Berita Baik yang Disampaikan oleh Matius 13:1-58

  • PERUMPAMAAN TENTANG KERAJAAN TUHAN (1-52)

    • Petani (1-9)

    • Mengapa Yesus guna perumpamaan (10-17)

    • Perumpamaan tentang petani dijelaskan (18-23)

    • Gandum dan lalang (24-30)

    • Biji sawi dan ragi (31-33)

    • Perumpamaan digunakan seperti dinubuatkan (34, 35)

    • Perumpamaan tentang gandum dan lalang dijelaskan (36-43)

    • Harta terpendam dan mutiara bermutu (44-46)

    • Pukat (47-50)

    • Harta baharu dan lama (51, 52)

  • Yesus tidak diterima di kampung halamannya (53-58)

13  Pada hari itu, Yesus meninggalkan rumah dan pergi ke tasik. Semasa dia duduk di situ,  ramai orang datang kepadanya. Maka dia menaiki sebuah perahu dan duduk di dalamnya, sementara orang ramai berdiri di tepi tasik.+  Dia mengajar mereka banyak hal dengan menggunakan perumpamaan.+ Dia berkata, “Seorang petani keluar untuk menabur benih.+  Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan lalu burung datang dan memakannya.+  Ada benih yang jatuh di tempat berbatu dan segera bertunas kerana tanahnya sedikit.+  Tetapi semasa matahari terbit, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana akarnya tidak dalam.  Benih lain jatuh di antara semak berduri. Semak berduri itu tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut.+  Ada juga benih yang jatuh di atas tanah yang subur dan mula berbuah. Ada yang hasilnya 100 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 30 kali ganda.+  Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+ 10  Oleh itu, murid-muridnya datang kepadanya dan bertanya, “Mengapakah Guru bercakap kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan?”+ 11  Dia menjawab, “Tuhan sudah mengizinkan kamu untuk memahami rahsia suci+ tentang Kerajaan di syurga, tetapi mereka tidak diizinkan. 12  Sesiapa yang memiliki pengertian akan diberi lebih banyak pengertian, supaya pengertiannya melimpah. Tetapi bagi sesiapa yang tidak berpengertian, bahkan sedikit pengertian yang dimilikinya pun akan diambil daripadanya.+ 13  Walaupun mereka melihat, mereka tidak dapat nampak, dan walaupun mereka mendengar, mereka tidak dapat faham. Itulah sebabnya aku menggunakan perumpamaan semasa bercakap kepada mereka.+ 14  Apa yang dinubuatkan oleh Yesaya telah berlaku kepada mereka. Nubuat itu berbunyi, ‘Kamu memang akan mendengar, tetapi tidak akan faham. Kamu memang akan melihat, tetapi tidak akan nampak.+ 15  Hati umat ini sudah menjadi tidak peka. Walaupun mereka mendengar, mereka pura-pura tidak mendengar. Mereka memejamkan mata agar tidak melihat dan menutup telinga agar tidak mendengar. Jadi hati mereka tidak mempunyai pengertian dan mereka tidak kembali kepada Aku untuk disembuhkan.’+ 16  “Namun, berbahagialah kamu kerana matamu dapat melihat dan telingamu dapat mendengar.+ 17  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Banyak nabi dan orang yang melakukan apa yang benar di mata Tuhan ingin melihat apa yang sedang kamu lihat tetapi tidak dapat melihatnya.+ Mereka ingin mendengar apa yang sedang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya. 18  “Oleh itu, dengarlah maksud perumpamaan tentang petani itu.+ 19  Benih yang jatuh di jalan+ ialah orang yang mendengar perkhabaran tentang Kerajaan Tuhan tetapi tidak memahaminya, lalu benih yang ditanam dalam hatinya dirampas oleh Si Jahat.+ 20  Benih yang jatuh di tempat berbatu ialah orang yang mendengar perkhabaran itu dan segera menyambutnya dengan sukacita.+ 21  Tetapi perkhabaran itu tidak berakar dalam hatinya. Dia menerimanya untuk seketika, tetapi sebaik sahaja dia mengalami kesengsaraan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, dia tersandung. 22  Benih yang jatuh di semak berduri ialah orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran hidup sistem dunia ini*+ dan tipu daya kekayaan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah.+ 23  Benih yang jatuh di tanah yang subur pula ialah orang yang mendengar perkhabaran itu dan memahaminya, lalu benar-benar membuahkan hasil. Ada yang hasilnya 100 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 30 kali ganda.”+ 24  Dia menceritakan satu lagi perumpamaan kepada mereka: “Kerajaan di syurga bagaikan seorang lelaki yang menabur benih yang baik di ladangnya. 25  Semasa semua orang tidur, musuhnya datang dan menabur benih lalang* di antara gandum lalu beredar. 26  Semasa daun dan bulir gandum muncul, lalang pun menjadi ketara. 27  Hamba-hamba kepada lelaki itu bertanya kepadanya, ‘Tidakkah tuan menabur benih yang baik di ladang? Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?’ 28  Dia berkata kepada mereka, ‘Ini angkara musuh.’