Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 LAMPIRAN

Kebenaran Mengenai Bapa, Anak, dan Roh Kudus

Kebenaran Mengenai Bapa, Anak, dan Roh Kudus

ORANG yang mempercayai ajaran Tritunggal mengatakan bahawa Tuhan terdiri daripada tiga individu​—Bapa, Anak, dan Roh Kudus atau daya aktif. Ketiga-tiga individu ini masing-masing dikatakan setara, maha kuasa, dan tidak mempunyai permulaan. Jadi, menurut ajaran Tritunggal, Bapa merupakan Tuhan, Anak merupakan Tuhan, dan Roh Kudus juga merupakan Tuhan. Namun begitu, Tuhan hanyalah satu.

Ramai orang yang percaya akan doktrin Tritunggal mengaku bahawa mereka tidak dapat menjelaskan ajaran ini. Tetapi, mereka masih percaya bahawa doktrin ini diajarkan di dalam Bible. Sebenarnya, perkataan “Tritunggal” tidak wujud di dalam Bible. Namun, adakah konsep ini didapati dalam Bible? Untuk menjawab soalan ini, marilah kita lihat satu ayat Bible yang sering digunakan oleh mereka yang menyokong ajaran Tritunggal.

‘FIRMAN ITU SAMA DENGAN TUHAN’

Yohanes 1:1 (ABB) menyatakan, ‘Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Tuhan, dan Firman itu sama dengan Tuhan.’ Kemudian, dalam bab yang sama, hawari Yohanes jelas menunjukkan bahawa “Firman itu” ialah Yesus. (Yohanes 1:14) Oleh sebab Firman dikatakan sama dengan Tuhan, sesetengah orang membuat kesimpulan bahawa Anak dan Bapa ialah Tuhan dan mereka ialah individu yang sama.

Ingatlah bahawa pada asalnya, buku Yohanes ditulis dalam bahasa Yunani. Kemudian, teks asal ini diterjemahkan kepada bahasa-bahasa yang lain. Tetapi, sebilangan penterjemah Bible tidak menggunakan ungkapan ‘Firman itu sama dengan Tuhan.’ Mengapa? Berdasarkan pengetahuan mereka tentang bahasa Yunani yang digunakan untuk menulis Bible, penterjemah-penterjemah itu membuat kesimpulan bahawa ungkapan ‘Firman itu sama dengan Tuhan’ tidak patut diterjemahkan sedemikian. Jadi, apakah terjemahan mereka? Berikut merupakan beberapa contoh: ‘Firman itu bersifat Tuhan.’ (Berita Baik Untuk Manusia Moden) “Firman itu tuhan.” (The New Testament in an Improved Version) “Firman itu ada bersama-sama Tuhan dan mempunyai sifat yang sama dengan-Nya.” (The Translator’s New Testament) Menurut  terjemahan-terjemahan ini, Firman itu bukanlah Tuhan sendiri. * Sebaliknya, Firman dirujuk sebagai “tuhan” kerana dia mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kalangan makhluk ciptaan Yehuwa. Di sini, perkataan “tuhan” bererti “yang berkuasa.”

CARILAH FAKTA TAMBAHAN

Kebanyakan orang tidak mengetahui bahasa Yunani yang digunakan pada zaman Bible. Jadi, bagaimanakah anda dapat mengetahui apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh hawari Yohanes? Fikirkanlah contoh ini: Seorang guru menjelaskan topik tertentu kepada anak muridnya. Tetapi, murid-muridnya mendapat pemahaman yang berbeza-beza tentang penjelasan yang diberikan oleh guru mereka. Apakah yang dapat dilakukan oleh murid-murid ini? Mereka boleh mendapat penjelasan lanjut daripada guru mereka. Jika mereka mendapat lebih banyak fakta, tentu mereka dapat memahami topik tersebut dengan lebih jelas. Dalam cara yang sama, untuk memahami erti di sebalik ayat di Yohanes 1:1, anda boleh membaca atau memeriksa seluruh buku Yohanes untuk mendapat maklumat tambahan mengenai kedudukan Yesus. Pembelajaran fakta-fakta tambahan tentang topik ini dapat membantu anda untuk membuat kesimpulan yang betul.

