Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB TIGA

Apakah Tujuan Tuhan bagi Bumi?

Apakah Tujuan Tuhan bagi Bumi?
  • Apakah tujuan Tuhan bagi umat manusia?

  • Bagaimanakah Tuhan dicabar?

  • Bagaimanakah keadaan hidup di bumi pada masa hadapan?

1. Apakah tujuan Tuhan bagi bumi?

TUJUAN Tuhan bagi bumi sangat menakjubkan. Yehuwa mahu bumi ini dipenuhi dengan manusia yang sihat dan gembira. Bible menyatakan bahawa Tuhan “membuat taman di Eden” dan Dia “menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik.” Selepas Tuhan menciptakan pasangan manusia yang pertama, iaitu Adam dan Hawa, Dia menempatkan mereka di taman yang indah itu. Dia memberitahu mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, supaya keturunan kamu menduduki seluruh muka bumi dan menguasainya.” (Kejadian 1:28; 2:8, 9, 15) Maka, tujuan Tuhan bagi manusia adalah supaya mereka beranak cucu, memperluas sempadan firdaus ke seluruh bumi, dan menjaga binatang-binatang.

2. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa tujuan Tuhan bagi bumi akan terlaksana? (b) Menurut Bible, orang yang macam mana akan hidup di bumi untuk selama-lamanya?

2 Pada pandangan anda, adakah tujuan Tuhan Yehuwa bagi manusia untuk tinggal di bumi firdaus akan dicapai? Tuhan sendiri berkata, “Apa yang Aku firmankan pasti Aku laksanakan.” (Yesaya 46:9-11; 55:11) Ya, Tuhan pasti akan  melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh-Nya! Dia berkata bahawa Dia tidak menciptakan bumi untuk menjadi “suatu tempat yang lengang” tetapi “Dia menjadikan bumi tempat kediaman manusia.” (Yesaya 45:18) Tuhan ingin orang yang macam mana untuk hidup di bumi? Dia ingin mereka hidup di bumi untuk berapa lama? Bible menjawab, “Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.”​Mazmur 37:29, ABB; Penyingkapan 21:3, 4.

3. Apakah keadaan menyedihkan yang wujud di bumi sekarang, dan apakah soalan-soalan yang timbul?

3 Memang jelas, hal ini belum berlaku lagi. Sekarang orang jatuh sakit dan mati; malah mereka bergaduh dan saling membunuh. Apakah yang telah berlaku? Sudah pasti Tuhan tidak bertujuan supaya bumi kita mengalami keadaan seperti yang dilihat sekarang! Maka, mengapakah tujuan Tuhan belum dicapai lagi? Tiada sebarang buku sejarah yang ditulis oleh manusia boleh menjawab soalan ini kerana masalah ini bermula di syurga.

ASAL USUL MUSUH TUHAN

4, 5. (a) Siapakah yang sebenarnya bercakap kepada Hawa melalui seekor ular? (b) Bagaimanakah seorang yang dahulunya baik dan jujur boleh menjadi seorang pencuri?

4 Buku yang pertama dalam Bible memberitahu kita tentang penentang Tuhan yang muncul di Taman Eden. Dia dipanggil seekor “ular.” Tetapi penentang itu bukannya seekor binatang. Buku yang terakhir dalam Bible mengenal pastikannya sebagai “Iblis atau Syaitan, yang menipu seluruh dunia.” Dia juga dikenali sebagai “ular tua.” (Kejadian 3:1; Penyingkapan 12:9) Malaikat, atau makhluk roh yang tidak dapat dilihat ini amat berkuasa. Sepertimana seseorang dapat menyebabkan suaranya kedengaran seperti datang daripada sebuah patung atau boneka, malaikat tersebut telah menggunakan seekor ular untuk bercakap kepada Hawa.  Sudah tentu makhluk roh itu hadir semasa Tuhan menyediakan bumi untuk umat manusia.​—Ayub 38:4, 7.

