Kisah Para Rasul 27:1-44

  • Paulus belayar ke Roma (1-12)

  • Kapal dilanda ribut kencang (13-38)

  • Kapal terkandas (39-44)

27  Oleh sebab keputusan sudah dibuat bahawa kami harus belayar ke Italia,+ Paulus dan beberapa orang tahanan lain diserahkan kepada Yulius, seorang pegawai tentera daripada pasukan tentera Agustus.  Selepas menaiki sebuah kapal dari Adramitium yang akan belayar ke pelabuhan-pelabuhan di sepanjang persisiran daerah Asia, kami pun bertolak. Aristarkhus,+ orang Makedonia dari Tesalonika, juga mengikut kami.  Keesokan harinya, kami berlabuh di Sidon, dan Yulius melayan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus untuk pergi kepada sahabat-sahabatnya supaya mereka dapat menjaganya.  Dari situ, kami belayar berhampiran Siprus, di mana kami terlindung daripada angin yang bertiup dari arah yang bertentangan.  Kami mengharungi lautan luas di sepanjang Kilikia dan Pamfilia lalu berlabuh di Mira yang terletak di Likia.  Di situ, pegawai tentera itu menjumpai sebuah kapal dari Aleksandria yang akan belayar ke Italia. Maka, dia menyuruh kami menaiki kapal itu.  Selama berhari-hari, kami belayar dengan perlahan. Dengan susah payah, kami akhirnya tiba di Knidus. Tetapi memandangkan angin bertiup dari arah yang bertentangan, kami terpaksa belayar berhampiran Kreta yang terletak dekat Salmone supaya kami terlindung daripada angin.  Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai dan tiba di sebuah tempat berhampiran kota Lasea yang bernama Pelabuhan Indah.  Suatu jangka masa telah berlalu dan pada masa itu keadaannya berbahaya untuk belayar. Bahkan puasa untuk Hari Pengampunan Dosa+ sudah berlalu. Jadi, Paulus memberikan nasihat 10  dengan berkata, “Sahabat-sahabatku, pada pendapatku, perjalanan ini bukan sahaja akan mengakibatkan kerosakan dan kerugian yang besar pada muatan dan kapal, malah kita juga mungkin akan kehilangan nyawa.” 11  Walau bagaimanapun, pegawai tentera itu tidak mendengarkan kata-kata Paulus. Sebaliknya, dia mendengarkan kata-kata kapten kapal dan pemilik kapal itu. 12  Oleh sebab keadaan di pelabuhan itu tidak sesuai untuk menghabiskan musim sejuk, kebanyakan orang ingin belayar dari situ. Mereka ingin melihat sama ada mereka dapat sampai ke Feniks dan menghabiskan musim sejuk di situ. Feniks ialah sebuah pelabuhan di Kreta yang menghadap timur laut dan tenggara. 13  Apabila angin selatan bertiup dengan lembut, mereka menyangka bahawa mereka akan sampai ke Feniks. Jadi mereka menaikkan sauh dan mula belayar menyusur pantai Pulau Kreta. 14  Tetapi, tidak lama kemudian, angin yang sangat kencang melanda. Angin itu dinamakan Euroakuilo.* 15  Kapal kami dipukul angin kencang dan kami tidak dapat terus belayar melawan angin. Maka, kami membiarkan kapal itu bergerak mengikut tiupan angin. 16  Kemudian kami belayar berhampiran sebuah pulau kecil yang bernama Kauda, supaya kami terlindung daripada tiupan angin. Sungguhpun demikian, kami masih perlu bersusah payah untuk menyelamatkan sekoci* yang berada di belakang kapal. 17  Setelah sekoci itu dinaikkan, mereka mula memperkuat bahagian bawah kapal dengan menggunakan tali. Oleh sebab mereka takut terkandas di Sirtis,* mereka melonggarkan tali yang mengikat layar, dan membiarkan kapal ditiup mengikut angin. 18  Namun, oleh sebab kapal kami diumbang-ambingkan ribut, keesokan harinya mereka mula membuang muatan untuk meringankan kapal. 19  Pada hari ketiga, mereka membuang sebahagian daripada alat-alat kapal. 20  Selama berhari-hari, kami tidak dapat melihat matahari ataupun bintang, dan kami terus dilanda ribut yang kencang. Maka, pudarlah segala harapan kami untuk diselamatkan. 21  Setelah semua orang tidak makan untuk suatu jangka masa yang lama, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Sahabat-sahabatku, jika kamu mendengarkan nasihatku dan tidak belayar dari Kreta, kamu tentu tidak akan menanggung kerosakan dan kerugian ini.