Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 18:1-43

RANGKA KANDUNGAN

  • Perumpamaan tentang balu yang tidak putus asa (1-8)

  • Orang Farisi dan pemungut cukai (9-14)

  • Yesus dan anak-anak (15-17)

  • Soalan pemimpin yang kaya (18-30)

  • Kematian Yesus dinubuatkan sekali lagi (31-34)

  • Pengemis buta pulih penglihatannya (35-43)

18  Kemudian, Yesus menceritakan satu perumpamaan untuk mengajar mereka bahawa mereka perlu sentiasa berdoa dan tidak berputus asa.+  Dia berkata, “Di sebuah kota, terdapat seorang hakim yang tidak takut kepada Tuhan dan tidak menghormati orang.  Di kota itu juga ada seorang balu yang asyik pergi kepadanya dan berkata, ‘Semasa aku menghadapi lawanku di mahkamah, tolonglah tegakkan keadilan bagiku.’  Buat suatu ketika, hakim itu enggan menolong balu itu, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut kepada Tuhan dan tidak menghormati orang,  aku akan menegakkan keadilan bagi balu ini kerana dia asyik menyusahkan aku. Jika tidak, dia akan terus datang dan mengganggu aku dengan permintaannya itu.’”+  Kemudian Tuan Yesus berkata, “Walaupun hakim itu bukanlah orang yang melakukan apa yang benar, dengarlah apa yang dikatakannya!  Dalam cara yang sama, walaupun Tuhan sabar,+ tidakkah Dia akan menegakkan keadilan bagi umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam?+  Aku berkata kepada kamu: Dia akan menegakkan keadilan bagi mereka dengan segera. Namun, semasa Anak Manusia tiba, dapatkah dia menemui iman sejati di bumi?”  Yesus juga menceritakan satu perumpamaan kepada orang yang yakin bahawa diri mereka alim tetapi memandang hina pada orang lain. 10  Dia berkata, “Dua orang lelaki pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Seorang ialah orang Farisi dan seorang lagi ialah pemungut cukai. 11  Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya, ‘Ya Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini atau orang lain yang memeras ugut, berbuat salah, dan berzina. 12  Aku berpuasa dua kali seminggu, dan aku memberikan satu persepuluh daripada semua yang aku peroleh.’+ 13  Tetapi pemungut cukai itu berdiri dari jauh dan bahkan tidak berani menengadah ke langit. Dia terus memukul dadanya sambil berkata, ‘Ya Tuhan, kasihanilah aku, kerana aku orang yang berdosa.’+ 14  Aku berkata kepada kamu: Semasa orang ini pulang, di mata Tuhan dia lebih baik daripada orang Farisi itu,+ kerana sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”+ 15  Pada masa itu, ada orang membawa anak-anak kecil* kepada Yesus supaya dia meletakkan tangannya ke atas mereka. Tetapi murid-murid Yesus melihat hal ini lalu memarahi mereka.+ 16  Namun, Yesus menyuruh agar anak-anak* itu dibawa kepadanya dan berkata, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku. Jangan mencuba menghalang mereka, kerana Kerajaan Tuhan akan menjadi milik orang seperti mereka.+ 17  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang tidak menerima Kerajaan Tuhan seperti seorang kanak-kanak, tidak akan masuk ke dalamnya.”+ 18  Salah seorang pemimpin orang Yahudi bertanya kepadanya, “Guru yang Baik, apakah yang mesti aku lakukan untuk meraih kehidupan yang kekal?”+ 19  Yesus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.+ 20  Kamu tahu hukum-hukum yang berikut: ‘Jangan berzina,+ jangan membunuh,+ jangan mencuri,+ jangan memberikan kesaksian palsu,+ hormatilah ibu bapa kamu.’”+ 21  Orang itu menjawab, “Aku sudah mematuhi semua hukum ini sejak muda.” 22  Selepas mendengar jawapannya, Yesus berkata, “Ada satu lagi perkara yang perlu kamu lakukan: Juallah semua harta milik kamu dan bahagikan wang itu kepada orang miskin. Dengan ini, kamu akan mempunyai harta di syurga. Kemudian, marilah dan jadilah pengikutku.”+ 23  Orang itu sedih sekali ketika mendengar kata-kata ini kerana dia sangat kaya.+ 24  Yesus memandangnya dan berkata, “Alangkah susahnya bagi orang yang kaya untuk memasuki Kerajaan Tuhan!+ 25  Sebenarnya lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”+ 26  Orang yang mendengarnya bertanya, “Jika begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”+ 27  Dia menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia tidak mustahil bagi Tuhan.”+ 28  Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan harta milik kami lalu mengikut Guru.”+ 29  Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Sesiapa yang meninggalkan rumah, isteri, adik-beradik, ibu bapa, atau anak, demi Kerajaan Tuhan+ 30  pasti menerima semuanya secara berlipat ganda pada zaman ini, dan pada sistem yang akan datang,* dia akan menerima kehidupan yang kekal.”+ 31  Kemudian dia membawa 12 orang rasulnya ke tepi dan berkata kepada mereka, “Lihatlah! Kita sedang menuju ke Yerusalem, dan segala yang ditulis oleh para nabi mengenai Anak Manusia akan terjadi.+ 32  Misalnya dia akan diserahkan kepada orang daripada bangsa lain,+ diperolok-olokkan,+ dihina, dan diludahi.+ 33  Mereka akan mencambuknya dan kemudian membunuhnya,+ tetapi dia akan bangkit pada hari yang ketiga.”+ 34  Namun, mereka tidak dapat memahami semua hal ini kerana maksudnya telah dirahsiakan daripada mereka. 35  Semasa Yesus hampir tiba di Yerikho, ada seorang lelaki buta yang sedang duduk sambil meminta sedekah di tepi jalan.+ 36  Apabila dia mendengar orang ramai lalu di situ, dia bertanya tentang apa yang sedang berlaku. 37  Mereka berkata kepadanya, “Yesus, orang Nasaret itu, sedang lalu di sini!” 38  Maka dia berseru, “Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!” 39  Dengan tegas, orang yang berjalan di hadapan menyuruhnya diam. Namun, dia berseru dengan lebih kuat lagi, “Anak Daud, kasihanilah aku!” 40  Yesus pun berhenti dan menyuruh orang membawa lelaki buta itu kepadanya. Apabila orang buta itu sudah dekat, Yesus bertanya kepadanya, 41  “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” Dia menjawab, “Tuan, pulihkanlah penglihatanku.” 42  Maka Yesus berkata kepadanya, “Biarlah penglihatanmu dipulihkan. Kamu sembuh kerana kamu beriman.”+ 43  Pada saat itu juga, penglihatan lelaki itu pulih lalu dia mula mengikut Yesus+ sambil memuliakan Tuhan. Semua orang yang melihat hal itu juga memuji Tuhan.+

Nota Kaki

Harfiah, “bayi-bayi.”
Harfiah, “bayi-bayi.”
Atau “zaman yang akan datang.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”