5 Apakah asal usul “Iblis” atau “Syaitan”? Secara ringkas, salah satu malaikat Tuhan yang berkuasa telah menjadikan dirinya Si Iblis. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku memandangkan semua ciptaan Yehuwa adalah sempurna? Kita sedar bahawa hari ini, seorang yang dahulunya baik dan jujur boleh berubah menjadi seorang pencuri. Bagaimanakah dia boleh menjadi seorang pencuri? Dia mungkin membenarkan keinginan yang jahat untuk berputik di hatinya. Jika dia terus berfikir tentang keinginannya, keinginan itu mungkin menjadi sangat kuat. Kemudian jika berkesempatan, dia mungkin bertindak mengikut keinginan hatinya.​—Yakobus 1:13-15.

6. Bagaimanakah anak Tuhan yang berkuasa menjadi Syaitan Si Iblis?

6 Inilah apa yang telah berlaku kepada Syaitan Si Iblis. Kemungkinan besar, Syaitan telah mendengar Tuhan memberitahu Adam dan Hawa supaya beranak cucu dan memenuhi bumi dengan keturunan mereka. (Kejadian 1:27, 28) Mungkin Syaitan telah berfikir, “Buat apa mereka menyembah Tuhan? Mereka boleh menyembah aku!” Dengan itu, keinginan yang jahat telah berputik di hatinya. Akhirnya, dia telah bertindak. Dia memperdayakan Hawa dengan bercakap bohong tentang Tuhan. (Kejadian 3:1-5) Maka, dia menjadi “Iblis,” yang bermaksud “Pemfitnah.” Pada masa yang sama, dia menjadi “Syaitan,” yang bermaksud “Penentang.”

7. (a) Mengapakah Adam dan Hawa mati? (b) Mengapakah semua keturunan Adam menjadi tua dan mati?

7 Dengan menggunakan tipu helah, Syaitan Si Iblis telah menyebabkan Adam dan Hawa mengingkari Tuhan. (Kejadian 2:17; 3:6) Akibatnya, seperti yang telah dikatakan oleh Tuhan, mereka akhirnya mati. (Kejadian 3:17-19) Oleh sebab Adam menjadi tidak sempurna apabila dia berdosa, semua keturunannya pun mewarisi dosa daripadanya.  (Roma 5:12) Hal ini boleh digambarkan melalui pepatah ini: Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Jika anda menggunakan acuan yang berlekuk untuk membuat kuih, bagaimanakah rupa kuih yang akan dihasilkan? Setiap kuih yang dihasilkan akan mempunyai lekuk, atau ketidaksempurnaan. Dalam cara yang sama, setiap orang telah mewarisi “lekuk” ketidaksempurnaan daripada Adam. Itulah sebabnya semua manusia menjadi tua dan mati.​—Roma 3:23.

8, 9. (a) Apakah cabaran Syaitan terhadap Yehuwa? (b) Mengapakah Tuhan tidak menghapuskan pemberontak-pemberontak tersebut dengan serta-merta?

8 Semasa Syaitan mempengaruhi Adam dan Hawa untuk berdosa, dia sebenarnya mengetuai pemberontakan menentang Tuhan. Dia telah mencabar Yehuwa dan mempersoalkan cara pemerintahan-Nya. Dalam erti kata lain, Syaitan sedang berkata, “Tuhan ialah pemerintah yang jahat. Dia berdusta dan menahan apa yang baik daripada umat-Nya. Manusia tidak memerlukan Tuhan untuk memerintah mereka. Mereka boleh memutuskan sendiri apa yang baik dan apa yang buruk. Mereka akan hidup lebih bahagia di bawah pemerintahan aku.” Bagaimanakah Tuhan akan menangani dakwaan yang begitu hina? Ada yang berpendapat bahawa Tuhan harus menghapuskan sahaja pemberontak-pemberontak ini. Tetapi, adakah dakwaan Syaitan akan dijawab jika Dia berbuat demikian? Adakah tindakan sedemikian akan membuktikan bahawa cara pemerintahan Tuhan adalah betul?

