Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB TUJUH

Harapan Sebenar bagi Orang Kesayangan yang Telah Mati

Harapan Sebenar bagi Orang Kesayangan yang Telah Mati
  • Bagaimanakah kita tahu bahawa pembangkitan benar-benar akan berlaku?

  • Apakah perasaan Yehuwa terhadap pembangkitan orang yang telah mati?

  • Siapakah yang akan dibangkitkan?

1-3. Apakah musuh yang sedang mengejar kita, dan mengapakah ajaran Bible dapat melegakan hati kita?

BAYANGKAN anda sedang melarikan diri daripada seorang musuh yang kejam. Dia jauh lebih kuat dan pantas daripada anda. Anda tahu bahawa dia tidak berhati perut kerana dia pernah membunuh kawan-kawan anda di depan mata anda. Tidak kira betapa cepat anda berlari, dia semakin mendekati anda. Anda hampir putus harapan. Tiba-tiba, seorang penyelamat muncul di sisi anda. Dia jauh lebih kuat daripada musuh yang sedang mengejar anda, dan dia berjanji untuk membantu anda. Anda tentu berasa lega!

2 Dalam cara yang sama, semua manusia, termasuk anda, sedang dikejar oleh musuh ini. Seperti yang telah kita pelajari dalam bab yang lepas, Bible memanggil kematian sebagai musuh manusia. Tiada seorang manusia pun dapat melarikan diri daripada musuh ini atau mengalahkannya. Kebanyakan daripada kita pernah melihat musuh ini meragut nyawa orang kesayangan kita. Tetapi Yehuwa jauh lebih kuat daripada kematian. Dia ialah Penyelamat kita yang pengasih. Dia telah membuktikan  bahawa Dia boleh mengalahkan musuh ini. Dan Dia berjanji untuk membasmi kematian untuk selama-lamanya. Bible mengajarkan bahawa “musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian.” (1 Korintus 15:26, ABB) Alangkah baiknya berita ini!

3 Marilah kita membincangkan kesan yang ditinggalkan apabila kematian meragut nyawa orang yang tersayang. Dengan demikian, kita dibantu untuk menghargai janji Yehuwa yang membawa kegembiraan. Apakah janji itu? Yehuwa berjanji bahawa orang yang telah mati akan hidup semula. (Yesaya 26:19) Mereka yang telah mati mempunyai peluang untuk hidup di bumi sekali lagi. Inilah harapan pembangkitan!

APABILA ORANG TERSAYANG MATI

4. (a) Mengapakah reaksi Yesus terhadap kematian kawannya membantu kita memahami perasaan Yehuwa? (b) Yesus telah menjalinkan persahabatan yang rapat dengan siapa?

4 Pernahkah anda kehilangan orang yang tersayang? Mungkin anda diselubungi kepedihan hati, kepiluan, dan perasaan tidak terdaya. Pada saat-saat sebegini, kita perlu merujuk kepada Firman Tuhan untuk mendapat kelegaan hati. (2 Korintus 1:4) Bible membantu kita menyelami perasaan Yehuwa dan Yesus tentang kematian. Yesus selalu mencerminkan Bapanya dengan sempurna, dan sebuah kisah dalam Bible menceritakan keperitan yang dialami oleh Yesus semasa kawannya mati. (Yohanes 14:9) Semasa di Yerusalem, Yesus biasanya melawat Lazarus dan kakaknya, Maria dan Marta. Mereka tinggal di kota Betania yang berdekatan dengan Yerusalem. Yesus menjadi kawan rapat mereka. Bible menyatakan, “Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus.” (Yohanes 11:5, ABB) Tetapi, seperti yang dipelajari dalam bab lepas, Lazarus telah mati.

5, 6. (a) Apakah reaksi Yesus semasa melihat keluarga dan kawan Lazarus meratapi kematiannya? (b) Mengapakah kesedihan yang diperlihatkan oleh Yesus dapat menggalakkan kita?

