Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 10:1-42

  • Yesus mengutus 70 orang murid (1-12)

  • Malanglah penduduk kota yang tidak bertaubat (13-16)

  • 70 orang murid kembali (17-20)

  • Bapa dipuji kerana berkenan kepada orang yang rendah hati (21-24)

  • Perumpamaan tentang lelaki Samaria (25-37)

  • Yesus melawat Marta dan Maria (38-42)

10  Kemudian, Tuan Yesus memilih 70* orang murid yang lain lalu mengutus mereka secara berpasangan.+ Sebelum dia mengunjungi sebuah kota atau tempat, mereka akan pergi ke situ terlebih dahulu.  Dia berkata kepada mereka, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. Jadi, rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.+  Pergilah! Aku mengutus kamu seperti mengutus anak biri-biri ke tengah-tengah kawanan serigala.+  Jangan bawa beg duit, beg makanan, atau kasut,+ dan jangan memberikan salam* kepada sesiapa pun di sepanjang jalan.  Semasa kamu memasuki rumah orang, katakan terlebih dahulu, ‘Semoga rumah ini sejahtera.’+  Jika orang di situ tidak suka akan kedamaian, salam sejahtera itu akan kembali kepada kamu. Tetapi jika orang di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera itu akan ada bersamanya.  Jadi tinggallah di rumah orang itu+ dan makanlah serta minumlah apa yang dihidangkan,+ kerana seorang pekerja layak menerima upahnya.+ Janganlah asyik berpindah dari sebuah rumah ke rumah yang lain.  “Semasa kamu memasuki sebuah kota dan penduduknya menyambut kamu, makanlah apa yang dihidangkan.  Sembuhkanlah orang yang sakit di kota itu dan beritahulah mereka, ‘Kerajaan Tuhan sudah dekat.’+ 10  Tetapi semasa kamu memasuki sebuah kota dan penduduknya tidak menyambut kamu, pergilah ke jalan utama kota itu dan katakanlah, 11  ‘Bahkan debu daripada kota kamu yang melekat pada kaki kami, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu.+ Namun, ketahuilah bahawa Kerajaan Tuhan sudah dekat.’ 12  Aku berkata kepada kamu bahawa pada Hari Penghakiman, kota itu akan menanggung hukuman yang lebih berat daripada Sodom.+ 13  “Malanglah engkau Korazin! Malanglah engkau Betsaida! Jika mukjizat yang dilakukan di tempat kamu dilakukan di Tirus dan Sidon, awal-awal lagi penduduknya sudah bertaubat lalu memakai kain guni dan duduk di atas abu.*+ 14  Oleh itu, pada masa penghakiman, kamu akan menanggung hukuman yang lebih berat daripada Tirus dan Sidon. 15  Hai Kapernaum, adakah engkau akan ditinggikan sampai ke langit? Tidak! Engkau akan dibuang ke Kuburan.* 16  “Sesiapa yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata aku juga.+ Sesiapa yang menolak kamu, menolak aku juga. Tambahan lagi, sesiapa yang menolak aku, juga menolak Dia yang mengutus aku.”+ 17  Kemudian 70 orang murid Yesus kembali dengan sukacita. Mereka berkata, “Tuan, roh-roh jahat pun terpaksa mentaati kami apabila kami menggunakan nama Tuan!”+ 18  Maka, Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Syaitan sudah jatuh+ dari langit seperti kilat. 19  Lihatlah! Aku sudah memberi kamu kuasa untuk memijak-mijak ular dan kala jengking serta mengalahkan semua kuasa musuh.+ Tiada apa-apa yang akan mencederakan kamu. 20  Namun demikian, janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu. Sebaliknya, bersukacitalah kerana nama kamu sudah pun tercatat di syurga.”+ 21  Pada masa itu juga, kuasa suci Tuhan menyebabkan Yesus sangat bersukacita lalu dia berkata, “Aku memuji-Mu di hadapan umum, ya Bapa, Pemerintah langit dan bumi, kerana Engkau menyembunyikan hal-hal ini dengan cermat daripada orang yang bijak pandai+ dan menyingkapkannya kepada anak-anak muda. Ya Bapa, hal ini selaras dengan kehendak-Mu.