Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Pendahuluan

Melalui lembaran Kitab Suci, Tuhan dapat berkomunikasi dengan kita. Jadi, kita mesti membacanya supaya kita dapat mengenal Pengarangnya. (Yohanes 17:3; 2 Timotius 3:16) Menerusi Bible, Tuhan Yehuwa menyingkapkan kepada kita tujuan-Nya bagi manusia dan bumi.​—Kejadian 3:15; Wahyu 21:3, 4.

Tiada buku lain yang dapat memberikan kesan yang begitu mendalam terhadap kehidupan manusia. Bible menggalakkan kita untuk merenungkan sifat-sifat Yehuwa seperti kasih, belas kasihan, dan kebaikan hati. Bible memberi kita harapan dan membantu kita untuk bertabah semasa menghadapi apa jua penderitaan. Bible juga mendedahkan perkara-perkara di dalam dunia yang bertentangan dengan kehendak Tuhan yang sempurna.​—Mazmur 119:105; Ibrani 4:12; 1 Yohanes 2:15-17.

Pada asalnya, Bible ditulis dalam bahasa Ibrani, Aram, dan Yunani. Kemudian, seluruh atau sebahagian daripada Bible diterjemahkan dalam kira-kira 2,600 bahasa. Bible merupakan buku yang paling banyak diterjemahkan dan diedarkan dalam sejarah manusia. Hal ini tidak menghairankan kerana nubuat Bible menyatakan, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan [mesej utama yang terkandung dalam Bible] akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”​—Matius 24:14.

Kami sedar bahawa mesej Bible sangat penting. Maka kami bermatlamat untuk menghasilkan terjemahan yang menyampaikan maksud teks asal dengan penuh ketelitian dan kesetiaan. Kami juga berusaha menterjemahkan teks Bible dalam cara yang jelas dan mudah difahami. Rencana-rencana dalam Lampiran yang bertajuk, “Prinsip-Prinsip Menterjemah Bible,” “Ciri-Ciri Terjemahan Ini,” dan “Sejarah Bible Kita,” membincangkan prinsip-prinsip yang membimbing kerja penterjemahan Bible dan menjelaskan beberapa ciri yang terdapat dalam edisi ini.

Semua penyembah Tuhan Yehuwa yang mengasihi-Nya menginginkan terjemahan Firman Tuhan yang tepat dan mudah difahami. (1 Timotius 2:4) Oleh itu, kami telah menyediakan edisi ini dalam bahasa Melayu, selaras dengan tekad kami untuk menterjemahkan Terjemahan Dunia Baharu dalam sebanyak bahasa yang mungkin. Kami berharap dan berdoa agar para pembaca yang dikasihi dapat meraih manfaat daripada terjemahan ini seraya anda ‘mencari Tuhan dengan bersungguh-sungguh . . . lalu menemui-Nya.’​—Kisah 17:27.

Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu