Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 A4

Nama Tuhan dalam Kitab Ibrani

Nama Tuhan dalam huruf Ibrani kuno yang digunakan sebelum pembuangan ke Babilon

Nama Tuhan dalam huruf Ibrani yang digunakan selepas pembuangan ke Babilon

Dalam Kitab Ibrani, nama Tuhan muncul hampir 7,000 kali. Itulah nama yang paling kerap muncul dalam Bible. Nama itu ditulis dalam empat huruf Ibrani יהוה dan dikenali sebagai Tetra­grammaton. Dalam terjemahan ini, nama Tuhan diterjemahkan sebagai “Yehuwa.” Meskipun para penulis Bible menggunakan gelaran seperti “Yang Maha Kuasa,” “Yang Maha Tinggi,” dan “Tuan,” untuk merujuk kepada Tuhan, mereka menggunakan Tetragrammaton sebagai nama peribadi Tuhan.

Tuhan Yehuwa sendiri mengarahkan para penulis Bible untuk menggunakan nama-Nya. Misalnya, Nabi Yoel menulis, “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.” (Yoel 2:32) Seorang pemazmur juga menulis, “Hendaklah orang tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.” (Mazmur 83:18) Sebenarnya, dalam buku Mazmur sahaja, nama Tuhan muncul kira-kira 700 kali. Jadi, mengapakah banyak terjemahan Bible tidak mengandungi nama Tuhan? Mengapakah terjemahan ini menggunakan nama “Yehuwa”? Apakah maksud nama itu?

Petikan teks daripada Mazmur dalam Gulungan Laut Mati pada abad pertama M. Teksnya ditulis dalam huruf Ibrani yang biasa digunakan selepas pembuangan ke Babilon, tetapi Tetragrammaton muncul dalam huruf Ibrani kuno secara berulang kali

Mengapakah banyak terjemahan Bible tidak mengandungi nama Tuhan? Ada yang berasa bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa tidak perlu dikenali dengan nama yang khas. Yang lain dipengaruhi oleh adat orang Yahudi dan tidak menggunakan nama itu kerana takut mencemarkannya. Ada pula yang berpendapat bahawa menggunakan gelaran seperti “Tuan” atau “Tuhan” lebih baik, kerana tiada orang yang tahu sebutan asal nama Tuhan. Namun, pandangan-pandangan sedemikian tidak wajar atas sebab-sebab berikut:

  • Mereka yang berkata bahawa Tuhan tidak memerlukan nama yang khas tidak menghiraukan bukti bahawa nama peribadi Tuhan terdapat dalam naskhah kuno Firman Tuhan, termasuk  naskhah yang wujud sebelum zaman Kristus. Selain itu, Tuhan mengarahkan agar nama-Nya ditulis dalam Firman-Nya kira-kira 7,000 kali. Jelaslah, Tuhan mahu nama-Nya diketahui dan digunakan.

  • Penterjemah yang mengeluarkan nama Tuhan kerana menjunjung adat Yahudi tidak menyedari fakta penting ini: Meskipun sesetengah jurutulis Yahudi enggan menyebut nama Tuhan, mereka tidak mengeluarkan nama itu daripada salinan Bible mereka. Nama Tuhan dijumpai banyak kali dalam gulungan-gulungan kuno yang ditemui di Qumran, berhampiran Laut Mati. Sesetengah penterjemah menggunakan “TUHAN” dalam huruf besar untuk menunjukkan bahawa nama Tuhan muncul dalam teks asal. Contohnya, nota kaki di Kejadian 2:4, Alkitab Berita Baik (2001, Edisi Kedua) menyatakan, “Dalam terjemahan ini ‘TUHAN’ adalah padanan nama Ibrani YHWH.” Selain itu, carta di Mukadimah Terjemahan (muka surat V) Alkitab Versi Borneo (2015) menunjukkan bahawa nama Tuhan dalam bahasa asal ialah “Yehovah” dan telah digantikan dengan “TUHAN.” Jadi, mengapakah para penterjemah ini berasa bahawa mereka bebas menggantikan atau mengeluarkan nama Tuhan daripada Bible? Mengapakah mereka berasa bahawa mereka berhak membuat perubahan sedemikian? ­Hanya mereka yang tahu jawapannya.

  • Mereka yang berkata bahawa nama Tuhan tidak patut digunakan kerana sebutan asalnya tidak diketahui tetap menggunakan nama Yesus. Tetapi cara murid-murid Yesus pada abad pertama menyebut namanya juga agak berbeza dengan sebutan kebanyakan orang Kristian hari ini. Orang Kristian Yahudi mungkin menyebut “Yesus” sebagai Ye·shuʹa‛ dan “Kristus” sebagai Ma·shiʹach, atau “Mesias.” Orang Kristian berbahasa Yunani memanggil Yesus sebagai I·e·sousʹ Khri·stosʹ, dan orang Kristian berbahasa Latin memanggilnya sebagai Ieʹsus Chriʹstus. Namun, di bawah ilham Tuhan, namanya dicatatkan dalam Bible mengikut terjemahan Yunani. Orang Kristian abad pertama bersikap munasabah kerana mereka menggunakan sebutan nama yang biasa digunakan. Begitu juga, Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu berasa bahawa adalah munasabah untuk menggunakan nama “Yehuwa” meskipun terjemahan nama ini berbeza daripada sebutan asalnya.

