Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kisah Para Rasul 16:1-40

RANGKA KANDUNGAN

  • Paulus memilih Timotius (1-5)

  • Penglihatan tentang lelaki Makedonia (6-10)

  • Lidia dibaptis di Filipi (11-15)

  • Paulus dan Silas dipenjarakan (16-24)

  • Penjaga penjara dan rumah tangganya dibaptis (25-34)

  • Paulus meminta permohonan maaf (35-40)

16  Paulus tiba di Derbe dan kemudian dia pergi ke Listra.+ Di sana ada seorang murid yang bernama Timotius.+ Ibunya berbangsa Yahudi dan percaya kepada Yesus, tetapi bapanya berbangsa Yunani.  Timotius dipuji oleh saudara-saudara di Listra dan Ikonium.  Paulus menyatakan hasratnya untuk membawa Timotius sepanjang perjalanannya. Maka Paulus membawa Timotius dan menyunat dia kerana semua orang Yahudi di tempat-tempat yang hendak dikunjungi oleh Paulus+ tahu bahawa bapa Timotius berbangsa Yunani.  Semasa mereka pergi dari kota ke kota, mereka menyampaikan perintah para rasul dan para penatua di Yerusalem kepada saudara-saudara di situ agar mereka menurut perintah itu.+  Oleh itu, iman orang di sidang-sidang itu semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.  Mereka lalu di Frigia dan negeri Galatia+ kerana kuasa suci Tuhan melarang mereka menyebarkan firman Tuhan di daerah Asia.  Apabila mereka tiba di Misia, mereka berusaha untuk pergi ke Bitinia.+ Tetapi menerusi kuasa suci Tuhan, Yesus melarang mereka untuk pergi ke situ.  Maka mereka melalui Misia dan pergi ke Troas.  Pada malam itu, Paulus mendapat suatu penglihatan. Dia nampak seorang lelaki dari Makedonia berdiri sambil merayu kepadanya, “Datanglah ke Makedonia dan bantulah kami.” 10  Sebaik sahaja Paulus mendapat penglihatan itu, kami membuat kesimpulan bahawa Tuhan telah memanggil kami untuk menyebarkan berita baik kepada orang di situ. Oleh itu, kami pun mencari jalan untuk pergi ke Makedonia. 11  Kami belayar dari Troas dan terus pergi ke Samotrake. Pada hari berikutnya, kami sampai di Neapolis. 12  Dari situ, kami pergi ke Filipi.+ Filipi ialah tanah jajahan Roma dan merupakan kota utama di daerah Makedonia. Kami tinggal di kota itu buat suatu jangka waktu. 13  Pada hari Sabat, kami pergi ke kawasan tepi sungai di luar gerbang kota. Kami berfikir bahawa di situ ada tempat orang berdoa. Jadi kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. 14  Salah seorang wanita yang mendengar kata-kata Paulus ialah Lidia. Dia penyembah Tuhan yang berasal dari kota Tiatira+ dan dia seorang penjual kain dan pakaian ungu. Yehuwa* membuka hati Lidia dengan sepenuhnya agar dia dapat menumpukan perhatian kepada kata-kata Paulus. 15  Selepas Lidia dan seluruh rumah tangganya dibaptis,+ dia menggesa kami, “Jika saudara-saudara berasa bahawa aku setia kepada Yehuwa,* datanglah dan tinggallah di rumahku.” Dia mendesak kami untuk datang. 16  Pernah sekali, ketika kami dalam perjalanan ke tempat orang berdoa, kami bertemu dengan seorang hamba perempuan. Dia dirasuk roh jahat yang membolehkannya meramalkan masa depan.+ Oleh itu, dia membawa banyak keuntungan kepada pemilik-pemiliknya. 17  Perempuan itu asyik mengikut Paulus dan kami sambil berseru, “Mereka hamba Tuhan Yang Maha Tinggi,+ yang memberitahu kamu bagaimana kamu dapat diselamatkan.” 18  Dia terus berbuat demikian selama berhari-hari sehingga Paulus jemu dengannya. Maka Paulus berpaling dan berkata kepada roh itu, “Atas nama Yesus Kristus, aku memerintahkan kamu untuk keluar daripada perempuan ini!” Pada saat itu juga, roh jahat itu keluar daripadanya.