Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB SEMBILAN

Adakah Kita Sedang Hidup pada “Hari-hari Terakhir”?

Adakah Kita Sedang Hidup pada “Hari-hari Terakhir”?
  • Apakah peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman kita yang dinubuatkan dalam Bible?

  • Apakah yang dinubuatkan dalam Firman Tuhan mengenai sikap manusia pada “hari-hari terakhir”?

  • Apakah perkara-perkara baik yang dinubuatkan dalam Bible mengenai “hari-hari terakhir”?

1. Dari manakah kita dapat belajar tentang masa hadapan?

SEMASA menonton berita yang disiarkan di televisyen, pernahkah anda bertanya, “Apakah yang akan berlaku kepada dunia ini?” Banyak malapetaka berlaku dengan tiba-tiba dan di luar jangkaan. Tiada sesiapa pun yang dapat meramalkan apa yang akan berlaku pada keesokan hari. (Yakobus 4:14) Namun, Yehuwa tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. (Yesaya 46:10) Lama dahulu, Firman-Nya, iaitu Bible, bukan sahaja bernubuat tentang perkara-perkara buruk yang sedang berlaku, malah tentang perkara-perkara menakjubkan yang akan berlaku tidak lama lagi.

2, 3. Apakah soalan yang ditanyakan oleh murid-murid Yesus, dan bagaimanakah dia menjawab soalan mereka?

2 Yesus Kristus mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan yang akan mengakhiri semua kefasiqan dan menjadikan bumi sebuah firdaus. (Lukas 4:43) Orang pada masa itu ingin mengetahui bila Kerajaan Tuhan akan datang. Malah, murid-murid Yesus telah bertanya kepadanya,  “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Matius 24:3, NW) Yesus menjawab soalan mereka dengan mengatakan bahawa Tuhan Yehuwa sahaja yang tahu bila sistem dunia ini akan berakhir. (Matius 24:36) Namun begitu, Yesus telah menubuatkan perkara-perkara yang akan berlaku sejurus sebelum Kerajaan Tuhan membawa keamanan dan ketenteraman yang sejati ke bumi. Apa yang dinubuatkan oleh Yesus sedang berlaku sekarang!

3 Sebelum kita meneliti bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada “penghujung sistem ini,” marilah kita bincangkan secara ringkas tentang sebuah perang yang mustahil disaksikan oleh manusia. Perang ini tercetus di syurga tetapi apa yang telah berlaku memberi kesan kepada kita di bumi.

SEBUAH PERANG DI SYURGA

4, 5. (a) Apakah yang telah berlaku di syurga selepas Yesus menjadi Raja? (b) Menurut Penyingkapan 12:12, apakah yang berlaku akibat perang yang tercetus di syurga?

4 Dalam bab yang lepas, kita telah mempelajari bahawa Yesus Kristus menjadi Raja di syurga pada tahun 1914. (Daniel 7:13, 14) Tidak lama kemudian, Yesus telah bertindak. Bible menyatakan, “Peperangan berlaku di syurga. Mikhael [nama lain bagi Yesus] dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu [Syaitan Si Iblis]. Naga itu, yang dibantu oleh malaikat-malaikatnya melawan Mikhael.” * Syaitan dan malaikat-malaikatnya yang fasiq, yang juga dikenali sebagai roh-roh jahat, telah tewas dalam perang itu. Mereka dibuang dari syurga ke bumi. Malaikat-malaikat Tuhan yang setia bersukacita  kerana Syaitan dan roh-roh jahat telah dihalau dari syurga. Tetapi, umat manusia tidak dapat bersukacita. Sebaliknya, Bible menubuatkan, “Malanglah bumi . . . kerana Iblis telah turun kepadamu. Dia sangat marah, kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit.”​—Penyingkapan 12:7, 9, 12, ABB.

