Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 2:1-52

  • Kelahiran Yesus (1-7)

  • Malaikat berdiri di hadapan gembala (8-20)

  • Sunat dan penyucian (21-24)

  • Simeon melihat Kristus (25-35)

  • Hana bercakap tentang anak itu (36-38)

  • Kembali ke Nasaret (39, 40)

  • Di Rumah Tuhan ketika berumur 12 tahun (41-52)

2  Pada masa itu, Kaisar* Agustus mengeluarkan perintah kepada semua penduduk bumi untuk mendaftarkan diri.  (Kirenius ialah gabenor Siria semasa pendaftaran pertama ini dijalankan.)  Maka, semua orang pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri.  Yusuf+ juga berangkat dari kota Nasaret di Galilea lalu pergi ke Yudea. Memandangkan dia berasal daripada keturunan Daud, dia pergi ke kota Daud yang disebut Betlehem.+  Dia mendaftarkan diri bersama-sama isterinya Maria,+ yang pada masa itu hampir bersalin.+  Semasa mereka di situ, genaplah masanya bagi Maria untuk bersalin.  Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung.+ Dia membalutnya dengan kain dan meletakkannya di dalam palung+ kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menginap.  Pada malam itu, di kawasan yang sama, para gembala berada di padang terbuka untuk menjaga kawanan biri-biri mereka.  Tiba-tiba, malaikat Yehuwa* berdiri di hadapan mereka dan kemuliaan Yehuwa* memancar di sekeliling mereka. Mereka menjadi sangat takut, 10  tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang untuk mengisytiharkan berita baik yang akan membawa sukacita yang besar kepada semua orang. 11  Hari ini, seorang Penyelamat,+ iaitu Tuan Kristus,+ telah dilahirkan di kota Daud.+ 12  Inilah tandanya bagi kamu: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibalut dengan kain dan sedang berbaring di dalam palung.” 13  Tiba-tiba, sepasukan besar malaikat* menyertai malaikat itu.+ Mereka memuji-muji Tuhan dan berkata, 14  “Semoga Tuhan yang di syurga dimuliakan, dan semoga orang di bumi yang diperkenankan-Nya mendapat kedamaian.” 15  Setelah para malaikat beredar dari sana dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata kepada satu sama lain, “Mari kita pergi ke Betlehem sekarang dan melihat perkara yang telah berlaku ini, yang sudah disingkapkan oleh Yehuwa* kepada kita.” 16  Mereka segera pergi lalu menemui Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. 17  Semasa mereka melihat bayi itu, mereka memberitahu orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi tersebut. 18  Semua orang yang mendengar apa yang dikatakan oleh para gembala berasa sangat hairan, 19  tetapi Maria menyimpan semua yang dikatakan itu dalam hatinya dan merenungkan ertinya.+ 20  Kemudian, semua gembala itu pulang sambil memuliakan dan memuji Tuhan, kerana segala yang telah didengari dan dilihat oleh mereka, tepat seperti yang dikatakan kepada mereka. 21  Apabila anak itu berumur lapan hari, tibalah masanya dia disunat.+ Dia dinamakan Yesus, iaitu nama yang diberikan oleh malaikat itu sebelum Maria menjadi hamil.+ 22  Kemudian, tibalah masanya untuk mereka menjalankan upacara penyucian menurut Hukum Musa.+ Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk menghadapkannya kepada Yehuwa,* 23  selaras dengan apa yang tertulis dalam Hukum Yehuwa:* “Setiap anak lelaki sulung mesti dikhususkan* untuk Yehuwa.”*+ 24  Mereka juga mempersembahkan korban menurut Hukum Yehuwa* yang menyatakan: “Kamu harus mempersembahkan sepasang burung tekukur atau dua ekor burung merpati yang muda.”+ 25  Pada masa itu, ada seorang lelaki di Yerusalem yang bernama Simeon. Dia seorang yang takut akan Tuhan dan melakukan apa yang benar. Dia menantikan masanya Tuhan melegakan hati umat Israel.