Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes 12:1-50

RANGKA KANDUNGAN

  • Maria menuangkan minyak pada kaki Yesus (1-11)

  • Yesus memasuki Yerusalem (12-19)

  • Yesus menubuatkan kematiannya (20-37)

  • Orang Yahudi tidak percaya seperti yang dinubuatkan (38-43)

  • Yesus datang untuk menyelamatkan dunia (44-50)

12  Enam hari sebelum Perayaan Paska, Yesus tiba di Betania, iaitu tempat tinggal Lazarus.+ Sebelum ini Yesus telah membangkitkannya daripada kematian.  Maka mereka mengadakan jamuan makan malam untuk Yesus di situ. Marta menghidangkan makanan+ sementara Lazarus dan orang lain makan* bersama Yesus.  Kemudian Maria mengambil kira-kira setengah liter* minyak wangi yang sangat mahal. Minyak itu merupakan minyak akar wangi tulen. Dia menuangkan minyak wangi itu pada kaki Yesus dan mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya. Seluruh rumah dipenuhi dengan keharuman minyak wangi itu.+  Salah seorang murid Yesus, iaitu Yudas Iskariot,+ yang bakal mengkhianatinya berkata,  “Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga 300 denari* dan wangnya diberikan kepada orang miskin?”  Dia berkata demikian bukan kerana dia mengambil berat terhadap orang miskin, tetapi kerana dia seorang pencuri. Dialah yang memegang peti wang dan dia sering mencuri wang yang disimpan di dalamnya.  Maka Yesus berkata, “Janganlah ganggu wanita ini. Biarlah dia melakukan hal ini sebagai persediaan untuk hari pengebumianku.+  Orang miskin sentiasa ada bersama kamu,+ tetapi aku tidak akan sentiasa bersama kamu.”+  Sementara itu, sekumpulan besar orang Yahudi mendapat tahu bahawa Yesus berada di Betania. Jadi, mereka datang bukan hanya untuk melihat Yesus tetapi juga untuk melihat Lazarus yang telah dibangkitkan oleh Yesus daripada kematian.+ 10  Para ketua imam mula berkomplot untuk membunuh Lazarus juga, 11  kerana ramai orang Yahudi yang pergi ke Betania beriman kepada Yesus setelah melihat apa yang telah berlaku kepada Lazarus.+ 12  Keesokan harinya, orang ramai yang datang untuk menyambut perayaan di Yerusalem mendengar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke sana. 13  Oleh itu mereka mengambil pelepah-pelepah pokok palma dan pergi menemuinya. Mereka berseru, “Moga Tuhan menyelamatkannya! Diberkatilah Raja Israel yang datang atas nama Yehuwa!”*+ 14  Yesus mendapatkan seekor anak keldai dan duduk di atasnya,+ seperti yang tertulis, 15  “Janganlah takut, hai kota Sion. Lihatlah! Rajamu sedang datang, dan dia duduk di atas seekor anak keldai.”+ 16  Pada mulanya, murid-murid Yesus tidak memahami perkara-perkara ini. Tetapi setelah Yesus dimuliakan,+ barulah mereka teringat bahawa apa yang dilakukan oleh orang ramai merupakan apa yang ditulis dalam Ayat-Ayat Suci mengenainya.+ 17  Selain itu, orang ramai yang ada bersama Yesus semasa dia memanggil Lazarus keluar dari makam+ dan membangkitkannya daripada kematian terus memberikan kesaksian tentang Yesus.+ 18  Orang ramai juga datang untuk berjumpa dengannya kerana mereka mendengar bahawa dia telah melakukan mukjizat ini. 19  Oleh itu orang Farisi berkata sesama sendiri, “Lihatlah! Usaha kita sia-sia sahaja. Seluruh dunia sudah mengikutnya.”+ 20  Ada beberapa orang Yunani dalam kalangan orang yang datang untuk beribadat semasa perayaan itu. 21  Mereka datang kepada Filipus+ yang berasal dari Betsaida di Galilea lalu berkata, “Tuan, kami mahu berjumpa dengan Yesus.” 22  Jadi Filipus pergi memberitahu Andreas, lalu mereka berdua pergi memberitahu Yesus. 23  Namun Yesus berkata kepada mereka, “Masanya sudah tiba bagi Anak Manusia dimuliakan.+ 24  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika sebutir gandum tidak jatuh ke tanah dan mati, apa yang ada cuma sebutir gandum. Tetapi jika gandum itu mati,+ banyak buah akan terhasil. 