Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kisah Para Rasul 23:1-35

RANGKA KANDUNGAN

  • Paulus berucap di hadapan Majlis Orang Yahudi (1-10)

  • Tuan menguatkan Paulus (11)

  • Komplot untuk membunuh Paulus (12-22)

  • Paulus dipindahkan ke Kaisarea (23-35)

23  Paulus menatap anggota-anggota Majlis Orang Yahudi lalu berkata, “Saudara-saudara, sehingga hari ini, aku melakukan segala sesuatu dengan hati nurani yang bersih sepenuhnya+ di hadapan Tuhan.”  Maka Imam Agung Ananias memerintahkan orang yang berdiri dekat Paulus untuk menampar mulut Paulus.  Paulus berkata kepada Ananias, “Tuhan akan menghukum kamu, hai kamu yang bagaikan tembok bercat putih! Adakah kamu duduk untuk menghakimi aku menurut Hukum, tetapi pada masa yang sama kamu melanggar Hukum itu dengan menyuruh orang untuk memukul aku?”  Mereka yang berdiri berhampiran Paulus berkata kepadanya, “Berani kamu mencaci imam agung Tuhan!”  Paulus berkata, “Saudara-saudara, aku tidak tahu bahawa dia imam agung. Memang ada tertulis, ‘Kamu tidak boleh menghina pemerintah bangsa kamu.’”+  Paulus mengetahui bahawa sebahagian daripada Majlis Orang Yahudi terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada mereka, “Saudara-saudara, aku orang Farisi,+ dan nenek moyang aku juga orang Farisi. Aku dihakimi kerana aku percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.”  Oleh sebab Paulus berkata demikian, timbullah perselisihan antara orang Farisi dengan orang Saduki dan mereka berpecah menjadi dua kumpulan.  Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan pembangkitan orang mati, dan mereka juga tidak percaya akan adanya malaikat atau makhluk roh. Tetapi orang Farisi percaya akan semua ini.+  Lalu keadaan di situ menjadi sangat huru-hara. Beberapa orang jurutulis hukum daripada golongan Farisi bangun dan mula membantah dengan keras, “Kami mendapati orang ini langsung tidak bersalah. Lagipun makhluk roh atau malaikat mungkin telah bercakap kepadanya.”+ 10  Perselisihan itu menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut mereka akan membunuh Paulus. Maka dia memerintahkan askar-askarnya untuk turun dan segera membawa Paulus keluar dari tengah-tengah mereka. Selepas itu mereka membawanya ke tempat tinggal askar. 11  Pada malam itu, Tuan Yesus berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu!+ Sepertimana kamu telah memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang aku di Yerusalem, kamu juga mesti memberikan kesaksian tentang aku di Roma.”+ 12  Apabila hari sudah siang, orang Yahudi berkomplot dan bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.* 13  Ada lebih daripada 40 orang yang telah bersumpah demikian. 14  Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan pemimpin orang Yahudi lalu berkata, “Kami sudah bersumpah tidak akan makan apa-apa sehingga kami membunuh Paulus. 15  Oleh itu, sekarang, kamu dan Majlis Orang Yahudi perlu memberitahu ketua pasukan tentera bahawa Paulus harus dibawa kepada kamu. Buatlah seolah-olah kamu ingin menyelidiki perkaranya dengan lebih teliti lagi. Kami akan bersedia untuk membunuh Paulus sebelum dia sampai ke sini.” 16  Tetapi, anak saudara Paulus mendapat tahu tentang serangan hendap yang dirancang oleh mereka. Maka dia pergi ke tempat tinggal askar dan memberitahu Paulus tentang hal itu. 17  Oleh itu, Paulus memanggil salah seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, “Bawalah pemuda ini kepada ketua pasukan tentera kerana dia hendak melaporkan sesuatu kepadanya.” 18  Maka, pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada ketua pasukan tentera dan berkata, “Tahanan yang bernama Paulus memanggil aku dan meminta aku untuk membawa pemuda ini kepada tuan kerana dia hendak melaporkan sesuatu kepada tuan.” 19  Ketua pasukan tentera memegang tangan pemuda itu dan membawa dia ke tepi lalu bertanya, “Apakah yang hendak kamu laporkan kepada aku?” 20  Dia berkata, “Orang Yahudi telah bersepakat untuk meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Orang Yahudi pada hari esok, seolah-olah mereka berniat untuk menyelidiki perkaranya dengan lebih teliti lagi.+ 21  Janganlah tunaikan permintaan mereka kerana ada lebih daripada 40 orang antara mereka yang akan melancarkan serangan hendap ke atas Paulus. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.+ Sekarang mereka sudah bersedia dan sedang menunggu tuan meluluskan permohonan mereka.” 22  Ketua pasukan tentera itu berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu telah melaporkan hal ini kepada aku.” Selepas itu, dia membiarkan pemuda itu pergi. 23  Kemudian dia memanggil dua orang pegawai tentera dan berkata kepada mereka, “Sediakan 200 orang askar berjalan kaki, 70 orang askar berkuda, dan 200 orang askar bertombak, lalu suruhlah mereka pergi ke Kaisarea kira-kira pada jam sembilan* malam. 24  Selain itu, sediakan kuda untuk ditunggang oleh Paulus agar dia dapat sampai kepada Gabenor Feliks dengan selamat.” 25  Selepas itu, dia menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut: 26  “Kepada Tuan Yang Terutama, Gabenor Feliks. Salam sejahtera daripada Klaudius Lisias. 27  Lelaki ini telah ditangkap oleh orang Yahudi dan nyaris dibunuh oleh mereka. Tetapi aku mendapat tahu bahawa dia warganegara Roma.+ Oleh itu, aku segera membawa askar-askarku lalu menyelamatkan dia.+ 28  Aku menghadapkannya kepada Majlis Orang Yahudi kerana ingin mengetahui alasan mereka melontarkan tuduhan terhadapnya.+ 29  Aku mendapati bahawa tuduhan itu berkaitan dengan Hukum mereka,+ tetapi dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dijatuhi hukuman mati atau hukuman penjara. 30  Apabila aku diberitahu tentang komplot untuk membunuhnya,+ aku segera menghantar dia kepada tuan dan mengarahkan mereka yang menuduh dia untuk mengemukakan tuduhan mereka di hadapan tuan.” 31  Maka, askar-askar itu menurut perintah yang diberikan kepada mereka dan membawa Paulus+ ke Antipatris pada waktu malam. 32  Pada hari berikutnya, semua askar berkuda meneruskan perjalanan bersama Paulus, tetapi askar yang lain pulang ke tempat tinggal mereka. 33  Apabila semua askar berkuda itu tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat tersebut kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya juga. 34  Maka gabenor itu membaca surat tersebut dan bertanya kepada Paulus di mana daerah asalnya. Apabila dia mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia,+ 35  dia berkata, “Selepas mereka yang menuduh kamu tiba,+ perkara kamu akan dibicarakan dengan teliti.” Lalu gabenor itu memerintahkan supaya Paulus ditahan di istana Herodes.

Nota Kaki

Mereka percaya bahawa mereka akan menjadi orang yang terkutuk jika mereka tidak dapat memenuhi sumpah yang diucapkan.
Harfiah, “jam yang ke-3.”