Misalnya, perhatikan apa yang ditulis oleh Yohanes di bab 1, ayat 18: ‘Tidak seorang pun pernah melihat Tuhan [Yang Maha Kuasa].’ Tetapi, manusia pernah melihat Yesus, Anak-Nya. Yohanes menyatakan, ‘Firman itu [Yesus] sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaannya.’ (Yohanes 1:14) Maka, mungkinkah Anak ini menjadi sebahagian daripada Tuhan Yang Maha Kuasa? Yohanes juga menyatakan bahawa Firman itu ‘bersama-sama Tuhan.’ Mungkinkah seseorang berada bersama-sama orang lain dan pada masa yang sama merupakan orang itu? Tentu tidak. Lagipun, seperti yang dicatatkan di Yohanes 17:3, Yesus menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara dirinya dengan Bapanya di syurga. Dia memanggil Bapanya, ‘satu-satunya Tuhan yang benar.’ Kesimpulan yang dibuat oleh Yohanes di penghujung buku Yohanes ialah, ‘Semua ini ditulis supaya kamu percaya bahawa Yesus [ialah] Anak Tuhan, Penyelamat yang  diutus oleh Tuhan.’ (Yohanes 20:31) Perhatikan bahawa dalam ayat ini, Yesus dipanggil Anak Tuhan dan bukannya Tuhan. Maklumat tambahan ini dalam buku Yohanes menunjukkan bagaimana ayat di Yohanes 1:1 patut difahami. Yesus, Firman itu, dirujuk sebagai “tuhan” kerana dia mempunyai kedudukan yang tinggi. Tetapi dia dan Tuhan Yang Maha Kuasa bukanlah individu yang sama.

PASTIKAN FAKTA-FAKTANYA

Fikirkanlah semula tentang contoh guru serta anak muridnya. Bayangkan bahawa selepas mendengar penjelasan tambahan daripada guru mereka, sesetengah murid masih berasa ragu-ragu. Apakah yang dapat dilakukan oleh mereka? Mereka boleh mencari seorang guru yang lain untuk mendapat penjelasan mengenai topik yang sama. Jika guru yang kedua menunjukkan bahawa penjelasan guru yang pertama adalah betul, kebanyakan murid tidak akan berasa ragu-ragu lagi. Dalam cara yang sama, jika anda tidak pasti tentang apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Yohanes mengenai hubungan antara Yesus dengan Tuhan Yang Maha Kuasa, anda boleh mendapat maklumat tambahan daripada penulis Bible yang lain. Sebagai contoh, mari kita lihat apa yang ditulis oleh Matius. Berkenaan akhir sistem dunia ini, dia memetik kata-kata Yesus, “Tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu.” (Matius 24:36, ABB) Bagaimanakah ayat ini mengesahkan bahawa Yesus bukanlah Tuhan Yang Maha Kuasa?

Yesus menyatakan bahawa Bapa tahu lebih banyak daripada Anak. Tetapi, jika Yesus sama dengan Tuhan Yang Maha Kuasa, dia akan mempunyai maklumat yang sama dengan Bapanya. Maka, Anak dan Bapa dibuktikan tidak setara. Namun, sesetengah orang mungkin berkata, “Yesus berkata demikian semasa dia masih seorang manusia.” Tetapi seandainya hal ini adalah benar, bagaimana pula dengan roh kudus atau daya aktif Tuhan? Jika daya aktif merupakan Tuhan, dan adalah sama dengan Bapa, mengapakah Yesus tidak menyatakan bahawa daya aktif tahu akan apa yang diketahui oleh Bapa?

Seraya anda meneruskan pembelajaran Bible anda, anda akan mengenal lebih banyak ayat Bible lain yang akan mengukuhkan kebenaran tentang Bapa, Anak, dan daya aktif.​—Mazmur 90:2; Amsal 8:22; Kisah 7:55.

^ per. 4 Untuk perbincangan lanjut tentang Yohanes 1:1, sila lihat rencana yang bertajuk “Was the Word ‘God’ or ‘a god’?” dalam The Watchtower, 1 November 2008 yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.