 5 Apakah perasaan Yesus semasa dia kehilangan kawannya? Kisah itu menyatakan bahawa Yesus menyertai saudara-mara dan kawan-kawan Lazarus yang sedang meratapi kematiannya. Ketika melihat mereka, hati Yesus amat tersentuh. Yesus berasa “sedih hati dan terharu.” Kemudian, “Yesus menangis.” (Yohanes 11:33, 35, ABB) Adakah kesedihan yang diperlihatkan oleh Yesus bermaksud dia telah hilang harapan? Tidak sama sekali. Yesus tahu bahawa sesuatu yang menakjubkan akan berlaku. (Yohanes 11:4) Namun, dia masih merasai keperitan dan kedukaan yang dibawa oleh kematian.

6 Sebenarnya, kesedihan yang diperlihatkan oleh Yesus dapat menggalakkan kita. Hal ini mengajar kita bahawa Yesus dan Bapanya, Yehuwa, membenci kematian. Tetapi Tuhan Yehuwa mampu menewaskan musuh ini! Mari kita lihat bagaimana Yesus menggunakan kuasa yang diberikan oleh Tuhan untuk melakukan suatu mukjizat.

“LAZARUS, KELUAR!”

7, 8. Dari sudut pandangan manusia, mengapakah tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk membantu Lazarus, tetapi apakah yang telah dilakukan oleh Yesus?

7 Lazarus telah dikebumikan di dalam sebuah gua, dan Yesus mengarahkan supaya batu penutup gua itu digulingkan ke tepi. Marta membantah kerana Lazarus telah mati selama empat hari dan mayatnya tentu sudah membusuk. (Yohanes 11:39) Dari sudut pandangan manusia, nampaknya tiada apa-apa yang dapat dilakukan.

Pembangkitan Lazarus membawa kegembiraan yang tidak terhingga.​—Yohanes 11:38-44

8 Batu penutup itu digulingkan ke tepi, dan Yesus berseru dengan suara yang kuat, “Lazarus, keluar!” Apakah yang telah berlaku? Bible menyatakan, “Lazarus pun keluar.” (Yohanes 11:43, 44) Dapatkah anda bayangkan  betapa gembiranya orang yang berada di situ? Semua orang di situ, termasuk kakak, saudara-mara, kawan-kawan, dan jiran Lazarus tahu bahawa dia telah mati. Namun, lihatlah! Lelaki yang mereka sayangi kini berdiri di hadapan mata mereka sekali lagi. Hal ini memang sukar dipercayai! Tentu mereka telah memeluk Lazarus dengan penuh sukacita. Kematian telah dikalahkan!

Elia membangkitkan anak lelaki seorang balu.​—1 Raja-Raja 17:17-24

9, 10. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan Sumber kuasa bagi pembangkitan Lazarus? (b) Apakah manfaat-manfaat yang dapat diperoleh daripada membaca kisah pembangkitan yang terdapat dalam Bible?

9 Yesus tidak mendakwa bahawa mukjizat yang menakjubkan ini dilakukan dengan kuasanya sendiri. Dalam doanya sebelum menyeru Lazarus keluar, dia menyatakan dengan jelas bahawa Yehuwa ialah Sumber pembangkitan ini. (Yohanes 11:41, 42) Ini bukanlah kali pertama Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk membangkitkan seseorang. Pembangkitan Lazarus merupakan salah satu daripada sembilan kisah pembangkitan yang tercatat dalam Firman Tuhan. * Anda akan berasa gembira seraya membaca dan mengamati kisah-kisah ini. Kisah-kisah ini mengajar kita bahawa Tuhan tidak berat sebelah kerana Dia membangkitkan orang yang tua dan muda, lelaki dan perempuan, orang Israel dan bukan Israel. Betapa besarnya sukacita yang digambarkan dalam kisah-kisah ini! Sebagai contoh, semasa Yesus membangkitkan seorang gadis kecil, ibu bapanya sangat kagum dan gembira. (Markus 5:42) Ya, Yehuwa telah memberkati mereka dengan kegembiraan yang sukar dilupakan.

Rasul Petrus membangkitkan seorang wanita Kristian yang bernama Dorkas.​—Kisah 9:36-42

10 Memang tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang dibangkitkan oleh Yesus akhirnya mati juga. Tetapi adakah hal ini bermaksud bahawa pembangkitan mereka  adalah sia-sia sahaja? Tidak, kerana kisah-kisah ini memberi kita harapan dan mengesahkan kebenaran-kebenaran penting yang terdapat dalam Bible.

