Surat kepada Titus 3:1-15

  • Ketaatan yang wajar (1-3)

  • Bersedia untuk berbuat baik (4-8)

  • Menolak perdebatan bodoh dan ajaran palsu (9-11)

  • Pesanan lain dan salam (12-15)

3  Teruslah mengingatkan mereka agar taat dan patuh kepada kerajaan dan pihak berkuasa,+ serta bersedia melakukan setiap perbuatan yang baik.  Ingatkan mereka agar tidak memburuk-burukkan sesiapa pun dan menjauhi sikap suka bertengkar. Mereka harus munasabah+ dan sentiasa lemah lembut kepada semua orang.+  Hal ini demikian kerana dahulu kita pun tidak berakal, ingkar, disesatkan, dan diperhamba oleh berbagai-bagai keinginan dan nafsu. Kita terus berbuat jahat dan bersikap iri hati, keji, dan saling membenci.  Namun begitu, Tuhan, Penyelamat kita, menunjukkan kebaikan hati+ dan kasih-Nya terhadap manusia.  Dia telah menyelamatkan kita, bukan kerana kita melakukan apa yang benar,+ tetapi kerana Dia berbelas kasihan.+ Dia menyelamatkan kita dengan membaharui kita melalui kuasa suci-Nya,*+ dan dengan membersihkan* kita supaya kita diberi hidup yang baharu.+  Dia telah mencurahkan kuasa suci-Nya secara berlimpah-limpah* ke atas kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita.+  Dengan demikian, setelah kita mendapat perkenan Tuhan melalui kebaikan hati-Nya yang unggul,+ kita dapat menjadi pewaris+ yang mempunyai harapan untuk menerima kehidupan kekal.+  Kata-kata itu dapat dipercayai, dan aku ingin kamu sentiasa menekankan perkara-perkara tersebut, supaya orang yang telah percaya kepada Tuhan dapat terus menumpukan fikiran kepada usaha mengamalkan perbuatan yang baik. Perkara-perkara tersebut baik dan berfaedah bagi manusia.  Tetapi janganlah melibatkan diri dalam perdebatan yang bodoh, pertikaian tentang salasilah keluarga, pertengkaran, dan perkelahian tentang Hukum, kerana semua itu sia-sia dan tidak bermanfaat.+ 10  Jika ada orang yang menyebarkan ajaran palsu,*+ tegurlah orang itu. Setelah menegurnya* buat kali kedua,+ hendaklah kamu menjauhinya,+ 11  kerana orang sedemikian sudah menyimpang daripada jalan yang benar. Dia berbuat dosa dan perbuatannya sendiri telah membuktikan bahawa dia bersalah. 12  Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus+ kepadamu, berusahalah sedaya upaya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah memutuskan untuk menghabiskan musim sejuk di situ. 13  Lakukanlah apa yang terdaya untuk membantu Zenas, yang arif dalam Hukum, dan Apolos, supaya mereka tidak kekurangan apa-apa dalam perjalanan mereka.+ 14  Hendaklah saudara-saudara kita juga belajar mengamalkan perbuatan baik, supaya mereka dapat membantu apabila adanya keperluan yang mendesak.+ Dengan demikian, mereka akan sentiasa membuahkan hasil dalam khidmat mereka.+ 15  Mereka semua yang ada bersamaku mengirim salam kepadamu. Sampaikan salamku kepada rakan-rakan seiman yang mengasihi kami. Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai kamu semua.

Nota Kaki

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Harfiah, “memandikan.”
Atau “dengan murah hati.”
Atau “ajaran yang berbeza.”
Atau “memberinya amaran.”