9 Oleh sebab keadilan Yehuwa adalah sempurna, Dia tidak menghapuskan pemberontak-pemberontak ini dengan serta-merta. Dia memutuskan bahawa masa diperlukan untuk menjawab cabaran Syaitan dalam cara yang memuaskan, dan untuk membuktikan bahawa Si Iblis ialah pendusta. Oleh yang demikian, Tuhan membuat keputusan untuk membenarkan manusia memerintah diri sendiri buat  suatu jangka masa di bawah pengaruh Syaitan. Mengapa Yehuwa berbuat demikian dan mengapa Dia membenarkan begitu banyak masa untuk berlalu sebelum menyelesaikan isu-isu ini akan dibincangkan dalam Bab 11 buku ini. Namun, sekarang, kita patut fikirkan tentang hal ini: Patutkah Adam dan Hawa mempercayai Syaitan yang tidak pernah melakukan apa-apa yang baik untuk mereka? Patutkah  mereka berfikir bahawa Yehuwa, Tuhan yang telah memberikan segala sesuatu kepada mereka, adalah pembohong yang kejam? Jikalau anda ialah Adam dan Hawa, apakah yang akan anda lakukan?

10. Bagaimanakah anda boleh menunjukkan bahawa anda berpihak pada Yehuwa seraya Dia menjawab cabaran Syaitan?

10 Adalah baik untuk memikirkan soalan-soalan ini kerana kita semua berdepan dengan isu yang serupa hari ini. Ya, anda berpeluang untuk menunjukkan bahawa anda berpihak pada Yehuwa seraya Dia menjawab cabaran Syaitan. Anda boleh menerima Yehuwa sebagai Pemerintah anda dan membantu membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. (Mazmur 73:28; Amsal 27:11) Malangnya, hanya sebilangan kecil daripada berbilion-bilion orang di bumi memilih untuk berbuat demikian. Hal ini telah menimbulkan satu persoalan penting: Adakah Bible benar-benar mengajarkan bahawa Syaitan merupakan pemerintah dunia ini?

SIAPAKAH PEMERINTAH DUNIA INI?

Jika semua kerajaan di dunia bukan milik Syaitan, dapatkah dia menawarkan semua kerajaan itu kepada Yesus?

11, 12. (a) Bagaimanakah godaan Syaitan terhadap Yesus menunjukkan bahawa Syaitan ialah pemerintah dunia ini? (b) Apakah bukti lain yang menunjukkan bahawa Syaitan ialah pemerintah dunia ini?

11 Yesus tidak pernah meragui bahawa Syaitan ialah pemerintah dunia ini. Pernah sekali, Syaitan menunjukkan “semua kerajaan di dunia ini serta segala kekayaannya” kepada Yesus. Syaitan kemudiannya berjanji kepada Yesus, ‘Semua ini akan aku berikan kepadamu, jika engkau sujud menyembah aku.’ (Matius 4:8, 9; Lukas 4:5, 6) Cuba fikirkan, bolehkah kita katakan bahawa tawaran Syaitan kepada Yesus adalah suatu godaan jika Syaitan bukan pemerintah kerajaan-kerajaan ini? Yesus tidak menafikan bahawa semua kerajaan di dunia merupakan milik Syaitan. Jika Syaitan bukan kuasa di sebalik semua kerajaan ini, Yesus tentu akan menunjukkan bahawa Syaitan langsung tidak berhak untuk menawarkan kerajaan-kerajaan ini kepadanya.

 12 Memang betul, Yehuwa ialah Tuhan yang maha kuasa. Dia ialah Pencipta alam semesta yang menakjubkan. (Penyingkapan 4:11) Tetapi, Bible tidak pernah menyatakan bahawa Tuhan Yehuwa atau Yesus Kristus ialah pemerintah dunia ini. Malah, Yesus secara khususnya merujuk kepada Syaitan sebagai “penguasa dunia ini.” (Yohanes 12:31; 14:30; 16:11) Mengenai Syaitan, penentang ini, hawari Yohanes telah menulis, “Seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.”​—1 Yohanes 5:19.