+ 22  Bapaku telah menyerahkan segala-galanya kepada aku. Tiada orang yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada orang yang mengenal Bapa kecuali Anak.+ Orang hanya dapat mengenal Bapa jika Anak rela mengajar mereka tentang Bapa.”+ 23  Kemudian, semasa tiada orang lain di situ, dia berkata kepada murid-muridnya, “Berbahagialah orang yang melihat apa yang sedang kamu lihat.+ 24  Aku berkata kepada kamu: Banyak nabi dan raja ingin melihat apa yang sedang kamu lihat tetapi tidak dapat melihatnya.+ Mereka ingin mendengar apa yang sedang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.” 25  Selepas itu, seorang lelaki yang arif dalam Hukum yang mencuba menguji Yesus berdiri lalu berkata, “Guru, apakah yang harus aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?”+ 26  Yesus menjawab, “Apakah yang tertulis dalam Hukum? Apakah yang kamu faham setelah membacanya?” 27  Lelaki itu menjawab, “‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa,* Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa,* dengan segenap kekuatan, dan dengan segenap akal.’+ Selain itu, ‘kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’”+ 28  Yesus berkata kepadanya, “Jawapan kamu betul. Teruslah berbuat demikian dan kamu akan mendapat kehidupan kekal.”+ 29  Tetapi lelaki itu mahu membuktikan bahawa pandangannya betul.+ Jadi dia berkata kepada Yesus, “Siapakah yang harus aku kasihi?” 30  Yesus berkata, “Seorang lelaki sedang turun ke Yerikho dari Yerusalem. Di tengah perjalanan, dia diserang oleh penyamun yang mengambil pakaian dan hartanya. Mereka memukulnya sampai setengah mati lalu meninggalkannya di situ. 31  Kebetulan pada masa itu, seorang imam lalu di jalan yang sama. Apabila dia nampak lelaki itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan. 32  Selepas itu, seorang Lewi yang lalu di situ nampak lelaki tersebut. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan. 33  Kemudian, seorang lelaki Samaria+ yang sedang dalam perjalanannya lalu di situ. Apabila dia nampak lelaki tersebut, dia berasa kasihan. 34  Jadi dia mendekati lelaki itu dan menuangkan minyak dan wain pada luka-lukanya. Selepas itu, dia membalut luka-lukanya dan menaikkan lelaki itu ke atas keldainya. Dia membawa lelaki itu ke sebuah tempat penginapan dan menjaganya. 35  Pada keesokan harinya, lelaki Samaria itu memberikan dua denari* kepada pemilik tempat penginapan itu dan berkata, ‘Jagalah dia, dan jika ada perbelanjaan lain, aku akan membayarnya apabila aku kembali ke sini.’ 36  Pada pendapat kamu, siapakah antara tiga orang lelaki ini yang mengasihi+ lelaki yang dirompak itu?” 37  Dia menjawab, “Lelaki yang menunjukkan belas kasihan terhadapnya.”+ Yesus berkata kepadanya, “Pergilah dan berbuatlah demikian.”+ 38  Yesus dan murid-muridnya meneruskan perjalanan dan memasuki sebuah pekan. Di situ seorang wanita yang bernama Marta+ menjemput Yesus ke rumahnya. 39  Dia mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Maria. Maria duduk dekat kaki Tuan Yesus dan terus mendengar apa yang dikatakan olehnya. 40  Marta pula tidak dapat menumpukan perhatiannya kerana dia sibuk menguruskan banyak kerja. Jadi, dia mendekati Yesus dan berkata, “Tuan, tidakkah Tuan peduli bahawa Maria membiarkan aku menguruskan kerja seorang diri? Suruhlah dia membantu aku.” 41  Tuan Yesus berkata kepadanya, “Marta, Marta, kamu khuatir dan sibuk dengan banyak hal. 42  Sebenarnya yang diperlukan tidak banyak; satu pun sudah cukup. Maria sudah memilih perkara yang terbaik,+ yang tidak akan diambil daripadanya.”

Nota Kaki

Sesetengah naskhah kuno menyatakan 72.
Perbuatan memberikan salam ini mungkin melibatkan ciuman, pelukan, dan perbualan yang panjang.
Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.