Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 8:1-56

  • Para wanita menolong Yesus (1-3)

  • Perumpamaan tentang petani (4-8)

  • Mengapa Yesus guna perumpamaan (9, 10)

  • Perumpamaan tentang petani dijelaskan (11-15)

  • Pelita tidak ditutup (16-18)

  • Ibu dan adik-adik Yesus (19-21)

  • Yesus meredakan ribut (22-25)

  • Roh jahat diusir ke dalam babi (26-39)

  • Anak Yairus; wanita yang menyentuh jubah Yesus (40-56)

8  Tidak lama kemudian, Yesus pergi dari kota ke kota dan dari pekan ke pekan untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.+ Dia pergi bersama 12 orang rasulnya  dan beberapa orang wanita yang telah dibebaskan daripada roh-roh jahat dan disembuhkan daripada penyakit. Antara mereka termasuk Maria yang dipanggil Magdalena, yang telah dibebaskan daripada tujuh roh jahat;  Yohana,+ iaitu isteri kepada pengurus rumah tangga Herodes yang bernama Khuza; Susana; dan banyak lagi wanita lain. Mereka semua menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.+  Pada masa itu, ada sekumpulan besar orang yang berhimpun, dan ada orang dari pelbagai kota yang datang kepada Yesus. Maka dia menceritakan satu perumpamaan:+  “Seorang petani keluar untuk menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan lalu dipijak-pijak orang dan dimakan burung di langit.+  Ada juga benih yang jatuh di atas batu. Selepas bertunas, tanaman itu layu kerana tidak mendapat air.+  Benih lain pula jatuh di antara semak berduri. Semak berduri yang tumbuh bersama-samanya membantutkan tumbuhan tersebut.+  Ada juga benih yang jatuh di atas tanah yang subur. Selepas bertunas, tanaman itu menghasilkan buah seratus kali ganda.”+ Selepas Yesus memberitahukan hal-hal ini, dia berseru, “Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+  Tetapi murid-muridnya bertanya kepadanya makna perumpamaan itu.+ 10  Maka dia berkata, “Tuhan sudah mengizinkan kamu untuk memahami rahsia suci tentang Kerajaan Tuhan. Tetapi orang lain dapat mendengar perumpamaan sahaja.+ Dengan ini, walaupun mereka melihat, mereka tidak dapat nampak, dan walaupun mereka mendengar, mereka tidak dapat faham.+ 11  Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu ialah firman Tuhan.+ 12  Benih yang jatuh di jalan ialah orang yang mendengar firman Tuhan, tetapi kemudian Iblis datang dan merampas firman yang ditanam dalam hati mereka supaya mereka tidak percaya dan tidak diselamatkan.+ 13  Benih yang jatuh di atas batu ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menyambutnya dengan sukacita. Tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka percaya untuk seketika, tetapi semasa ditimpa cubaan, mereka tidak lagi percaya.+ 14  Benih yang jatuh di semak berduri ialah orang yang mendengar firman itu, tetapi perhatian mereka disimpangkan oleh kekhuatiran, kekayaan,+ dan pelbagai nikmat dalam hidup ini.+ Akibatnya, firman itu terbantut sama sekali dan tidak menghasilkan buah yang matang.+ 15  Benih yang jatuh di tanah yang subur pula ialah orang yang memiliki hati yang baik dan jujur.+ Setelah mendengar firman itu, mereka menyimpannya di hati dan membuahkan hasil dengan tabah.+ 16  “Tiada sesiapa pun yang akan menyalakan pelita lalu menutupinya dengan bekas atau meletakkannya di bawah katil. Sebaliknya, pelita itu diletakkan di atas kaki pelita agar orang yang masuk dapat melihat cahayanya.+ 17  Apa sahaja yang tertutup akan menjadi nyata, dan apa sahaja yang disembunyikan dengan cermat akan diketahui dan didedahkan.+ 18  Oleh itu, perhatikanlah cara kamu mendengar kerana sesiapa yang memiliki pengertian akan diberi lebih banyak pengertian.+ Tetapi bagi sesiapa yang tidak berpengertian, bahkan sedikit pengertian yang disangkanya ada padanya pun akan diambil daripadanya.”+ 19  Ketika itu, ibu dan adik-adik lelaki Yesus+ datang kepadanya, tetapi mereka tidak dapat menghampirinya kerana orang di situ terlalu ramai.+ 20  Jadi, ada orang memberitahunya, “Ibu dan adik-adik Guru sedang berdiri di luar dan ingin berjumpa dengan Guru.” 21  Tetapi dia berkata kepada mereka, “Ibuku dan adik-adikku ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan melakukannya.”+ 22  Pada suatu hari, dia dan murid-muridnya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberangi tasik.” Maka mereka pun bertolak.+ 23  Semasa mereka belayar, Yesus tertidur. Tiba-tiba, angin ribut yang kencang melanda tasik itu. Perahu itu mula dipenuhi air sehingga mereka berada dalam bahaya.+ 24  Oleh itu mereka pergi membangunkannya dan berkata, “Guru! Guru! Kami hampir mati!” Maka dia bangun lalu menegur angin dan air yang bergelora. Kemudian ribut itu pun reda dan keadaan menjadi tenang semula.+ 25  Kemudian dia berkata kepada mereka, “Di manakah iman kamu?” Tetapi mereka diselubungi rasa takut dan kagum. Mereka berkata kepada satu sama lain, “Siapakah sebenarnya orang ini? Angin dan air pun mematuhinya.”+ 26  Selepas itu, mereka mendarat di kawasan Gerasa,+ yang terletak di seberang Galilea. 