BELAJAR DARIPADA KISAH PEMBANGKITAN

11. Bagaimanakah kisah pembangkitan Lazarus mengesahkan kebenaran yang tercatat di Pengkhutbah 9:5?

11 Bible mengajar kita bahawa orang yang telah mati “tidak tahu apa-apa pun.” Mereka tidak hidup atau wujud di tempat yang lain. Kisah Lazarus mengesahkan hal ini. Selepas Lazarus dibangkitkan, adakah dia memukau orang dengan cerita-cerita tentang keadaan di syurga? Atau adakah dia menakutkan mereka dengan cerita-cerita tentang neraka berapi? Tidak. Bible tidak menyatakan bahawa Lazarus telah berbuat demikian. Sepanjang masa dia mati, iaitu selama empat hari, dia “tidak tahu apa-apa pun.” (Pengkhutbah 9:5) Lazarus hanya tidur dalam kematian.​—Yohanes 11:11.

12. Bagaimanakah kita boleh pasti bahawa pembangkitan Lazarus benar-benar berlaku?

12 Kisah Lazarus juga mengajar kita bahawa pembangkitan benar-benar telah berlaku dan bukannya cerita rekaan semata-mata. Yesus membangkitkan Lazarus di hadapan sekumpulan orang. Malah, pemimpin-pemimpin agama yang membenci Yesus juga tidak menafikan bahawa mukjizat ini telah berlaku. Sebaliknya, mereka berkata, “Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini [Yesus] melakukan banyak mukjizat!” (Yohanes 11:47) Ramai orang pergi untuk melihat Lazarus yang telah dibangkitkan. Hasilnya, lebih ramai orang menaruh kepercayaan pada Yesus. Mereka sedar pembangkitan Lazarus merupakan bukti nyata yang menunjukkan bahawa Yesus diutus oleh Tuhan. Oleh sebab bukti ini begitu kuat, sesetengah pemimpin agama Yahudi yang berhati keras merancang untuk membunuh Yesus dan Lazarus.​—Yohanes 11:53; 12:9-11.

13. Apakah dasar untuk mempercayai bahawa Yehuwa benar-benar berupaya membangkitkan orang yang telah mati?

 13 Adakah kepercayaan tentang pembangkitan tidak munasabah atau tidak berasas? Tidak, kerana Yesus pernah mengajar bahawa masanya akan tiba apabila “semua orang mati” akan dibangkitkan. (Yohanes 5:28) Yehuwa ialah Pencipta semua kehidupan. Maka, patutkah kita meragui bahawa Dia boleh menciptakan semula kehidupan? Sama ada Yehuwa boleh membangkitkan orang yang telah mati atau tidak bergantung pada daya ingatan-Nya. Dapatkah Dia ingat akan orang kesayangan kita yang telah mati? Seluruh alam semesta dipenuhi dengan bintang yang tidak terkira banyaknya. Namun, Yehuwa dapat menamakan setiap satu daripada bintang ini! (Yesaya 40:26) Maka, jika Tuhan Yehuwa boleh berbuat demikian, sudah tentu Dia dapat mengingat segala-galanya tentang orang kesayangan kita, dan Dia mampu membangkitkan mereka.

14, 15. Seperti yang dikatakan oleh Ayub, apakah perasaan Yehuwa terhadap pembangkitan orang yang telah mati?

14 Apakah perasaan Yehuwa terhadap pembangkitan orang yang telah mati? Bible mengajarkan bahawa Dia ingin sekali membangkitkan orang yang telah mati. Seorang lelaki setia yang bernama Ayub pernah bertanya, “Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup lagi?” Ayub sedang bercakap tentang orang di perkuburan yang telah mati dan yang sedang menantikan saatnya Tuhan mengingati mereka. Kemudian, Ayub berkata kepada Yehuwa, “Engkau akan memanggil aku, dan aku akan memberikan jawapan, dan Engkau akan mengasihi aku, makhluk yang Engkau jadikan.”​—Ayub 14:13-15, ABB.

15 Bayangkanlah hal ini! Yehuwa benar-benar ingin membangkitkan orang yang telah mati. Tidakkah hal ini menyentuh hati anda? Tetapi mengenai pembangkitan  pada masa hadapan, siapakah yang akan dibangkitkan, dan di mana?