25  Sesiapa yang mengasihi nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang membenci nyawanya+ di dunia ini akan menyelamatkan nyawanya dan mendapat kehidupan kekal.+ 26  Jika sesiapa mahu menjadi hambaku, hendaklah dia mengikut aku. Ke mana sahaja aku pergi, hambaku juga akan berada di sana.+ Jika sesiapa menjadi hambaku, Bapaku akan memberkatinya. 27  Sekarang aku sangat sedih+ dan apa yang patut aku katakan? Bapa, selamatkanlah aku daripada saat penderitaan ini.+ Namun, untuk saat inilah aku datang ke bumi. 28  Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Kemudian kedengaran suara+ dari langit yang berkata, “Aku sudah memuliakannya dan akan memuliakannya lagi.”+ 29  Orang ramai yang berdiri di situ mengatakan bahawa bunyi yang kedengaran itu ialah bunyi guruh. Ada pula yang berkata, “Malaikat telah bercakap kepadanya.” 30  Yesus menjawab, “Suara ini kedengaran bukanlah untukku, tetapi untuk kamu. 31  Dunia ini sedang dihakimi. Sekarang pemerintah dunia ini+ akan diusir.+ 32  Namun, semasa aku digantungkan,*+ aku akan memimpin segala macam orang kepadaku.” 33  Sebenarnya dia berkata demikian untuk menunjukkan cara dia akan mati.+ 34  Orang ramai berkata, “Kami mendengar bahawa menurut Hukum, Kristus akan kekal selama-lamanya.+ Maka, mengapakah Guru mengatakan bahawa Anak Manusia harus digantungkan?*+ Siapakah Anak Manusia itu?” 35  Oleh itu Yesus menjawab, “Cahaya masih akan bersama kamu untuk sebentar waktu. Berjalanlah ketika cahaya masih ada, supaya kegelapan tidak menguasai kamu. Sesiapa yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu hala tujunya.+ 36  Berimanlah kepada cahaya sementara cahaya itu masih ada, supaya kamu dapat menjadi anak-anak cahaya.”+ Selepas Yesus berkata demikian, dia beredar dan menyembunyikan diri daripada mereka. 37  Walaupun dia sudah melakukan begitu banyak mukjizat di hadapan mereka, mereka masih tidak beriman kepadanya. 38  Maka berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Yehuwa,* siapakah yang mempercayai perkhabaran yang kami sampaikan?+ Kepada siapakah kuasa* Yehuwa* disingkapkan?”+ 39  Yesaya juga ada mengatakan sebab mereka tidak percaya, 40  “Dia sudah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati. Dengan ini, mata mereka tidak dapat melihat dan hati mereka tidak dapat mengerti. Mereka juga tidak kembali kepada-Nya untuk disembuhkan.”+ 41  Yesaya mengatakan hal-hal ini kerana dia telah melihat kemuliaan Kristus.+ 42  Meskipun demikian, ramai penguasa beriman kepadanya.+ Tetapi disebabkan orang Farisi, mereka tidak mengakuinya secara terang-terangan. Mereka tidak mahu dihalau keluar dari rumah ibadat,+ 43  kerana mereka lebih suka dimuliakan oleh manusia daripada dimuliakan oleh Tuhan.+ 44  Yesus berseru, “Sesiapa yang beriman kepadaku bukan sahaja beriman kepadaku, tetapi juga beriman kepada Dia yang mengutus aku.+ 45  Sesiapa yang melihat aku juga melihat Dia yang mengutus aku.+ 46  Aku datang sebagai cahaya ke dunia ini+ supaya setiap orang yang beriman kepadaku tidak tinggal dalam kegelapan.+ 47  Jika sesiapa mendengar kata-kataku tetapi tidak mematuhinya, aku tidak akan menghakiminya, kerana aku datang bukan untuk menghakimi dunia tetapi untuk menyelamatkan dunia.+ 48  Sesiapa yang menolak aku dan enggan menerima kata-kataku akan dihakimi. Kata-kata akulah yang akan menghakiminya pada hari terakhir. 49  Hal ini demikian kerana kata-kataku tidak berasal daripada diriku sendiri. Sebaliknya, Bapa yang mengutus aku telah memberikan perintah kepadaku tentang apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan.+ 50  Aku juga tahu bahawa perintah-Nya membawa kehidupan kekal.+ Apa sahaja yang aku katakan merupakan apa yang diberitahukan oleh Bapa kepadaku.”+

Nota Kaki

Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.
Harfiah, “1 paun,” iaitu paun Roma. Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “ditinggikan.”
Harfiah, “ditinggikan?”
Harfiah, “lengan.”