27  Semasa Yesus naik ke darat, seorang lelaki dari kota berhampiran yang dirasuk roh-roh jahat berjalan ke arahnya. Sudah lama dia tidak berpakaian. Dia juga tidak tinggal di rumah tetapi tinggal di kawasan kubur.+ 28  Apabila dia nampak Yesus, dia menjerit lalu bersujud di hadapannya dan berseru dengan suara yang lantang, “Hai Yesus, Anak Tuhan Yang Maha Tinggi, apa kena-mengena aku dengan kamu? Aku merayu kepadamu, janganlah seksa aku.”+ 29  (Hal ini demikian kerana Yesus telah memberikan perintah kepada roh-roh jahat untuk keluar daripada lelaki itu. Sudah banyak kali*+ mereka menguasai lelaki tersebut, dan sudah banyak kali orang mengawasi dia selepas merantai tangannya dan membelenggu kakinya. Tetapi dia memutuskan rantai dan belenggu itu lalu melarikan diri ke tempat-tempat yang sunyi di bawah pengaruh roh-roh jahat.) 30  Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah nama kamu?” Dia menjawab, “Namaku Legiun,”* kerana dia telah dirasuk banyak roh jahat. 31  Roh-roh itu merayu berkali-kali agar Yesus tidak menghalau mereka ke jurang yang dalam.*+ 32  Ketika itu ada banyak babi+ yang sedang makan di gunung. Roh-roh jahat itu merayu supaya Yesus mengizinkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu. Apabila Yesus mengizinkan mereka berbuat demikian,+ 33  mereka keluar dan masuk ke dalam babi-babi itu. Kemudian, semua babi itu meluru ke arah tebing curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas. 34  Apabila orang yang menjaga kawanan babi itu nampak apa yang berlaku, mereka melarikan diri dan melaporkan hal itu di kota dan di desa. 35  Maka orang ramai pun pergi untuk melihat apa yang terjadi. Mereka datang kepada Yesus dan nampak lelaki yang sudah dibebaskan daripada roh-roh jahat itu. Mereka semua menjadi takut semasa melihatnya sudah berpakaian, berfikiran waras, dan sedang duduk dekat kaki Yesus. 36  Orang yang telah menyaksikan kejadian itu memberitahu mereka bagaimana lelaki yang dirasuk roh-roh jahat tersebut disembuhkan. 37  Lalu ramai penduduk kawasan Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu kerana mereka dicengkam rasa takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. 38  Lelaki yang dibebaskan daripada roh-roh jahat itu asyik merayu supaya dia dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus menyuruh lelaki itu pergi dengan berkata,+ 39  “Pulanglah dan beritahulah orang segala yang telah dilakukan oleh Tuhan untukmu.” Maka dia pergi ke seluruh kota dan menceritakan hal-hal yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. 40  Semasa Yesus kembali, orang ramai menyambut dia dengan ramah kerana mereka sedang menanti-nantikannya.+ 41  Pada masa itu, seorang ketua rumah ibadat yang bernama Yairus datang kepadanya. Dia bersujud di depan kaki Yesus dan merayu supaya Yesus pergi ke rumahnya+ 42  kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur kira-kira 12 tahun, hampir meninggal. Semasa Yesus berjalan ke situ, dia dihimpit oleh ramai orang. 43  Di situ ada seorang wanita yang menderita masalah pendarahan+ selama 12 tahun dan tidak dapat disembuhkan oleh sesiapa pun.+ 44  Wanita itu menghampiri Yesus dari belakang dan menyentuh hujung jubah luarnya,+ lalu pendarahannya berhenti dengan serta-merta. 45  Maka Yesus bertanya, “Siapakah yang menyentuh aku?” Memandangkan tiada orang yang mengaku, Petrus berkata, “Guru, orang ramai sedang berasak-asak dan menghimpit Guru.”+ 46  Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh aku kerana aku sedar bahawa kuasa+ telah keluar daripada aku.” 47  Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dengan gementar, dia bersujud di depan Yesus dan memberitahu semua orang mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana dia disembuhkan dalam sekelip mata. 48  Tetapi Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anakku, kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai.”+ 49  Semasa Yesus sedang bercakap, seorang lelaki dari rumah Yairus datang dan berkata, “Anak perempuan tuan sudah mati! Usahlah menyusahkan Guru lagi.”+ 50  Yesus terdengar kata-katanya dan berkata kepada Yairus, “Janganlah bimbang. Berimanlah dan anakmu akan diselamatkan.”+ 51  Apabila dia tiba di rumah itu, dia tidak mengizinkan sesiapa pun untuk masuk dengannya kecuali Petrus, Yohanes, Yakobus, dan ibu bapa gadis itu. 52  Memandangkan semua orang sedang menangis dan memukul dada dengan sedih, dia berkata, “Janganlah menangis.+ Gadis kecil ini tidak mati, dia hanya tidur.”+ 53  Mereka pun mentertawakannya kerana mereka tahu bahawa gadis itu sudah meninggal. 54  Tetapi dia memegang tangan gadis itu dan berkata, “Anak kecil, bangunlah!”+ 55  Nyawa*+ anak itu kembali dan pada saat itu juga dia bangun.+ Lalu Yesus menyuruh orang untuk memberikan makanan kepada anak itu. 56  Ibu bapanya tidak dapat mengawal perasaan kerana mereka terlalu gembira. Namun Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang apa yang telah berlaku.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “Sudah lama.”
“Legiun” ialah unit bagi pasukan tentera Roma kuno. Di sini perkataan “legiun” merujuk kepada angka yang besar.
Lihat Kamus.
Atau “Nafas (daya hidup).”