SEMUA DI DALAM INGATAN TUHAN

16. Apakah keadaan di bumi pada masa hadapan apabila orang yang telah mati dibangkitkan?

16 Kisah pembangkitan di dalam Bible telah banyak mengajar kita tentang pembangkitan pada masa hadapan. Pada masa dahulu, orang yang telah dibangkitkan di bumi disatukan dengan orang kesayangan mereka. Pada masa hadapan, perkara yang sama akan berlaku. Bahkan pembangkitan pada masa hadapan adalah jauh lebih baik. Seperti yang telah kita pelajari dalam Bab 3, tujuan Tuhan adalah supaya seluruh bumi menjadi sebuah firdaus. Oleh itu, orang yang telah mati tidak akan dibangkitkan ke bumi yang penuh dengan peperangan, jenayah, dan penyakit. Mereka akan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di bumi dalam keadaan yang aman dan bahagia.

17. Siapakah yang akan dibangkitkan?

17 Siapakah yang akan dibangkitkan? Yesus mengatakan bahawa semua di dalam ingatan Tuhan ‘akan mendengar suaranya [Yesus], lalu keluar dari kubur.’ (Yohanes 5:28, 29) Dalam cara yang sama, Penyingkapan 20:13 menyatakan, “Laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut dan alam maut [harfiah: Hades] pun menyerahkan orang mati yang di situ.” Hades merujuk kepada perkuburan umum manusia. (Sila lihat bahagian Lampiran yang bertajuk “Apakah Itu Sheol dan Hades?”) Perkuburan umum ini akan dikosongkan. Berbilion-bilion orang yang sudah mati dan berada di dalam perkuburan umum ini akan hidup semula. Hawari Paulus berkata, “Semua orang akan dibangkitkan daripada kematian—orang baik [“adil benar,” NW], mahupun orang jahat [“tidak adil benar,” NW]!” (Kisah 24:15) Apakah yang dimaksudkannya?

Di Firdaus, mereka yang telah mati akan dibangkitkan dan disatukan dengan orang kesayangan mereka

18. Siapakah yang termasuk dalam golongan orang yang “adil benar” yang akan dibangkitkan, dan bagaimanakah harapan ini boleh mempengaruhi anda?

 18 Orang yang “adil benar” merangkumi ramai orang yang hidup pada zaman Bible sebelum Yesus datang ke bumi. Mereka mempunyai kepercayaan yang teguh pada Tuhan. Contohnya Nuh, Abraham, Sara, Musa, Rut, Ester, dan ramai lagi. Sesetengah daripada mereka disebut di bab 11 dalam buku Ibrani. Selain itu, orang yang “adil benar” juga merangkumi hamba-hamba Yehuwa yang mati pada zaman kita. Oleh sebab kita mempunyai harapan pembangkitan, kita tidak perlu berasa takut akan kematian.​—Ibrani 2:15.

19. Siapakah orang yang “tidak adil benar,” dan apakah peluang yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka?

19 Berbilion-bilion orang tidak menyembah atau mematuhi Yehuwa kerana mereka tidak berpeluang untuk mengenali-Nya. Apakah yang akan berlaku kepada orang yang “tidak adil benar” ini? Tuhan tidak akan melupakan mereka. Tuhan juga akan membangkitkan mereka dan memberi mereka masa yang mencukupi untuk mengenali dan menyembah-Nya. Dalam tempoh seribu tahun, orang yang telah mati akan dibangkitkan dan diberi peluang untuk menyembah Yehuwa bersama-sama orang yang setia di bumi. Hal ini menakjubkan, bukan? Dalam Bible, tempoh masa ini dikenali sebagai Hari Penghakiman. *

20. Apakah itu Gehena, dan siapakah yang pergi ke sana?

20 Adakah hal ini bermaksud bahawa setiap manusia yang pernah hidup akan dibangkitkan? Tidak. Bible menyatakan bahawa sesetengah orang yang telah mati berada di Gehena, yang diterjemahkan sebagai “neraka” di dalam Bible bahasa Malaysia. (Lukas 12:5) Nama Gehena berasal daripada tempat pelupusan sampah yang  terletak di luar kota Yerusalem kuno. Mayat dan sampah sarap dibakar di sana. Orang Yahudi menganggap mayat-mayat yang dibuang di sana tidak layak dikebumikan atau dibangkitkan. Oleh itu, Gehena merupakan lambang yang sesuai bagi pemusnahan yang kekal. Walaupun Yesus akan menghakimi orang yang hidup dan orang yang telah mati, Yehuwa ialah Hakim yang akan membuat keputusan muktamad. (Kisah 10:42) Dia tidak akan membangkitkan orang fasiq yang enggan berhenti melakukan perkara yang jahat.

PEMBANGKITAN KE SYURGA

21, 22. (a) Apakah pembangkitan lain yang dicatatkan di dalam Bible? (b) Siapakah individu pertama yang dibangkitkan sebagai makhluk roh?

21 Bible juga menyebut tentang pembangkitan yang lain, iaitu pembangkitan ke syurga sebagai makhluk roh. Bible hanya mengandungi satu contoh pembangkitan sebegini, iaitu pembangkitan Yesus Kristus.

22 Selepas Yesus dibunuh, Yehuwa tidak mengizinkan Anak-Nya yang setia untuk terus berada di dalam kubur. (Mazmur 16:10; Kisah 13:34, 35) Tuhan membangkitkan Yesus, tetapi bukan sebagai seorang manusia. Hawari Petrus menjelaskan bahawa Kristus telah “dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani.” (1 Petrus 3:18) Mukjizat ini memang mukjizat yang mengagumkan. Yesus telah dihidupkan kembali sebagai makhluk roh yang berkuasa! (1 Korintus 15:3-6) Yesus merupakan individu yang pertama yang dibangkitkan ke syurga. (Yohanes 3:13) Tetapi, dia bukanlah individu terakhir yang akan mengalami pembangkitan sebegini.

23, 24. Siapakah yang akan membentuk golongan orang ‘yang kecil bilangannya,’ dan berapakah jumlah mereka?

23 Tidak lama sebelum Yesus mati, dia memberitahu  pengikut-pengikutnya yang setia bahawa dia akan kembali ke syurga dan “menyediakan tempat” untuk mereka di sana. (Yohanes 14:2) Yesus merujuk kepada mereka yang akan pergi ke syurga sebagai golongan orang ‘yang kecil bilangannya.’ (Lukas 12:32) Berapa ramaikah orang Kristian yang akan membentuk kumpulan kecil ini? Di Penyingkapan 14:1 (ABB), hawari Yohanes berkata, ‘Kemudian aku melihat dan nampak Anak Domba [Yesus  Kristus] berdiri di atas Bukit Sion. Bersama-samanya berdiri 144,000 orang yang pada dahi mereka tertulis namanya dan nama Bapanya.’

24 Semua 144,000 orang Kristian ini, termasuk hawari-hawari Yesus yang setia, dibangkitkan ke syurga. Bilakah pembangkitan ini berlaku? Hawari Paulus menulis bahawa pembangkitan ini akan berlaku semasa kehadiran Kristus. (1 Korintus 15:23) Seperti yang anda akan belajar di Bab 9, kita sedang hidup pada masa itu. Oleh itu, baki golongan 144,000 orang yang masih berada di bumi sekarang akan dibangkitkan ke syurga dengan serta-merta apabila mereka mati. (1 Korintus 15:51-55) Tetapi, kebanyakan manusia mempunyai harapan untuk dibangkitkan pada masa hadapan dan hidup di Firdaus di bumi.

25. Apakah yang akan dibincangkan dalam bab yang seterusnya?

25 Ya, Yehuwa akan menghapuskan musuh kita, iaitu kematian, untuk selama-lamanya! (Yesaya 25:8) Tetapi, anda mungkin bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh mereka yang dibangkitkan ke syurga?” Mereka akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Tuhan di syurga. Kita akan belajar tentang kerajaan yang mengagumkan ini secara lebih lanjut dalam bab yang seterusnya.

^ per. 19 Untuk keterangan lanjut tentang Hari Penghakiman dan dasar untuk penghakiman, sila rujuk bahagian Lampiran yang bertajuk “Apakah Itu Hari Penghakiman?