+ 19  Apabila pemilik-pemiliknya nampak bahawa peluang mereka untuk mendapat keuntungan telah hilang,+ mereka menangkap Paulus dan Silas lalu mengheret mereka ke tempat awam* untuk dihadapkan kepada para pemerintah.+ 20  Mereka membawa Paulus dan Silas kepada pemerintah-pemerintah kota itu dan berkata, “Kedua-dua orang Yahudi ini mencetuskan kekacauan yang besar di kota kita.+ 21  Mereka menyebarkan adat istiadat yang tidak boleh kita terima atau amalkan kerana kita orang Roma.” 22  Orang ramai pun bangkit menyerang mereka. Pemerintah-pemerintah kota itu mengoyakkan jubah Paulus dan Silas lalu memerintahkan agar mereka dipukul dengan kayu.+ 23  Setelah dipukul berkali-kali, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Penjaga penjara diarahkan untuk menjaga mereka dengan ketat.+ 24  Setelah menerima arahan sedemikian, dia menahan mereka di dalam bilik penjara yang paling dalam dan mengenakan pasung pada kaki mereka. 25  Lebih kurang pada waktu tengah malam, Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan lagu untuk memuji Tuhan.+ Tahanan-tahanan lain mendengar mereka. 26  Tiba-tiba, gempa bumi yang dahsyat berlaku sehingga asas penjara itu bergoncang. Dalam sekelip mata, semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua tahanan pun terlepas.+ 27  Apabila penjaga penjara itu terjaga daripada tidur, dia mendapati pintu-pintu penjara terbuka. Dia menyangka bahawa tahanan-tahanan di situ telah melarikan diri. Maka dia menghunuskan pedangnya dan mahu membunuh diri.+ 28  Tetapi Paulus berseru dengan kuat, “Janganlah bunuh diri! Kami semua masih di sini.” 29  Penjaga penjara itu meminta orang untuk membawa lampu. Kemudian dia berlari ke dalam. Dengan gementar, dia berlutut di depan Paulus dan Silas. 30  Selepas itu, penjaga penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus aku lakukan supaya diselamatkan?” 31  Mereka berkata, “Percayalah kepada Tuan Yesus lalu kamu dan rumah tanggamu akan diselamatkan.”+ 32  Kemudian mereka berdua menyampaikan firman Yehuwa* kepadanya dan seluruh rumah tangganya. 33  Pada malam itu juga, dia membawa Paulus dan Silas ke suatu tempat untuk membasuh luka-luka mereka. Lalu tanpa membuang masa, dia dan seisi rumah tangganya dibaptis.+ 34  Selepas itu, dia membawa mereka ke rumahnya dan menghidangkan makanan kepada mereka. Dia bersama seluruh rumah tangganya menikmati sukacita yang besar kerana dia sekarang sudah percaya kepada Tuhan. 35  Apabila hari sudah siang, para pemerintah kota itu menghantar pengawal-pengawal dengan pesanan berikut: “Bebaskan mereka.” 36  Pesanan itu disampaikan oleh penjaga penjara itu kepada Paulus. Dia berkata, “Para pemerintah kota sudah mengutus orang untuk membebaskan tuan berdua. Maka keluarlah sekarang dan pergilah dengan damai.” 37  Tetapi Paulus berkata kepada mereka, “Mereka telah memukul kami di depan orang ramai lalu memasukkan kami ke dalam penjara tanpa diadili, walaupun kami warganegara Roma.+ Sekarang, adakah mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam? Tidak! Biarlah mereka sendiri yang datang dan membawa kami keluar.” 38  Para pengawal melaporkan kata-kata itu kepada pemerintah-pemerintah kota itu. Apabila mereka mendengar bahawa Paulus dan Silas ialah warganegara Roma, mereka menjadi takut.+ 39  Oleh itu mereka datang dan meminta maaf kepada Paulus dan Silas lalu membawa mereka keluar dari penjara. Kemudian mereka meminta Paulus dan Silas meninggalkan kota itu. 40  Tetapi Paulus dan Silas meninggalkan penjara itu lalu pergi ke rumah Lidia. Mereka berjumpa dengan saudara-saudara di situ, dan setelah menggalakkan mereka,+ Paulus dan Silas berangkat.

Nota Kaki

Atau “pasar.”