Mengapakah Terjemahan Dunia Baharu menggunakan nama “Yehuwa”? Huruf konsonan YHWH ialah padanan bagi empat huruf Tetragrammaton (יהוה). Tulisan Ibrani kuno tidak mempunyai huruf vokal; begitu juga dengan Tetragrammaton. Tetapi  semasa bahasa Ibrani kuno digunakan, para pembaca dapat memasukkan huruf vokal yang sesuai dengan mudah.

Kira-kira 1,000 tahun selepas Kitab Ibrani disiapkan, orang Yahudi mewujudkan suatu sistem sebutan untuk menunjukkan huruf vokal yang patut digunakan semasa membaca bahasa Ibrani. Tetapi, ramai orang Yahudi sudah mempunyai kepercayaan karut bahawa mereka tidak patut menyebut nama Tuhan. Jadi mereka menggantikan nama Tuhan dengan ungkapan lain. Nampaknya huruf vokal bagi ungkapan lain ini telah digabungkan dengan empat konsonan Tetragrammaton semasa mereka menyalin nama Tuhan. Maka, orang masih tidak dapat menentukan sebutan asal nama Tuhan. Ada yang berpendapat bahawa sebutannya ialah “Yahweh,” tetapi ada pula mencadangkan sebutan lain. Gulungan Laut Mati yang mengandungi sebahagian daripada buku Imamat dalam bahasa Yunani mentransliterasikan (menterjemahkan mengikut sebutan asal) nama Tuhan sebagai Iao. Selain itu, penulis Yunani masa awal juga mencadangkan sebutan Iae, I·a·beʹ, dan I·a·ou·eʹ. Namun begitu, tiada sesiapa pun yang patut berkeras mengikut pandangan peribadi. Kita tidak tahu bagaimana hamba Tuhan masa dahulu menyebut nama-Nya dalam bahasa Ibrani. (Kejadian 13:4; Keluaran 3:15) Yang pasti, Tuhan berulang kali menggunakan nama-Nya semasa bercakap dengan umat-Nya. Mereka pula memanggil-Nya dengan nama itu dan sering menggunakan nama itu dalam perbualan.—Keluaran 6:2; 1 Raja-Raja 8:23; Mazmur 99:9.

Jadi, mengapakah Terjemahan Dunia Baharu menggunakan nama “Yehuwa”? Hal ini kerana nama Tuhan dalam bentuk “Yehuwa” dan ejaan yang serupa telah lama digunakan dalam Bible bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Nama Tuhan di Kejadian 15:2 dalam terjemahan William Tyndale yang dibuat berdasarkan Pentateuch, 1530

Contohnya, Alkitab Terjemahan Lama (1958) yang merupakan gabungan Perjanjian Lama Klinkert (1870) dan Perjanjian Baru  Bode (1938) menggunakan nama “Yehuwa” di Keluaran 15:3 yang berbunyi, “Bahwa Tuhanlah panglima perang, Yehuwa itulah namanya!” Alkitab Berita Baik (2001, Edisi Kedua) juga menggunakan “Yehowa” di nota kaki Kejadian 2:4, dan Alkitab Versi Borneo (2015) menggunakan “Yehovah” di Mukadimah Terjemahan (muka surat V). Nama “Yehova” juga disebut dalam beberapa lagu rohani gereja. Jelaslah, nama “Yehuwa” dan ejaan yang serupa dengannya sudah lama digunakan.

Nama Tuhan yang sebutannya mirip dengan “Yehuwa” juga digunakan dalam bahasa lain, seperti bahasa Inggeris. Nama Tuhan muncul dalam Bible bahasa Inggeris buat kali pertama pada tahun 1530, apabila William Tyndale menterjemahkan Pentateuch, iaitu lima buku pertama dalam Bible. Dia telah menggunakan nama “Iehouah.” Selain itu, pada tahun 1901, penterjemah Bible American Standard Version menggunakan nama “Jehovah” untuk menterjemahkan nama Tuhan.

Tetragrammaton, YHWH: “Dia Menyebabkan Menjadi”

Kata kerja HWH: “menjadi”

Apakah maksud nama Yehuwa? Nama Yehuwa berasal daripada kata kerja Ibrani yang bermaksud “menjadi.” Ada cendekiawan berpendapat bahawa kata kerja itu membawa maksud kausatif (iaitu secara amnya, menyebabkan seseorang atau sesuatu bertindak mengikut kata kerja ini). Maka, Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu menyimpulkan bahawa nama Tuhan bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Kita tidak boleh bersikap dogmatik tentang maksud ini, kerana pendapat para cendekiawan juga berbeza. Namun, maksud ini sesuai dengan kedudukan Yehuwa sebagai Pencipta dan Pelaksana tujuan-Nya. Dia bukan sahaja menciptakan alam semesta dan semua makhluk yang berakal, malah Dia terus menyebabkan kehendak dan tujuan-Nya menjadi kenyataan.

Oleh itu, maksud nama Yehuwa tidak terhad kepada kata kerja di Keluaran 3:14 yang menyatakan, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.” Kata-kata ini tidak menjelaskan maksud nama Tuhan dengan sepenuhnya, tetapi hanya menyingkapkan suatu aspek keperibadian Tuhan. Kata-kata ini menunjukkan bahawa dalam setiap situasi, Tuhan dapat menjadi apa pun yang diperlukan untuk melaksanakan tujuan-Nya. Nama “Yehuwa” merangkumi maksud itu, dan juga bermaksud bahawa Dia dapat menyebabkan apa sahaja berlaku sehubungan dengan ciptaan dan tujuan-Nya.