+ Kuasa suci Tuhan ada padanya, 26  dan melalui kuasa suci itu, Simeon diberitahu bahawa dia tidak akan meninggal sebelum dia melihat Kristus yang diutus oleh Yehuwa.* 27  Di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan, dia masuk ke dalam Rumah Tuhan. Pada masa itu, Yusuf dan Maria membawa Yesus yang masih kecil ke situ untuk melakukan apa yang dituntut oleh Hukum.+ 28  Simeon mendukung anak itu sambil memuji Tuhan, 29  “Tuhan Yang Berdaulat, sekarang hamba-Mu dapat mati dengan tenteram.+ Seperti yang Engkau firmankan, 30  mataku sudah melihat Penyelamat+ yang datang daripada-Mu, 31  yang telah Engkau sediakan di hadapan semua orang.+ 32  Dialah cahaya+ yang akan menyingkirkan selubung bangsa-bangsa+ dan membawa kemuliaan kepada umat-Mu Israel.” 33  Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu. 34  Simeon juga memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Lihatlah! Disebabkan anak ini, ada orang di Israel yang akan jatuh+ dan ada yang akan bangkit.+ Walaupun Tuhan memberi mereka tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Tuhan menyertainya, banyak orang akan menghinanya.+ 35  Disebabkan dia, fikiran dan isi hati ramai orang akan didedahkan. Tetapi bagimu, kamu akan merintih kesedihan seolah-olah hatimu ditembusi sebilah pedang yang panjang.”+ 36  Terdapat seorang nabi wanita yang lanjut usia, yang bernama Hana. Dia merupakan anak Fanuel dan berasal daripada suku Asyer. Selepas berkahwin, dia telah hidup bersama suaminya selama tujuh tahun 37  sebelum menjadi balu. Kini dia berumur 84 tahun dan dia sentiasa hadir di Rumah Tuhan. Dia berpuasa, berdoa dengan bersungguh-sungguh, dan menjalankan khidmat suci siang dan malam. 38  Semasa Yusuf dan Maria berada di dalam Rumah Tuhan, dia datang kepada mereka dan mula mengucapkan syukur kepada Tuhan. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Yerusalem dibebaskan.+ 39  Selepas ibu bapa Yesus melaksanakan segala yang diperintahkan dalam Hukum Yehuwa,*+ mereka pulang ke kampung halaman mereka di Galilea, iaitu Nasaret.+ 40  Anak kecil itu bertambah besar dan kuat. Dia dipenuhi kebijaksanaan dan sentiasa mendapat perkenan Tuhan.+ 41  Sudah menjadi kebiasaan ibu bapa Yesus untuk pergi ke Yerusalem setiap tahun bagi menyambut Perayaan Paska.*+ 42  Ketika Yesus berumur 12 tahun, mereka pergi ke perayaan itu seperti biasa.+ 43  Sehabis perayaan itu, mereka pun bertolak untuk pulang. Tetapi ibu bapa Yesus tidak sedar bahawa Yesus masih berada di Yerusalem. 44  Mereka menyangka bahawa dia sedang mengikut orang ramai yang berjalan bersama mereka. Setelah berjalan sehari suntuk, barulah mereka mencari-cari dia antara sanak saudara dan kenalan mereka. 45  Tetapi memandangkan mereka tidak menjumpainya, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari dia dengan teliti. 46  Selepas tiga hari, mereka menjumpainya di dalam Rumah Tuhan. Dia sedang duduk bersama guru-guru agama sambil mendengar dan mengajukan soalan kepada mereka. 47  Semua orang yang mendengarnya kagum dengan daya pemahaman dan jawapannya.+ 48  Semasa ibu bapa Yesus melihatnya, mereka berasa hairan. Ibunya berkata, “Nak, mengapakah kamu berbuat seperti ini terhadap kami? Cemas hati emak dan ayah mencarimu.” 49  Tetapi Yesus menjawab, “Mengapakah emak dan ayah mencari saya? Tidakkah emak dan ayah tahu bahawa saya pasti berada di rumah Bapaku?”+ 50  Tetapi mereka tidak memahami kata-katanya. 51  Setelah itu, Yesus pulang bersama mereka ke Nasaret dan dia terus taat kepada mereka.+ Ibunya menyimpan semua perkara ini dalam hatinya.+ 52  Yesus kian membesar dan kebijaksanaannya kian bertambah. Dia semakin disenangi oleh Tuhan dan manusia.

Nota Kaki

Gelaran bagi maharaja Roma.
Harfiah, “bala tentera syurga.”
Harfiah, “disucikan.”
Lihat Kamus.