Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kejadian 48:1-22

RANGKA KANDUNGAN

  • Yakub memberkati dua orang anak lelaki Yusuf (1-12)

  • Efraim mendapat berkat yang lebih besar (13-22)

48  Beberapa lama kemudian, Yusuf diberitahu, “Lihatlah, bapamu semakin lemah.” Maka Yusuf membawa dua orang anak lelakinya, iaitu Manasye dan Efraim, bersamanya untuk berjumpa dengan Yakub.+  Kemudian Yakub diberitahu, “Anakmu Yusuf telah datang untuk berjumpa denganmu.” Oleh itu, Israel mengumpulkan seluruh tenaganya lalu duduk di katilnya.  Yakub berkata kepada Yusuf, “Tuhan Yang Maha Kuasa telah menampakkan diri kepadaku di Lus, di tanah Kanaan, dan Dia memberkati aku.+  Tuhan berfirman kepadaku, ‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu dan memberimu banyak anak cucu. Aku akan menjadikan engkau nenek moyang kepada sebuah bangsa yang besar.+ Aku akan memberikan negeri ini kepada keturunanmu dan mereka akan sentiasa memilikinya.’+  Kedua-dua orang anak lelakimu yang lahir di Mesir sebelum aku tiba di sini, akan menjadi anakku.+ Efraim dan Manasye akan menjadi anakku seperti Ruben dan Simeon,+  tetapi anak-anak lain yang kamu dapat akan menjadi anakmu. Mereka akan mewarisi tanah yang telah diberikan kepada Efraim dan Manasye.+  Semasa aku dalam perjalanan dari Padan-aram, ibumu Rahel telah meninggal di sisiku.+ Ketika itu kami berada di negeri Kanaan dan masih jauh dari Efrat.+ Maka aku menguburkannya di jalan yang menuju ke Efrat, iaitu Betlehem.”+  Israel nampak anak-anak lelaki Yusuf dan bertanya, “Siapakah anak-anak ini?”  Yusuf pun menjawab, “Mereka ialah anak-anak lelaki saya. Tuhan telah memberikan mereka kepada saya di negeri ini.”+ Israel berkata, “Bawalah mereka kepadaku supaya aku dapat memberkati mereka.”+ 10  Memandangkan Israel sudah tua, matanya sudah sangat kabur sehingga dia tidak dapat melihat dengan jelas. Maka Yusuf membawa mereka mendekatinya, lalu Israel mencium dan memeluk anak-anak Yusuf. 11  Israel berkata kepada Yusuf, “Aku tidak sangka aku dapat melihat mukamu lagi,+ tetapi Tuhan telah membolehkan aku melihat anak-anakmu juga.” 12  Yusuf mengambil mereka dari pangkuan Israel, lalu Yusuf bersujud di hadapan bapanya. 13  Kemudian Yusuf membawa kedua-dua orang anaknya menghampiri Israel. Dia membawa Efraim+ dengan tangan kanannya ke sebelah kiri Israel, dan membawa Manasye+ dengan tangan kirinya ke sebelah kanan Israel. 14  Tetapi Israel meletakkan tangan kirinya di atas kepala Manasye, dan meletakkan tangan kanannya di atas kepala adik Manasye, iaitu Efraim. Israel sengaja berbuat demikian, walaupun Manasye ialah anak sulung.+ 15  Kemudian dia memberkati Yusuf dan berkata,+ “Semoga Tuhan yang benar, yang disembah* nenek moyangku Abraham dan Ishak,+Tuhan yang benar, yang menjadi gembalaku untuk seumur hidupku sehingga sekarang,+ 16  Tuhan yang mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan* aku daripada segala malapetaka,+ memberkati anak-anak ini.+ Semoga namaku dan nama nenek moyangku, Abraham dan Ishak, sentiasa dikenang kerana anak-anak ini.Semoga mereka mempunyai banyak anak cucu di bumi.”+ 17  Yusuf tidak suka melihat bapanya meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim. Maka dia hendak memegang tangan bapanya untuk memindahkannya dari atas kepala Efraim ke atas kepala Manasye. 18  Yusuf berkata, “Ayah, janganlah begitu. Inilah anak yang sulung.+ Letakkanlah tangan kanan ayah di atas kepalanya.” 19  Tetapi bapanya membantah dan berkata, “Aku tahu, anakku, aku tahu. Manasye juga akan makmur dan keturunannya pun akan menjadi sebuah kumpulan yang besar. Tetapi adiknya akan menjadi lebih makmur daripadanya,+ dan dia akan mempunyai banyak keturunan sehingga menjadi bangsa-bangsa.”+ 20  Israel memberkati mereka pada hari itu+ dengan berkata, “Orang Israel akan menyebut namamu apabila mereka memberkati orang. Mereka akan berkata,‘Semoga Tuhan menjadikan kamu seperti Efraim dan Manasye.’” Demikianlah Yakub mengutamakan Efraim daripada Manasye. 21  Israel berkata kepada Yusuf, “Lihatlah, aku akan meninggal tidak lama lagi,+ tetapi Tuhan akan terus menyertaimu dan membawa kamu semua pulang ke negeri nenek moyangmu.+ 22  Tanah yang aku rebut dari tangan orang Amori dengan pedang dan panahku, akan aku berikan kepadamu, supaya kamu memiliki satu lagi bahagian tanah berbanding adik-beradikmu.”

Nota Kaki

Harfiah, “yang berjalan di hadapan.”
Atau “menebus.”