BAGAIMANA DUNIA SYAITAN AKAN DIMUSNAHKAN

13. Mengapakah kita memerlukan dunia yang baru?

13 Kian lama, dunia kita menjadi kian bahaya. Dunia kita dibanjiri dengan askar-askar yang berperang, ahli politik yang tidak jujur, pemimpin agama yang munafik, dan penjenayah yang tidak berhati perut. Keadaan di seluruh dunia sudah tidak dapat diubati. Bible menyingkapkan bahawa tidak lama lagi, Tuhan akan menghapuskan dunia yang fasiq ini dalam perang-Nya yang dikenali sebagai perang Armagedon. Dunia kita kemudiannya akan berubah menjadi sebuah dunia baru yang adil benar.​—Penyingkapan 16:14-16.

14. Siapakah yang dipilih oleh Tuhan untuk menjadi Pemerintah Kerajaan-Nya, dan bagaimanakah hal ini telah dinubuatkan?

14 Tuhan Yehuwa memilih Yesus Kristus sebagai Pemerintah Kerajaan-Nya di syurga. Bible telah lama menubuatkan, ‘Seorang anak telah dilahirkan bagi kita! Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita! Dia akan menjadi pemimpin kita. Dia akan disebut “Raja Damai.” Kekuasaannya akan terus bertambah; pemerintahannya akan sentiasa aman.’ (Yesaya 9:5, 6, ABB) Yesus mengajar pengikut-pengikutnya untuk berdoa tentang kerajaan atau pemerintahan ini. Dia berdoa, “Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati.” (Matius 6:10) Seperti yang  akan kita lihat di Bab 8, tidak lama lagi Kerajaan Tuhan akan memusnahkan semua kerajaan di bumi. Kerajaan Tuhan akan menggantikan semua kerajaan ini. (Daniel 2:44) Kemudian, Kerajaan Tuhan akan menjadikan bumi sebuah firdaus.

DUNIA BARU SUDAH DEKAT!

15. Apakah maksud “bumi baru”?

15 Bible memberikan jaminan berikut: ‘Kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Tuhan, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan.’ (2 Petrus 3:13, ABB; Yesaya 65:17) Kadangkala apabila perkataan “bumi” digunakan, Bible memaksudkan orang yang hidup di bumi. (Mazmur 33:8) Maka, “bumi baru” yang adil benar merujuk kepada masyarakat manusia yang mendapat perkenan Tuhan.

16. Apakah hadiah yang tidak ternilai yang akan diberikan oleh Tuhan kepada mereka yang mendapat perkenan-Nya, dan apakah yang mesti kita lakukan untuk mendapatkan hadiah itu?

16 Yesus telah berjanji bahawa mereka yang mendapat perkenan Tuhan akan diberikan hadiah ‘kehidupan sejati dan kekal’ di dunia baru yang bakal datang. (Markus 10:30) Sila buka Bible anda ke buku Yohanes 3:16 dan 17:3. Sila baca kata-kata Yesus tentang apa yang mesti kita lakukan untuk mendapat hidup sejati dan kekal di bumi Firdaus. Sekarang, fikirkan tentang berkat-berkat yang akan dinikmati oleh mereka yang layak menerima hadiah itu daripada Tuhan.

17, 18. Mengapakah kita boleh yakin bahawa keadaan yang damai dan selamat akan wujud di serata dunia?

17 Kefasiqan, peperangan, jenayah, dan keganasan akan tiada lagi. “Orang yang jahat akan lenyap . . . Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini.” (Mazmur 37:10, 11) Kedamaian akan wujud kerana Tuhan akan “menghentikan perang di seluruh dunia.” (Mazmur 46:10; Yesaya 2:4) Selepas itu, “keadilan [akan] berkembang . . . dan kemakmuran  [akan] kekal selama bulan bercahaya.” Hal ini bermaksud kedamaian akan kekal buat selama-lamanya!​—Mazmur 72:7.