+ 22  Namun begitu, dengarlah nasihatku: Teguhkanlah hati kamu, kerana tiada seorang pun antara kamu yang akan kehilangan nyawa. Hanya kapal ini yang tidak dapat diselamatkan. 23  Malam tadi, malaikat+ daripada Tuhan, iaitu Tuhan yang memiliki aku dan yang aku sembah, berdiri di sisiku 24  dan berkata, ‘Janganlah takut, Paulus. Kamu mesti berdiri di hadapan Kaisar.+ Lihatlah! Oleh sebab kebaikan hati Tuhan, semua orang yang belayar dengan kamu akan diselamatkan.’ 25  Oleh itu, wahai sahabat-sahabatku, tabahkanlah hati kamu! Aku percaya bahawa Tuhan akan melakukan perkara-perkara itu tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat itu kepadaku. 26  Tetapi, kita akan terkandas di sebuah pulau.”+ 27  Pada malam yang ke-14, kami terumbang-ambing di Laut Adria. Pada tengah malam, anak kapal menyangka bahawa mereka sedang mendekati darat. 28  Oleh itu, mereka mengukur kedalaman air laut dan mendapati bahawa kedalamannya kira-kira 36 meter.* Jadi mereka meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian mereka mengambil ukuran lagi dan mendapati bahawa kedalamannya kira-kira 27 meter.* 29  Mereka takut kapal mungkin terkandas pada batu. Oleh itu, mereka menurunkan empat buah sauh dari belakang kapal, dan berharap agar fajar segera menyingsing. 30  Tetapi anak-anak kapal mencuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut dan berpura-pura hendak melabuhkan sauh dari depan kapal. 31  Jadi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar, “Kamu tidak boleh diselamatkan jika anak-anak kapal tidak terus berada di dalam kapal.”+ 32  Maka, askar-askar itu mengerat tali yang mengikat sekoci dan membiarkan sekoci itu jatuh ke laut. 33  Ketika fajar hampir menyingsing, Paulus menggalakkan semua orang untuk makan. Dia berkata, “Sudah 14 hari kamu menunggu-nunggu dengan perasaan cemas, dan selama itu kamu tidak makan apa-apa. 34  Oleh itu, makanlah sedikit demi kebaikan diri kamu sendiri, kerana tiada orang dalam kalangan kamu yang akan kehilangan sehelai rambut pun.” 35  Selepas Paulus mengucapkan kata-kata itu, dia mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Tuhan di depan mereka semua. Kemudian dia memecahkan roti itu dan mula makan. 36  Apabila semangat semua orang pulih, mereka pun mula makan. 37  Kami semua di dalam kapal itu berjumlah 276 orang. 38  Setelah mereka makan sampai kenyang, mereka membuang muatan gandum ke laut supaya kapal menjadi ringan.+ 39  Akhirnya, apabila hari sudah siang, mereka nampak sebuah teluk tetapi mereka tidak tahu di mana tempat itu.+ Jadi mereka berusaha sedaya upaya untuk mendarat di pantai. 40  Mereka memotong tali sauh dan membiarkan sauh tenggelam di laut. Pada masa yang sama, mereka membuka tali yang mengikat kemudi dan menaikkan layar yang kecil di hadapan kapal, supaya angin meniup kapal itu ke pantai. 41  Apabila mereka terlanggar tebing pasir di dalam laut, bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak. Bahagian belakang kapal pula mula hancur dipukul ombak.+ 42  Pada masa itu, askar-askar memutuskan untuk membunuh semua tahanan, supaya mereka tidak dapat berenang untuk melarikan diri. 43  Namun begitu, pegawai tentera tersebut melarang askar-askar daripada melakukan hal itu kerana dia mahu menyelamatkan Paulus. Dia memerintahkan mereka yang boleh berenang supaya terjun ke dalam laut dan berenang ke darat terlebih dahulu. 44  Yang lain menyusul kemudian dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan itu, semua orang sampai ke darat dengan selamat.+

Nota Kaki

Iaitu, angin timur laut.
Perahu kecil yang digunakan sebagai bot penyelamat.
Lihat Kamus.
Harfiah, “20 fatom.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “15 fatom.”