+ Hamba-hamba itu bertanya lagi, ‘Jadi, patutkah kami mencabut semua lalang itu?’ 29  ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana semasa kamu mencabut lalang, mungkin gandum juga tercabut. 30  Biarlah kedua-duanya tumbuh bersama sehingga musim menuai. Pada musim menuai, aku akan memberitahu penuai: Kumpulkan lalang terlebih dahulu dan ikatlah lalang itu untuk dibakar. Selepas itu kumpulkan gandum ke dalam jelapang aku.’”+ 31  Dia menceritakan satu lagi perumpamaan kepada mereka: “Kerajaan di syurga bagaikan biji sawi yang diambil oleh seseorang untuk ditanam di ladangnya.+ 32  Biji sawi sebenarnya benih yang terkecil, tetapi dapat bertumbuh menjadi sayuran terbesar lalu menjadi sebatang pokok. Burung-burung di langit pun datang dan mencari tempat tinggal di dahan-dahannya.” 33  Dia memberitahu mereka satu lagi perumpamaan: “Kerajaan di syurga bagaikan ragi yang diambil oleh seorang wanita untuk dicampurkan dengan tiga bekas* tepung sehingga seluruh adunan itu naik.”+ 34  Yesus memberitahukan semua hal ini kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak akan bercakap kepada mereka tanpa menggunakan perumpamaan+ 35  supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh seorang nabi: “Mulutku akan mengucapkan perumpamaan. Aku akan mengumumkan hal-hal yang tersembunyi sejak permulaan.”*+ 36  Selepas menyuruh orang ramai bersurai, Yesus masuk ke dalam rumah. Murid-muridnya datang kepadanya dan berkata, “Jelaskanlah kepada kami maksud perumpamaan tentang lalang di ladang.” 37  Dia menjawab, “Orang yang menabur benih yang baik itu ialah Anak Manusia. 38  Ladang ialah dunia.+ Benih yang baik ialah anak-anak Kerajaan Tuhan, manakala lalang ialah anak-anak Si Jahat.+ 39  Musuh yang menanam lalang ialah Iblis. Musim menuai ialah penghujung sistem dunia ini,* dan penuai ialah para malaikat. 40  Sebagaimana lalang dikumpulkan lalu dibakar dengan api, hal yang sama akan terjadi semasa penghujung sistem dunia ini.*+ 41  Anak Manusia akan mengutus para malaikatnya untuk mengumpulkan mereka yang menyebabkan orang lain tersandung dan mereka yang mengamalkan perbuatan jahat. Semua orang ini akan dikeluarkan daripada Kerajaan Tuhan 42  dan dibuang ke dalam relau berapi.+ Di situ, mereka akan menangis dan menggertakkan gigi. 43  Pada masa itu, orang yang mendapat perkenan Tuhan akan bersinar terang seperti matahari+ dalam Kerajaan Bapa mereka. Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti. 44  “Kerajaan di syurga bagaikan harta yang terpendam di ladang. Seorang lelaki menemuinya dan menyembunyikannya. Dengan sukacita, dia menjual segala yang dimilikinya dan membeli ladang itu.+ 45  “Kerajaan di syurga juga seperti seorang saudagar yang menjelajah ke merata tempat untuk mencari mutiara yang bermutu. 46  Semasa dia menemui sebutir mutiara yang bermutu tinggi, dia segera pergi dan menjual segala yang dimilikinya untuk membeli mutiara itu.+ 47  “Kerajaan di syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat bermacam-macam ikan. 48  Apabila pukat itu penuh, nelayan menariknya ke pantai. Mereka duduk dan menyimpan ikan yang baik+ di dalam bekas, tetapi mereka membuang ikan yang tidak sesuai dimakan.+ 49  Itulah yang akan terjadi semasa penghujung sistem dunia.* Malaikat akan diutus untuk memisahkan orang jahat daripada orang baik. 50  Orang jahat akan dibuang ke dalam relau berapi. Di situ mereka akan menangis dan menggertakkan gigi. 51  “Adakah kamu faham semua ini?” tanya Yesus. “Ya,” jawab mereka. 52  Dia berkata kepada mereka, “Jika begitu, setiap guru yang sudah belajar tentang Kerajaan di syurga bagaikan tuan rumah yang mengeluarkan benda-benda yang baharu dan lama dari tempat penyimpanan hartanya.” 53  Selepas menceritakan perumpamaan-perumpamaan itu, Yesus pun beredar dari sana. 54  Dia datang ke kampung halamannya+ lalu mula mengajar orang di rumah ibadat. Orang ramai berasa sangat kagum dan berkata, “Dari manakah orang ini mendapat kebijaksanaan dan kuasa untuk melakukan mukjizat sebegini?+ 55  Bukankah dia anak tukang kayu?+ Bukankah ibunya bernama Maria? Bukankah adik-adik lelakinya bernama Yakobus, Yusuf, Simon, dan Yudas?+ 56  Bukankah adik-adik perempuannya juga ada bersama kita? Jadi, dari manakah orang ini mendapat segala kebolehannya?”+ 57  Oleh itu, mereka enggan percaya kepadanya.*+ Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana-mana sahaja, kecuali di kampung halamannya dan dalam keluarganya sendiri.”+ 58  Memandangkan mereka tidak beriman, dia tidak melakukan banyak mukjizat di situ.

Nota Kaki

Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Lalang jenis ini beracun dan kelihatan seperti gandum.
Harfiah, “3 seah.” Lihat Lampiran B14.
Atau mungkin, “sejak dunia diasaskan.”
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “mereka tersandung kerana dia.”