18 Penyembah Yehuwa akan hidup dengan selamat. Selagi orang Israel pada zaman Bible patuh kepada Tuhan, mereka dapat hidup dengan selamat. (Imamat 25:18, 19) Kita juga akan menikmati keamanan dan keselamatan seperti itu di Firdaus. Tidakkah hal ini menggembirakan hati kita?​—Yesaya 32:18; Mikha 4:4.

19. Mengapakah kita tahu bahawa makanan akan berlimpah-limpah di dunia baru Tuhan?

19 Kekurangan makanan tidak akan berlaku. “Biji-bijian [akan] melimpah di seluruh negeri,” nyanyi penulis mazmur. “Bukit-bukit [akan] diliputi tanaman.” (Mazmur 72:16) Tuhan Yehuwa akan memberkati mereka yang adil benar, dan bumi akan “mengeluarkan hasilnya.”​—Mazmur 67:7.

20. Mengapakah kita boleh pasti bahawa seluruh bumi akan menjadi sebuah firdaus?

20 Seluruh bumi akan menjadi sebuah firdaus. Tanah yang dahulunya dirosakkan oleh manusia yang berdosa akan dipenuhi dengan kediaman baru dan taman yang indah nian. (Yesaya 65:21-24; Penyingkapan 11:18) Sambil masa berlalu, kawasan-kawasan di bumi yang telah diusahakan akan diperluas sehingga seluruh bumi menjadi cantik dan subur seperti Taman Eden. Tuhan pasti akan ‘memberikan segala keperluan kepada makhluk ciptaan-Nya sehingga tidak berkekurangan.’​—Mazmur 145:16.

21. Bagaimanakah kita tahu bahawa kedamaian antara manusia dan binatang akan wujud?

21 Manusia dan binatang akan hidup damai. Binatang yang liar dan binatang yang jinak akan makan bersama-sama. Bahkan seorang budak kecil pun tidak perlu takut akan binatang yang sekarang dianggap sebagai binatang yang berbahaya.​—Yesaya 11:6-9; 65:25.

22. Apakah yang akan terjadi kepada penyakit?

22 Penyakit akan lenyap. Sebagai Pemerintah Kerajaan  Tuhan di syurga, Yesus akan melakukan penyembuhan secara meluas dan besar-besaran, bahkan lebih luas daripada apa yang telah dilakukannya semasa di bumi. (Matius 9:35; Markus 1:40-42; Yohanes 5:5-9) Pada masa itu, tiada sesiapa pun yang “akan mengeluh kerana sakit.”​—Yesaya 33:24; 35:5, 6.

23. Mengapakah pembangkitan akan menggembirakan hati kita?

23 Orang tersayang yang telah mati akan dibangkitkan dan diberi peluang untuk hidup selama-lamanya. Semua orang yang telah mati dan yang ada dalam ingatan Tuhan akan dibangkitkan. Ya, Bible menyatakan bahawa “orang akan dibangkitkan daripada kematian​—orang baik, mahupun orang jahat!”​—Kisah 24:15; Yohanes 5:28, 29.

24. Apakah perasaan anda apabila anda berfikir tentang kehidupan di bumi Firdaus?

24 Masa depan yang cerah menantikan kita! Jika kita memilih untuk mempelajari tentang Pencipta Agung kita, iaitu Tuhan Yehuwa, dan berkhidmat kepada-Nya, kita dapat menikmati masa depan yang menakjubkan! Yesus merujuk kepada bumi Firdaus yang bakal datang semasa dia berjanji kepada penjahat yang mati di sebelahnya, ‘Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.’ (Lukas 23:43) Memang penting bagi kita mempelajari lebih banyak tentang Yesus Kristus kerana melalui dia berkat-berkat ini akan menjadi kenyataan.