Surat kepada Sidang di Kolose 4:1-18

  • Nasihat kepada tuan (1)

  • “Teruslah berdoa dengan tekun” (2-4)

  • Hidup dengan bijaksana dalam hubungan dengan orang luar (5, 6)

  • Salam akhir (7-18)

4  Hai kamu yang menjadi tuan, perlakukanlah hamba kamu dengan cara yang baik dan adil, kerana kamu tahu bahawa kamu juga mempunyai Tuan di syurga.+  Teruslah berdoa dengan tekun.+ Seraya kamu berbuat demikian, berjaga-jagalah dan ucapkanlah syukur.+  Pada masa yang sama, berdoalah juga bagi kami,+ supaya Tuhan membuka pintu agar kami dapat mengkhabarkan firman itu. Dengan demikian, kami dapat mengisytiharkan rahsia suci tentang Kristus (sebenarnya, disebabkan rahsia suci itulah aku sekarang dibelenggu di dalam penjara),+  dan aku dapat mengumumkannya dengan jelas sebagaimana yang harus aku lakukan.  Teruslah hidup dengan bijaksana dalam hubungan kamu dengan mereka yang bukan sebahagian daripada sidang Kristian, dan gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.*+  Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam.+ Dengan demikian, kamu akan tahu cara untuk menjawab setiap orang.+  Tikhikus,+ saudaraku yang dikasihi, akan memberitahu kamu segala berita tentang aku. Dia berkhidmat kepada Tuan dengan setia dan merupakan hamba Tuan seperti aku.  Aku mengutus dia kepada kamu supaya kamu dapat mengetahui keadaan kami. Dengan itu, dia dapat melegakan hati kamu.  Dia akan datang bersama Onesimus,+ saudaraku yang setia dan yang dikasihi, yang dulu pernah bersama kamu. Mereka akan memberitahu kamu tentang semua perkara yang berlaku di sini. 10  Aristarkhus,+ seorang tahanan seperti aku, mengirim salam kepada kamu. Begitu juga dengan Markus,+ iaitu sepupu Barnabas (mengenai Markus, kamu sudah menerima arahan untuk menyambutnya+ jika dia datang kepada kamu), 11  dan Yesus yang digelar Yustus. Mereka semua ialah orang yang bersunat. Mereka sahajalah rakan sekerjaku demi Kerajaan Tuhan, dan merekalah yang menjadi sumber kelegaan hati yang besar bagiku.* 12  Epafras,+ seorang hamba Kristus Yesus yang juga daripada kalangan kamu, mengirim salam kepada kamu. Dia selalu berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi pihak kamu, supaya kamu dapat berdiri teguh sebagai orang yang matang dan mempunyai keyakinan yang kukuh akan semua kehendak Tuhan. 13  Aku memberikan kesaksian bahawa dia berusaha dengan gigih untuk kamu dan untuk mereka yang berada di Laodikia dan di Hierapolis. 14  Lukas,+ doktor yang kita kasihi, mengirim salam kepada kamu, begitu juga dengan Demas.+ 15  Sampaikan salamku kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada saudari Nimfa serta sidang yang berkumpul di rumahnya.+ 16  Setelah surat ini dibacakan kepada kamu, aturkanlah supaya surat ini turut dibacakan+ di sidang Laodikia. Kamu juga harus membaca surat yang dikirim kepada sidang Laodikia. 17  Selain itu, beritahulah Arkhipus,+ “Berikanlah perhatian kepada tugas yang kamu terima sebagai pengikut Tuan kita, supaya kamu dapat melaksanakannya.” 18  Aku, Paulus, menulis salam ini dengan tanganku sendiri.+ Ingatlah akan aku yang dibelenggu di dalam penjara.+ Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai kamu semua.

Nota Kaki

Atau “dan belilah masa.”
Atau “merekalah yang membantu dan menguatkan aku.”