kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku.’​—Keluaran 20:7, ABB.

Hukum ini memang melarang kita daripada menyalahgunakan nama Tuhan. Tetapi, adakah hukum ini melarang kita daripada menggunakan nama-Nya dengan hormat? Tidak sama sekali. Semua penulis Kitab Ibrani (“Perjanjian Lama”) merupakan lelaki setia yang hidup menurut Hukum yang diberikan oleh Tuhan kepada orang Israel kuno. Namun, mereka sering menggunakan nama Tuhan. Sebagai contoh, nama Tuhan dimasukkan ke dalam banyak mazmur yang dinyanyikan oleh penyembah Tuhan secara beramai-ramai. Malahan, Tuhan Yehuwa telah mengarahkan penyembah-Nya untuk berdoa menggunakan nama-Nya, dan penyembah-Nya yang setia patuh kepada-Nya. (Mazmur 148:5, 13; Kisah 2:21) Maka, sama seperti Yesus, orang Kristian hari ini tidak teragak-agak untuk menggunakan nama Tuhan dengan hormat.

Dengan menggantikan nama Tuhan dengan gelaran-gelaran, penterjemah Bible melakukan kesilapan yang besar. Mereka  menjadikan Yehuwa kelihatan seperti Tuhan yang dingin, tidak ramah, dan jauh daripada kita. Tetapi, Bible menggalakkan manusia untuk menjadi sahabat-Nya. (Mazmur 25:14) Fikirkanlah tentang hal ini. Dapatkah anda menjadi sahabat karib seseorang jika anda tidak mengetahui namanya? Dalam cara yang sama, jika orang tidak diajar tentang nama Tuhan, iaitu Yehuwa, bagaimanakah mereka boleh menjadi sahabat karib Tuhan? Tambahan lagi, jika orang tidak menggunakan nama Tuhan, mereka juga akan kekurangan pengetahuan tentang erti yang menakjubkan di sebalik nama-Nya. Apakah erti nama Tuhan?

Tuhan sendiri telah menjelaskan erti nama-Nya kepada hamba-Nya yang setia, iaitu Musa. Semasa Musa menanyakan nama Tuhan, Yehuwa menjawab, “Aku adalah Aku.” (Keluaran 3:14) Terjemahan Rotherham bagi ayat ini adalah seperti berikut: “Aku Akan Menjadi apa pun yang Aku inginkan.” Maka Yehuwa boleh menjadi apa sahaja yang diperlukan agar Dia dapat memenuhi tujuan-Nya.

Bayangkan anda dapat menjadi apa sahaja yang anda inginkan. Apakah yang akan anda lakukan untuk kawan-kawan anda? Jika salah seorang daripada kawan anda sakit tenat, anda boleh menjadi seorang doktor yang mahir lalu mengubatinya. Jika seorang lagi kawan anda mengalami kerugian kewangan, anda boleh menjadi dermawan yang kaya lalu membantunya. Namun, pada hakikatnya kemampuan anda adalah terhad. Seraya anda mempelajari Bible, anda akan kagum untuk melihat bagaimana Yehuwa dapat menjadi apa sahaja yang diperlukan agar janji-janji-Nya dikotakan. Dia berasa gembira untuk menggunakan kuasa-Nya demi mereka yang mengasihi-Nya. (2 Tawarikh 16:9) Mereka yang tidak mengetahui nama Tuhan tidak dapat menghayati pelbagai aspek keperibadian-Nya.

Maka, jelaslah bahawa nama Tuhan patut digunakan di dalam Bible. Jika kita mengetahui erti nama-Nya dan menggunakannya secara leluasa dalam penyembahan kita, kita dibantu untuk menghampiri Yehuwa, Bapa kita di syurga. *

^ per. 3 Untuk maklumat tambahan berkenaan nama Tuhan, ertinya, serta sebab nama-Nya patut digunakan dalam penyembahan kita, sila lihat brosur “Nama Tuhan” (The Divine Name That Will Endure Forever) yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.