Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 11:1-54

  • Cara berdoa (1-13)

    • Doa contoh (2-4)

  • Roh jahat diusir dengan kuasa suci Tuhan (14-23)

  • Roh jahat kembali (24-26)

  • Kebahagiaan sejati (27, 28)

  • Tanda Yunus (29-32)

  • Pelita tubuh (33-36)

  • Malanglah pemimpin agama yang bermuka dua (37-54)

11  Pada suatu hari, Yesus sedang berdoa di suatu tempat. Setelah dia berdoa, salah seorang muridnya berkata, “Tuan, ajarlah kami cara untuk berdoa, sebagaimana Yohanes mengajar murid-muridnya berdoa.”  Maka dia berkata kepada mereka, “Semasa kamu berdoa, katalah, ‘Bapa, semoga nama-Mu disucikan.+ Datanglah Kerajaan-Mu.+  Berilah kami makanan* yang kami perlukan setiap hari.+  Ampunkanlah dosa kami,+ kerana kami juga mengampuni semua orang yang berdosa* terhadap kami.+ Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan.’”+  Kemudian dia berkata kepada mereka, “Katakanlah salah seorang daripada kamu pergi kepada sahabatnya pada tengah malam dan berkata, ‘Kawan, pinjamkanlah tiga ketul roti kepadaku.  Ada seorang kawanku yang baru sahaja singgah di rumahku dalam perjalanannya, tetapi aku tidak ada apa-apa untuk dihidangkan kepadanya.’  Tetapi sahabat itu menjawab dari dalam, ‘Janganlah susahkan aku. Pintu sudah dikunci, dan aku dengan anak-anak kecilku sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberi kamu apa-apa.’  Aku berkata kepada kamu: Meskipun kamu kawannya, dia tidak akan bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu. Tetapi memandangkan kamu terus-menerus meminta daripadanya tanpa rasa segan,+ dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan.  Maka, aku berkata kepada kamu: Teruslah meminta,+ dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibukakan bagimu.+ 10  Hal ini demikian kerana setiap orang yang terus meminta akan menerima,+ setiap orang yang terus mencari akan menemukan, dan pintu pasti akan dibuka bagi setiap orang yang terus mengetuk. 11  Sesungguhnya, siapakah antara kamu selaku bapa yang akan memberikan ular kepada anaknya jika anaknya meminta ikan?+ 12  Atau adakah kamu akan memberinya kala jengking jika dia meminta telur? 13  Oleh itu, jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.”+ 14  Kemudian, dia mengusir roh jahat daripada seorang lelaki yang bisu.+ Selepas roh jahat itu keluar, lelaki bisu itu dapat bercakap. Orang ramai berasa kagum,+ 15  tetapi ada dalam kalangan mereka yang berkata, “Dia mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada Beelzebub,* iaitu ketua roh-roh jahat.”+ 16  Yang lain pula ingin mengujinya dengan memintanya agar menunjukkan tanda+ dari syurga. 17  Yesus mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka,+ maka dia berkata, “Setiap kerajaan yang berpecah belah dan saling bermusuhan akan musnah. Setiap keluarga yang berpecah belah dan saling bermusuhan akan roboh. 18  Dengan cara yang sama, jika Syaitan melawan dirinya sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa aku mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada Beelzebub. 19  Jika aku mengusir roh jahat dengan kuasa daripada Beelzebub, murid-muridmu pula mengusir roh jahat dengan kuasa daripada siapa? Itulah sebabnya murid-muridmu akan membuktikan bahawa kamu bersalah. 20  Tetapi jika kuasa suci Tuhanlah*+ yang membolehkan aku mengusir roh-roh jahat, hal ini bermaksud Kerajaan Tuhan sudah ada di sini namun kamu tidak menyedarinya.+ 21  Apabila seorang lelaki yang kuat dan bersenjata lengkap menjaga rumahnya, harta miliknya selamat. 22  Tetapi apabila seseorang yang lebih kuat daripadanya menyerang dan mengalahkannya, senjata-senjata yang dianggapnya sebagai perlindungan akan diambil oleh orang itu. Harta milik yang dirampas daripadanya juga akan dibahagi-bahagikan oleh orang itu. 23  Sesiapa yang tidak berpihak kepada aku melawan aku, dan sesiapa yang tidak mengumpulkan orang bersama aku, orang itu akan menyebabkan orang lain tercerai-berai ke merata tempat.+ 24  “Semasa roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan pergi ke tempat yang kering-kontang untuk mencari tempat rehat, tetapi tidak menemuinya. Maka roh itu berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’+ 25  Roh itu pun balik dan mendapati rumah itu disapu bersih dan dihias dengan cantik. 26  Roh itu kemudiannya pergi membawa tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya untuk memasuki orang itu dan tinggal di situ. Akhirnya, keadaan orang tersebut menjadi lebih buruk daripada keadaannya yang asal.” 27  Semasa Yesus berkata demikian, seorang wanita dalam kalangan orang ramai berseru kepadanya, “Berbahagialah wanita yang melahirkan dan menyusuimu!”+ 28  Tetapi dia berkata, “Tidak. Sebaliknya, berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”+ 29  Apabila orang ramai mula berkumpul, dia berkata, “Generasi ini ialah generasi jahat yang meminta tanda. Tetapi tiada tanda yang akan diberikan kepada generasi ini kecuali tanda Yunus.+ 30  Sebagaimana Yunus+ menjadi tanda kepada penduduk Niniwe, begitu juga Anak Manusia akan menjadi tanda kepada generasi ini. 31  Pada masa penghakiman, ratu dari selatan+ akan dibangkitkan bersama orang dari generasi ini. Ratu itu akan menunjukkan kesalahan mereka kerana dia datang dari hujung bumi untuk mendengar kata-kata Salomo yang bijaksana. Tetapi lihatlah! Orang yang lebih besar daripada Salomo ada di sini.+ 32  Pada masa penghakiman, penduduk Niniwe akan dibangkitkan bersama generasi ini. Penduduk Niniwe akan menunjukkan kesalahan generasi ini kerana mereka bertaubat selepas mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus.+ Tetapi lihatlah! Orang yang lebih besar daripada Yunus ada di sini. 33  Selepas seseorang menyalakan pelita, dia tidak akan meletakkannya di tempat yang tersembunyi atau di bawah bakul.* Sebaliknya dia akan meletakkannya di atas kaki pelita+ supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya. 34  Mata ialah pelita tubuhmu. Jika matamu tertumpu kepada satu perkara sahaja, seluruh tubuhmu akan terang. Sebaliknya, jika matamu jahat,* tubuhmu akan gelap.+ 35  Oleh itu, berwaspadalah supaya cahaya dalam dirimu itu bukanlah kegelapan. 36  Jika seluruh tubuhmu terang dan langsung tidak mempunyai bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan bersinar terang seperti pelita yang memberimu cahaya.” 37  Selepas Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemputnya untuk makan bersamanya. Maka Yesus masuk ke dalam rumahnya lalu duduk dan makan* di meja. 38  Namun, orang Farisi itu berasa hairan apabila melihat dia tidak membasuh tangan* sebelum makan.+ 39  Tuan Yesus berkata kepadanya, “Hai orang Farisi, kamu semua membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan tetapi hati kamu penuh dengan ketamakan dan kejahatan.+ 40  Kamu orang yang tidak munasabah! Bukankah Tuhan yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam? 41  Maka, semasa kamu membuat kebajikan, lakukannya dengan ikhlas dari hati. Dengan demikian, kamu akan bersih dalam segala hal yang lain. 42  Tetapi malanglah kamu orang Farisi, kerana kamu memberikan satu persepuluh daripada pudina, inggu,* dan semua sayuran yang lain,+ tetapi kamu tidak mempedulikan keadilan dan kasih Tuhan! Memberikan satu persepuluh itu penting, tetapi hal-hal yang lain tidak patut diabaikan.+ 43  Malanglah kamu orang Farisi, kerana kamu suka duduk di kerusi yang terdepan* di dalam rumah ibadat dan suka menerima salam hormat di tempat awam!*+ 44  Malanglah kamu, kerana kamu seperti kubur yang tidak dapat dilihat.+ Orang pun tidak sedar bahawa mereka sedang berjalan di atasnya!” 45  Kemudian, salah seorang daripada mereka yang arif dalam Hukum berkata, “Apabila Guru berkata demikian, Guru juga menghina kami.” 46  Maka Yesus berkata, “Malanglah kamu yang arif dalam Hukum, kerana kamu memberi orang lain beban yang susah dipikul, padahal kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menyentuh beban itu!+ 47  “Malanglah kamu, kerana kamu membina makam bagi para nabi, padahal nenek moyang kamulah yang membunuh mereka!+ 48  Kamu bukan sahaja sedar akan perbuatan nenek moyang kamu, malah kamu menyetujui perbuatan mereka. Mereka membunuh para nabi,+ dan kamu pula membina kubur para nabi. 49  Itulah sebabnya Tuhan juga berfirman dengan bijaksana, ‘Aku akan mengutus nabi dan rasul kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya oleh mereka. 50  Dengan demikian, generasi ini akan bertanggungjawab atas penumpahan darah semua nabi yang dibunuh sejak dunia diasaskan,*+ 51  daripada darah Habel+ sehingga darah Zakharia, yang dibunuh di antara mazbah dan Rumah Tuhan.’+ Aku berkata kepada kamu: Generasi ini akan dihukum kerana penumpahan darah itu. 52  “Malanglah kamu yang arif dalam Hukum, kerana kamu mengambil kunci yang membuka pintu pengetahuan tentang Tuhan. Kamu sendiri tidak masuk ke dalam, dan kamu menghalang orang yang ingin memasukinya!”+ 53  Semasa Yesus beredar dari situ, dia mula menghadapi tekanan yang besar daripada jurutulis hukum dan orang Farisi. Mereka menghujaninya dengan banyak soalan lain 54  dan menantikan kesempatan untuk memerangkapnya berdasarkan kata-katanya.+

Nota Kaki

Harfiah, “roti.”
Harfiah, “berhutang.”
Gelaran yang diberikan kepada Syaitan.
Harfiah, “jari Tuhan.”
Atau “bakul penyukat.”
Atau “iri hati.”
Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.
Iaitu, membasuh mengikut upacara agama.
Sejenis tumbuhan yang digunakan dalam ubat-ubatan dan sebagai perisa makanan.
Atau “terbaik.”
Atau “pasar.”
Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.