5 Sila perhatikan apa yang telah berlaku akibat perang yang tercetus di syurga. Syaitan membawa penderitaan, atau masalah kepada mereka yang berada di bumi kerana dia berasa sangat marah. Seperti yang akan anda belajar, kita sedang hidup pada masa ini yang penuh dengan penderitaan. Tetapi jangka masa yang terlibat adalah singkat. Bahkan Syaitan juga sedar bahawa “masanya tinggal sedikit.” Bible merujuk kepada jangka masa ini sebagai “hari-hari terakhir.” (2 Timotius 3:1) Tidakkah anda berasa gembira untuk mengetahui bahawa tidak lama lagi, Tuhan akan melenyapkan pengaruh Iblis di bumi? Marilah kita lihat beberapa perkara yang telah dinubuatkan dalam Bible yang sedang berlaku pada hari ini. Hal-hal ini membuktikan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir dan tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan membawa berkat-berkat yang tidak  berkesudahan kepada mereka yang mengasihi Yehuwa. Mula-mula, marilah kita mengkaji kata-kata Yesus mengenai empat ciri daripada tanda yang menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir.

PERKEMBANGAN UTAMA PADA HARI-HARI TERAKHIR

6, 7. Bagaimanakah kata-kata Yesus tentang peperangan dan kebuluran digenapi hari ini?

6 “Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.” (Matius 24:7) Jutaan orang dibunuh dalam peperangan sepanjang abad yang lepas. Seorang ahli sejarawan Inggeris telah menyatakan, “Abad ke-20 merupakan abad yang mana paling banyak darah ditumpahkan dalam sejarah manusia. . . . Pada abad itu, peperangan seolah-olah tidak berhenti, dan hanya terdapat beberapa jangka masa yang pendek yang mana konflik bersenjata yang terancang tidak berlaku.” Sebuah organisasi yang mengkaji peristiwa-peristiwa yang berlaku di dunia menyatakan, “Bilangan orang yang terkorban dalam peperangan pada abad [ke-20] adalah tiga kali lebih banyak daripada bilangan orang yang terkorban dalam semua perang yang  berlaku sejak abad pertama Masihi hingga ke tahun 1899.” Lebih daripada 100 juta orang telah terkorban akibat peperangan sejak tahun 1914. Cuba bayangkan kesengsaraan dan kepiluan yang dialami oleh berjuta-juta orang yang telah kehilangan orang kesayangan dalam peperangan. Pernahkah peperangan meragut nyawa orang kesayangan anda?

7 “Di mana-mana akan berlaku kebuluran.” (Matius 24:7) Para penyelidik menyatakan bahawa penghasilan makanan telah meningkat secara mendadak sepanjang 30 tahun yang lepas. Namun, kebuluran masih berlaku kerana ramai orang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan atau tanah untuk bercucuk tanam. Di negara-negara yang sedang membangun, jutaan orang terpaksa menderita kelaparan yang berpanjangan. Menurut statistik anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, faktor utama yang menyumbang kepada kematian lebih daripada lima juta orang kanak-kanak setiap tahun ialah malnutrisi atau kekurangan makanan yang seimbang.

8, 9. Apakah yang menunjukkan bahawa nubuat Yesus tentang gempa bumi dan wabak penyakit sedang digenapi?

8 “Di pelbagai tempat akan berlaku  gempa bumi yang dahsyat.” (Lukas 21:11) Menurut sebuah tinjauan geologi di Amerika Syarikat, dianggarkan 19 gempa bumi besar akan berlaku setiap tahun yang cukup kuat untuk memusnahkan bangunan dan menyebabkan rekahan tanah. Secara purata, setiap tahun ada sahaja gempa bumi yang berlaku yang cukup kuat untuk menyebabkan kemusnahan yang menyeluruh pada bangunan-bangunan. Catatan yang sedia ada menunjukkan bahawa lebih daripada dua juta orang terkorban dalam gempa bumi sejak tahun 1900. Satu sumber menyatakan, “Kemajuan teknologi tidak banyak mengurangkan kadar kematian.”

9 “Di pelbagai tempat akan berlaku . . . wabak.” (Lukas 21:11) Walaupun terdapat kemajuan dalam bidang perubatan, penyakit baru mahupun penyakit lama masih menimpa manusia. Satu laporan menyatakan bahawa 20 jenis penyakit yang terkenal, termasuk tuberkulosis (batuk kering), demam malaria, dan penyakit taun, semakin biasa dihidapi orang sepanjang berpuluh-puluh tahun yang lepas. Tambahan lagi, sesetengah penyakit semakin sukar diubati. Sebenarnya, sekurang-kurangnya 30 jenis penyakit yang baru telah muncul.  Sesetengah daripada penyakit ini membunuh mangsanya dan penawar penyakit masih tidak dapat ditemui.

