Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 21:1-38

  • Sumbangan balu miskin (1-4)

  • TANDA BAGI APA YANG AKAN BERLAKU (5-36)

    • Peperangan, gempa bumi dahsyat, wabak, kebuluran (10, 11)

    • Yerusalem dikepung oleh tentera (20)

    • Waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa (24)

    • Kedatangan Anak Manusia (27)

    • Perumpamaan tentang pokok ara (29-33)

    • Teruslah berjaga-jaga (34-36)

  • Yesus mengajar di Rumah Tuhan (37, 38)

21  Semasa Yesus melihat ke arah peti-peti sumbangan, dia nampak orang kaya memasukkan derma ke dalam peti-peti itu.+  Selepas itu, dia nampak seorang balu miskin memasukkan dua keping mata wang yang kecil,* yang sangat rendah nilainya.+  Yesus berkata, “Ketahuilah: Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada apa yang dimasukkan oleh semua orang lain.+  Hal ini demikian kerana semua orang lain memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.”+  Kemudian, beberapa orang bercakap tentang Rumah Tuhan. Mereka berkata betapa indahnya Rumah Tuhan yang dihiasi dengan batu-batu yang indah dan pelbagai pemberian yang dipersembahkan kepada Tuhan.+  Yesus berkata, “Akan tiba masanya semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”+  Mereka bertanya kepadanya, “Guru, bilakah hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bahawa semua ini akan berlaku?”+  Dia menjawab, “Berhati-hatilah supaya kamu tidak disesatkan.+ Ramai orang akan datang dengan namaku dan berkata, ‘Akulah Kristus,’ dan, ‘Waktu yang ditentukan sudah dekat.’ Janganlah mengikut mereka.+  Tambahan lagi, semasa kamu mendengar tentang peperangan dan keadaan yang huru-hara, janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi akhir tidak akan datang dengan serta-merta.”+ 10  Dia berkata lagi, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain,+ dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.+ 11  Gempa bumi yang dahsyat akan berlaku. Selain itu, kebuluran dan wabak akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat,+ dan orang akan melihat kejadian yang menakutkan dan tanda-tanda yang luar biasa dari langit. 12  “Tetapi sebelum semua ini berlaku, orang akan menangkap dan menganiaya kamu.+ Kamu akan diserahkan untuk diadili di rumah ibadat lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja-raja dan gabenor kerana namaku.+ 13  Pada masa itu, kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian. 14  Oleh itu, bertekadlah dalam hati kamu untuk tidak berlatih terlebih dahulu tentang cara untuk membela diri,+ 15  kerana aku akan memberi kamu kata-kata dan kebijaksanaan. Dengan demikian, meskipun semua penentang kamu berganding bahu, mereka tidak akan dapat melawan atau membantah kata-kata kamu.+ 16  Tambahan lagi, kamu akan dikhianati oleh ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, dan sahabat kamu. Beberapa orang antara kamu akan dibunuh,+ 17  dan kamu akan dibenci oleh semua orang kerana namaku.+ 18  Namun begitu, kamu tidak akan kehilangan sehelai rambut pun.+ 19  Jika kamu tabah, nyawa kamu akan terpelihara.+ 20  “Namun, apabila kamu nampak Yerusalem dikepung oleh tentera,+ ketahuilah bahawa kota itu akan dimusnahkan dengan segera.+ 21  Pada masa itu, hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan,+ dan hendaklah mereka yang berada di Yerusalem keluar dari sana. Mereka yang berada di kawasan pekan pula janganlah memasuki kota itu. 22  Hal ini demikian kerana itulah masanya Tuhan menjatuhkan hukuman* agar semua yang tertulis berlaku. 23  Alangkah malangnya wanita yang hamil dan ibu yang menyusui bayi pada masa itu!+ Negeri ini akan mengalami kesusahan yang besar dan umat ini akan dihukum. 24  Mereka akan rebah mati dibunuh dengan pedang dan dibawa sebagai tawanan ke negeri-negeri lain.+ Yerusalem akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa lain sehingga waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain genap.+ 25  “Selain itu, tanda-tanda akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang.+ Di bumi, bangsa-bangsa akan menderita dan mereka tidak akan tahu jalan keluar kerana deruan laut yang bergelora. 26  Apabila orang menantikan apa yang bakal melanda seluruh bumi, mereka akan pengsan ketakutan kerana kuasa-kuasa di langit akan digoncangkan. 27  Selepas itu, orang akan melihat Anak Manusia+ datang dikelilingi awan dengan kuasa dan kemuliaan yang besar.+ 28  Apabila hal-hal ini mula berlaku, berdirilah dengan tegak dan angkatlah kepala kamu kerana pembebasan kamu sudah dekat.” 29  Kemudian, Yesus menceritakan perumpamaan berikut kepada mereka: “Perhatikanlah pokok ara dan semua pokok yang lain.+ 30  Sebaik sahaja kamu melihat pokok mula berdaun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 31  Demikian juga, apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, ketahuilah bahawa Kerajaan Tuhan sudah dekat. 32  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Generasi ini tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku.+ 33  Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kataku tidak akan lenyap sama sekali.+ 34  “Tetapi perhatikanlah diri kamu agar hati kamu tidak sarat dengan makan berlebihan, minum berlebihan,+ dan kekhuatiran hidup,+ sehingga hari itu menimpa kamu dengan tiba-tiba 35  seperti perangkap.+ Hari itu akan menimpa semua penduduk di seluruh muka bumi. 36  Jadi, teruslah berjaga-jaga+ dan sentiasalah merayu kepada Tuhan+ agar kamu dapat diselamatkan daripada semua hal ini yang mesti berlaku dan dapat berdiri di hadapan Anak Manusia.”+ 37  Pada siang hari, Yesus mengajar di Rumah Tuhan dan pada waktu malam, dia keluar dari sana dan bermalam di sebuah gunung yang disebut Gunung Zaitun. 38  Pada awal pagi, semua orang datang untuk mendengarkannya di Rumah Tuhan.

Nota Kaki

Harfiah, “2 lepton.” Lihat Lampiran B14.
Atau “mendatangkan pembalasan.”