Menurut ramai fundamentalis keagamaan, bumi dan segala yang ada di bumi diciptakan dalam masa enam hari yang harfiah, iaitu panjang setiap hari ialah 24 jam. Mereka juga percaya bahawa bumi diciptakan hanya beberapa ribu tahun dahulu. Sesetengah ateis pula mengajarkan bahawa Tuhan tidak wujud, bahawa Bible ialah buku yang penuh dengan mitos, dan bahawa kehidupan merupakan hasil peristiwa yang berlaku secara rambang atau rawak.

Pandangan kebanyakan orang menjangkau antara kedua-dua pendapat yang bercanggahan ini dan mungkin anda juga tidak terkecuali. Itulah sebabnya anda sedang membaca brosur ini. Anda mungkin percaya kepada Tuhan dan menghormati Bible. Tetapi anda juga mungkin menghargai pandangan ahli sains yang berpengaruh, berkelulusan tinggi, dan yang tidak percaya bahawa kehidupan telah diciptakan. Jika anda seorang ibu atau bapa, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana hendak menjawab soalan yang dikemukakan oleh anak-anak anda mengenai evolusi dan penciptaan.

Apakah Tujuan Brosur Ini?

Maklumat yang disampaikan di dalam brosur ini bukan bertujuan untuk mengkritik pandangan para fundamentalis atau orang yang tidak percaya kepada Tuhan. Sebaliknya, kami berharap brosur ini akan menggalakkan anda untuk menilai semula dasar kepercayaan anda. Brosur ini akan memberikan penjelasan tentang kisah penciptaan di dalam Bible dari sudut pandangan yang mungkin baru bagi anda. Dan brosur ini akan menegaskan mengapa apa yang anda percaya tentang permulaan kehidupan adalah sangat penting.

Adakah anda akan mempercayai orang yang mengatakan bahawa Pencipta yang bijak tidak wujud dan bahawa Bible tidak boleh dipercayai? Atau adakah anda akan mengkaji apa yang sebenarnya terkandung di dalam Bible? Anda patut menaruh kepercayaan dan keyakinan pada ajaran Bible atau pada ajaran pendukung evolusi? (Ibrani 11:1) Kami menjemput anda untuk mengkaji fakta-faktanya.