MANUSIA YANG HIDUP PADA HARI-HARI TERAKHIR

10. Apakah sikap-sikap yang telah dinubuatkan di 2 Timotius 3:1-5 yang diperlihatkan oleh manusia hari ini?

10 Selain daripada mengenal pasti sesetengah perkembangan di dunia, Bible juga telah menubuatkan tentang perubahan sikap yang akan diperlihatkan oleh kebanyakan orang yang hidup pada hari-hari terakhir. Hawari Paulus telah menggambarkan hal ini di 2 Timotius 3:1-5 yang menyatakan, “Pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan.” Paulus menyatakan bahawa manusia pada masa itu akan

  • mementingkan diri sendiri

  • tamak dan serakah

  • menghina dan melawan ibu bapa

  • tidak tahu berterima kasih

  • tidak mengasihi sesama manusia

  • tidak berbelas kasihan

  • suka akan keganasan

  • lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Tuhan

  • pada lahirnya mereka menjalankan kewajipan agama, tetapi mereka tidak menurut ajarannya

11. Bagaimanakah Mazmur 92:8 menggambarkan apa yang akan berlaku kepada orang jahat?

11 Adakah orang di kawasan kediaman anda memperlihatkan sikap-sikap sedemikian juga? Tentu sekali.  Sebenarnya, sikap-sikap buruk ini diperlihatkan oleh orang di mana-mana sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa tidak lama lagi Tuhan akan bertindak kerana Bible menyatakan, “Orang jahat mungkin tumbuh subur seperti rumput, dan orang yang melakukan kejahatan mungkin makmur; namun mereka akan dibinasakan sama sekali.”​—Mazmur 92:8, ABB.

PERKEMBANGAN YANG BAIK!

12, 13. Bagaimanakah “pengetahuan yang benar” akan melimpah pada “akhir zaman”?

12 Seperti yang telah dinubuatkan dalam Bible, hari-hari terakhir sarat dengan penderitaan. Namun, dalam dunia yang kucar-kacir ini, terdapat perkembangan-perkembangan baik yang berlaku dalam kalangan penyembah Yehuwa.

13 “Pengetahuan yang benar akan melimpah,” Daniel bernubuat di dalam Bible. Bilakah hal ini akan berlaku? Pada “akhir zaman.” (Daniel 12:4, NW) Terutamanya sejak tahun 1914, mereka yang benar-benar ingin menyembah Yehuwa dibantu oleh-Nya untuk lebih memahami Bible. Mereka telah belajar untuk menghayati kebenaran yang berharga tentang nama dan kehendak Tuhan, korban tebusan Yesus Kristus, keadaan orang yang telah mati, dan pembangkitan. Tambahan lagi, penyembah-penyembah Yehuwa juga mempelajari cara hidup yang membawa manfaat kepada diri mereka dan yang memberi pujian kepada Tuhan. Mereka juga mempunyai pemahaman yang lebih jelas tentang peranan Kerajaan Tuhan dan bagaimana Kerajaan ini akan menyelesaikan masalah di bumi. Pengetahuan ini menggalakkan mereka untuk melakukan apa? Jawapan kepada soalan ini boleh dikaitkan dengan satu lagi nubuat yang sedang digenapi pada hari-hari terakhir.

‘Berita baik tentang bagaimana Tuhan memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia.’​—Matius 24:14

14. Hari ini, seluas manakah berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan, dan siapakah yang menyebarkan berita ini?

 14 ‘Berita baik tentang bagaimana Tuhan memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia,’ kata Yesus Kristus dalam nubuatnya tentang akhir dunia Syaitan. (Matius 24:3, 14) Berita baik tentang Kerajaan Tuhan sedang disebarkan di lebih daripada 230 negara dan dalam lebih daripada 400 bahasa. Berita baik ini merangkumi penjelasan tentang apa itu Kerajaan Tuhan, apa yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Tuhan, dan cara kita dapat menikmati berkat-berkat yang dibawa oleh Kerajaan ini. Jutaan Saksi-Saksi Yehuwa menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dengan semangat yang membara. Mereka datang daripada “setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa.” (Penyingkapan 7:9) Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan pembelajaran Bible secara percuma dengan berjuta-juta orang yang ingin mengetahui ajaran Bible yang sebenar. Tidakkah anda setuju bahawa penggenapan nubuat ini adalah sesuatu yang menakjubkan terutamanya kerana Yesus telah menubuatkan bahawa “semua orang akan membenci” orang Kristian yang sejati?​—Lukas 21:17.

APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?

15. (a) Adakah anda percaya bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir, dan mengapa? (b) Apabila “akhir zaman” datang, apakah yang akan berlaku kepada mereka yang menentang Yehuwa dan kepada mereka yang tunduk kepada pemerintahan Kerajaan Tuhan?

15 Oleh sebab begitu banyak nubuat di dalam Bible sedang digenapi hari ini, tidakkah anda setuju bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir? Selepas berita baik dikhabarkan ke tahap yang memuaskan hati Yehuwa, “akhir zaman” pasti akan datang. (Matius 24:14) “Akhir zaman” merujuk kepada waktu yang mana Tuhan akan menghapuskan segala kefasiqan di bumi.  Yehuwa akan menggunakan Yesus dan malaikat-malaikat yang berkuasa untuk menghapuskan mereka yang sengaja menentang-Nya. (2 Tesalonika 1:6-9) Syaitan dan roh-roh jahat tidak akan menyesatkan bangsa-bangsa lagi. Selepas itu, Kerajaan Tuhan akan mencurahkan berkat kepada mereka yang tunduk kepada pemerintahan Tuhan yang adil benar.​—Penyingkapan 20:1-3; 21:3-5.

16. Apakah yang patut anda lakukan?

16 Memandangkan akhir sistem Syaitan sudah dekat, setiap seorang daripada kita perlu bertanya, “Sekarang, apakah yang harus saya lakukan?” Adalah bijak bagi kita untuk terus belajar tentang Yehuwa dan kehendak-Nya. (Yohanes 17:3) Pelajarilah Bible dengan bersungguh-sungguh. Jadikanlah kebiasaan anda untuk bergaul dengan mereka yang melakukan kehendak Yehuwa. (Ibrani 10:24, 25) Anda digalakkan untuk menimba pengetahuan yang telah disediakan oleh Tuhan Yehuwa untuk semua orang, dan buatlah perubahan dalam kehidupan anda supaya anda mendapat perkenan Tuhan.​—Yakobus 4:8.

17. Mengapakah pembinasaan orang fasiq akan berlaku dengan tiba-tiba dan tanpa diduga?

17 Yesus menubuatkan bahawa kebanyakan orang tidak akan menghiraukan bukti yang menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Seperti pencuri yang datang pada waktu malam, pembinasaan orang fasiq akan berlaku dengan tiba-tiba dan tanpa diduga. (1 Tesalonika 5:2) Yesus memberikan amaran berikut, “Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh. Pada masa banjir belum melanda, orang makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak tahu akan apa yang sedang berlaku sehingga banjir membinasakan mereka semua. Demikianlah  keadaannya apabila Anak Manusia datang.”​—Matius 24:37-39, ABB.

18. Apakah amaran Yesus yang patut dipandang serius?

18 Maka, Yesus memberitahu pendengar-pendengarnya, “Berjaga-jagalah! Janganlah kamu asyik berpesta dan minum minuman keras atau khuatir akan kehidupan kamu, sehingga kamu tidak bersedia apabila Hari itu datang dengan tiba-tiba. Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua orang di bumi. Berjaga-jagalah dan berdoalah sentiasa supaya kamu mempunyai kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku, lalu kamu dapat menghadap [mendapat perkenan] Anak Manusia.” (Lukas 21:34-36, ABB) Kita patut memandang serius nasihat Yesus. Mengapa? Kerana hanya mereka yang mendapat perkenan Tuhan Yehuwa dan “Anak Manusia,” iaitu Yesus Kristus, akan mempunyai harapan untuk diselamatkan apabila sistem dunia Syaitan dimusnahkan. Tidak lama lagi, mereka akan hidup di dunia baru untuk selama-lamanya!​—Yohanes 3:16; 2 Petrus 3:13.

^ per. 4 Untuk maklumat lanjut yang menunjukkan bahawa Mikhael merupakan nama lain bagi Yesus Kristus, sila lihat bahagian Lampiran yang bertajuk “Siapakah Mikhael, Ketua Malaikat di Syurga?