Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 15:1-39

  • Adat istiadat dikutuk (1-9)

  • Kenajisan berasal dari hati (10-20)

  • Iman wanita Fenisia (21-28)

  • Banyak penyakit disembuhkan (29-31)

  • 4,000 lelaki diberi makanan (32-39)

15  Kemudian beberapa orang Farisi dan jurutulis hukum dari Yerusalem datang kepada Yesus+ dan bertanya,  “Mengapakah murid-muridmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Misalnya, mereka tidak membasuh* tangan sebelum makan.”+  Dia menjawab, “Mengapakah kamu melanggar hukum Tuhan kerana adat istiadat kamu?+  Misalnya, Tuhan berfirman, ‘Hormatilah ibu bapa kamu,’+ dan, ‘Orang yang mencaci ibu bapa harus dihukum mati.’+  Tetapi kamu pula berkata, ‘Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Apa pun yang dapat saya gunakan untuk membantu ayah dan emak telah saya jadikan sebagai persembahan yang dikhaskan kepada Tuhan,”+  dia tidak perlu menghormati ayahnya lagi.’ Dengan ini kamu telah menjadikan firman Tuhan tidak bernilai kerana adat istiadat kamu.+  Hai orang yang bermuka dua, betapa tepatnya nubuat Yesaya tentang kamu ketika dia berkata,+  ‘Umat ini menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.  Sia-sia sahaja mereka terus menyembah Aku, kerana mereka mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman-Ku.’”+ 10  Kemudian dia memanggil orang ramai untuk mendekatinya lalu dia berkata kepada mereka, “Dengarlah dan fahamilah hal ini:+ 11  Yang menajiskan orang bukan apa yang masuk ke dalam mulut, tetapi apa yang keluar daripada mulut.”+ 12  Kemudian murid-muridnya datang dan berkata kepadanya, “Tahukah Guru bahawa orang Farisi tersandung kerana kata-kata Guru?”+ 13  Dia menjawab, “Setiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapaku yang di syurga akan dicabut. 14  Biarkanlah mereka. Mereka ialah pemimpin-pemimpin buta. Jika orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya akan jatuh ke dalam lubang.”+ 15  Petrus berkata kepadanya, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.” 16  Maka dia berkata, “Adakah kamu semua juga masih belum faham?+ 17  Tidakkah kamu sedar bahawa semua yang masuk ke dalam mulut akan turun ke dalam perut lalu keluar dari tubuh? 18  Namun apa yang keluar daripada mulut berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan seseorang.+ 19  Sebagai contoh, dari hatilah timbul fikiran-fikiran jahat+ yang menyebabkan orang membunuh, berzina, melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* mencuri, memberikan kesaksian palsu, dan menghina hal-hal yang suci. 20  Hal-hal inilah yang menajiskan seseorang dan bukannya makan tanpa membasuh* tangan.” 21  Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan sekitar Tirus dan Sidon.+ 22  Kemudian seorang wanita Fenisia* dari kawasan itu berseru, “Tuan, Anak Daud, kasihanilah aku! Anak perempuanku sangat terseksa kerana dirasuk roh jahat.”+ 23  Tetapi dia tidak mengucapkan sepatah kata pun kepada wanita itu. Maka murid-muridnya datang dan memohon kepadanya, “Suruhlah wanita itu pergi, kerana dia terus mengikut kita sambil menjerit.” 24  Yesus menjawab, “Tuhan mengutus aku hanya kepada orang Israel, yang bagaikan biri-biri yang sesat.”+ 25  Tetapi wanita itu datang lalu sujud di hadapannya dan berkata, “Tuan, tolonglah aku!” 26  Yesus berkata, “Adalah tidak wajar untuk mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anak-anak anjing.” 27  Wanita itu menjawab, “Betul Tuan, tetapi anak anjing pun makan sisa makanan yang jatuh dari meja tuannya.”+ 28  Lalu Yesus berkata kepadanya, “Hai wanita, alangkah besarnya imanmu! Biarlah terjadi seperti yang kamu inginkan.” Pada masa itu juga, anak perempuannya sembuh. 29  Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi dekat Tasik Galilea.+ Kemudian dia naik ke atas sebuah gunung lalu duduk di situ. 30  Ramai orang datang membawa orang yang tempang, cacat, buta, bisu, dan banyak lagi orang yang sakit kepadanya. Mereka menempatkan semua orang itu dekat kakinya, dan dia menyembuhkan mereka semua.+ 31  Orang ramai sangat kagum melihat orang bisu dapat bercakap, orang yang cacat disembuhkan, orang tempang dapat berjalan, dan orang buta dapat melihat, lalu mereka memuliakan Tuhan umat Israel.+ 32  Yesus memanggil murid-muridnya dan berkata, “Aku berasa kasihan terhadap orang ramai ini.+ Sudah tiga hari mereka bersamaku dan sekarang mereka telah kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mereka mungkin akan pengsan di tengah jalan.”+ 33  Tetapi murid-muridnya berkata, “Di tempat terpencil ini, di manakah kami dapat memperoleh roti yang cukup untuk begitu banyak orang?”+ 34  Jadi Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang kamu ada?” Mereka menjawab, “Tujuh ketul, dan beberapa ekor ikan kecil.” 35  Selepas dia menyuruh orang ramai duduk di atas tanah, 36  dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan-ikan itu lalu mengucapkan syukur. Kemudian dia membahagikan makanan itu dan memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai.+ 37  Semua orang makan sehingga kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi tujuh buah bakul yang besar.+ 38  Jumlah orang yang makan ialah 4,000 orang lelaki, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak. 39  Selepas dia menyuruh orang ramai pulang, dia menaiki sebuah perahu lalu pergi ke kawasan Magadan.+

Nota Kaki

Iaitu, membasuh mengikut upacara agama.
Bentuk jamak bagi perkataan Yunani por·neiʹa. Lihat Kamus.
Iaitu, tanpa membasuh mengikut upacara agama.
Atau “Kanaan.”