Kisah Para Rasul 14:1-28

  • Pertambahan dan tentangan di Ikonium (1-7)

  • Dianggap sebagai dewa di Listra (8-18)

  • Paulus direjam tetapi tidak mati (19, 20)

  • Menguatkan sidang-sidang (21-23)

  • Kembali ke Antiokhia, Siria (24-28)

14  Di Ikonium, Paulus dan Barnabas masuk ke dalam rumah ibadat orang Yahudi. Kata-kata mereka begitu berkesan sehingga banyak orang Yahudi dan orang Yunani mula percaya kepada Yesus.  Tetapi orang Yahudi yang tidak percaya menghasut orang daripada bangsa-bangsa lain untuk membenci Paulus dan Barnabas.+  Oleh itu, mereka menghabiskan banyak masa di situ untuk mengkhabarkan berita tentang kebaikan hati Tuhan yang unggul. Dengan kuasa yang diberikan oleh Yehuwa,* mereka dapat bercakap dengan berani. Tuhan menunjukkan bahawa Dia senang hati dengan perkhabaran mereka dengan memberi mereka kuasa untuk melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang ajaib.+  Namun orang ramai di kota itu terbahagi kepada dua kumpulan, ada yang berpihak kepada orang Yahudi dan ada pula yang berpihak kepada para rasul itu.  Lalu orang daripada bangsa lain, orang Yahudi, dan pemimpin orang Yahudi, mencuba untuk menghina dan merejam Paulus dan Barnabas.+  Apabila Paulus dan Barnabas diberitahu tentang hal itu, mereka melarikan diri ke Listra dan Derbe, iaitu kota-kota di Likaonia, dan ke kawasan di sekitarnya.+  Mereka terus mengkhabarkan berita baik di situ.  Di Listra ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir dan dia tidak pernah berjalan. Dia duduk  sambil mendengarkan kata-kata Paulus. Ketika Paulus menatap dia dan melihat bahawa dia mempunyai iman untuk disembuhkan,+ 10  Paulus berkata dengan suara yang lantang, “Berdirilah!” Lelaki itu pun melompat bangun dan mula berjalan.+ 11  Apabila orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus, mereka berseru dalam bahasa Likaonia, “Dewa-dewa sudah menjadi seperti manusia dan turun kepada kita!”+ 12  Mereka mula memberikan gelaran Zeus kepada Barnabas dan Hermes kepada Paulus, kerana Paulus lebih banyak bercakap. 13  Maka imam Dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar pintu kota, membawa lembu jantan dan lingkaran bunga ke pintu gerbang. Imam dan orang ramai ingin mempersembahkan korban-korban kepada Paulus dan Barnabas. 14  Apabila Rasul Barnabas dan Rasul Paulus mendengar tentang hal ini, mereka mengoyakkan jubah mereka lalu berlari kepada orang ramai sambil berseru, 15  “Mengapakah kamu melakukan semua ini? Kami pun manusia biasa seperti kamu semua!+ Kami mengkhabarkan berita baik kepada kamu supaya kamu berpaling daripada benda-benda yang sia-sia itu, lalu datang kepada Tuhan yang hidup. Dialah yang menciptakan langit, bumi, laut, dan semua yang ada di dalamnya.+ 16  Pada masa lampau, walaupun Tuhan membiarkan orang daripada semua bangsa untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka,+ 17  Dia masih memberikan kesaksian+ tentang diri-Nya dengan melakukan apa yang baik. Dia memberi kamu hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya.+ Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kamu, dan memenuhi hati kamu dengan sukacita.”+ 18  Walaupun mereka berkata demikian, mereka hampir tidak dapat mencegah orang ramai daripada mempersembahkan korban kepada mereka. 19  Beberapa orang Yahudi dari Antiokhia dan Ikonium tiba lalu menghasut orang ramai.+ Maka, mereka merejam Paulus dan mengheret dia ke luar kota kerana mereka menyangka bahawa dia sudah mati.+ 20  Tetapi apabila murid-murid Yesus berkumpul di sekelilingnya, dia bangun lalu masuk kembali ke kota itu. Keesokan harinya, dia dan Barnabas pergi ke Derbe.+ 21  Mereka mengkhabarkan berita baik di kota itu dan membantu ramai orang untuk menjadi murid. Setelah itu mereka kembali ke Listra, Ikonium, dan Antiokhia. 22  Mereka menguatkan hati murid-murid+ di situ dan menggalakkan mereka supaya terus beriman kepada Tuan Yesus. Mereka berkata, “Kita mesti mengalami banyak kesengsaraan untuk memasuki Kerajaan Tuhan.”+ 23  Selain itu, Paulus dan Barnabas melantik para penatua bagi setiap sidang.+ Paulus dan Barnabas berdoa dan berpuasa,+ lalu menyerahkan mereka kepada Yehuwa* kerana mereka percaya kepada-Nya. 24  Selepas itu, mereka melalui Pisidia dan tiba di Pamfilia.+ 25  Kemudian, mereka mengkhabarkan firman Tuhan di Perga, lalu pergi ke Atalia. 26  Dari situ mereka belayar ke Antiokhia. Dahulu di kota itu, saudara-saudara telah berdoa agar Tuhan mengurniai mereka kebaikan hati-Nya yang unggul supaya mereka dapat menjalankan tugas yang sekarang sudah diselesaikan.+ 27  Apabila mereka tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan ahli-ahli sidang dan menceritakan banyak perkara yang sudah dilakukan oleh Tuhan melalui mereka. Paulus dan Barnabas juga memberitahu mereka bahawa Tuhan sudah membuka jalan* supaya orang daripada bangsa lain pun dapat beriman kepada Yesus.+ 28  Paulus dan Barnabas tinggal bersama murid-murid di situ untuk suatu jangka masa.

Nota Kaki

Harfiah, “pintu iman.”