Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kejadian 19:1-38

RANGKA KANDUNGAN

  • Lot menyambut malaikat (1-11)

  • Lot dan keluarganya digesa untuk melarikan diri (12-22)

  • Sodom dan Gomora dimusnahkan (23-29)

    • Isteri Lot menjadi tiang garam (26)

  • Lot dan anak-anak perempuannya (30-38)

    • Asal usul Moab dan Ammon (37, 38)

19  Pada waktu petang, dua malaikat itu tiba di Sodom, dan Lot sedang duduk di pintu gerbang Sodom. Apabila Lot melihat mereka, dia pergi menyambut mereka. Kemudian dia bersujud+  dan berkata, “Tuan-tuan, sila singgah di rumahku untuk bermalam dan biarlah kami mencuci kaki tuan-tuan. Kemudian tuan-tuan boleh bangun awal dan meneruskan perjalanan.” Tetapi mereka berkata, “Tidak, kami akan bermalam di dataran kota.”  Namun, Lot terus mendesak mereka. Oleh itu, mereka pun mengikut Lot ke rumahnya. Dia mengadakan satu jamuan untuk mereka dan menyediakan roti yang tidak beragi, lalu mereka memakannya.  Sebelum mereka tidur, semua lelaki di kota Sodom, baik yang muda mahupun yang tua, berkumpul lalu mengepung rumah Lot.  Mereka terus memanggil Lot dan berkata, “Di mana lelaki yang datang ke rumahmu malam ini? Bawalah mereka keluar supaya kami dapat melakukan hubungan seks dengan mereka.”+  Kemudian Lot keluar untuk menemui mereka, lalu dia menutup pintu.  Dia berkata, “Saudara-saudaraku, tolong jangan lakukan perbuatan sejahat itu.  Aku mempunyai dua orang anak perempuan yang masih dara. Biarlah aku membawa mereka kepada kamu, dan kamu boleh melakukan apa sahaja yang kamu mahu terhadap mereka. Tetapi janganlah lakukan apa-apa kepada dua orang lelaki ini. Mereka telah datang ke rumahku, dan aku harus melindungi mereka.”+  Kemudian mereka berkata, “Berambus! Berani engkau menghakimi kami sedangkan engkau hanyalah orang asing yang datang untuk tinggal di sini. Sekarang kami akan membuat engkau lebih merana daripada dua orang lelaki itu!” Lalu mereka menolak Lot dan hendak memecahkan pintu. 10  Dua orang lelaki itu* menghulurkan tangan mereka dan menarik Lot masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu. 11  Mereka membutakan semua lelaki yang berada di luar pintu, baik yang muda mahupun yang tua. Semua lelaki itu kepenatan kerana mencuba mencari pintu masuk. 12  Kemudian dua orang lelaki itu berkata kepada Lot, “Adakah kamu mempunyai sanak saudara lain di sini? Jika kamu mempunyai menantu, anak lelaki, anak perempuan, atau saudara-mara di kota ini, bawalah mereka keluar dari sini, 13  kerana kami akan memusnahkan tempat ini. Tuduhan berat yang dilontarkan terhadap penduduk di sini sudah didengari oleh Yehuwa,+ dan Yehuwa telah mengutus kami untuk memusnahkan kota ini.” 14  Maka Lot pergi memberitahu kedua-dua orang bakal menantunya, “Cepat! Cepatlah pergi dari sini, kerana Yehuwa akan memusnahkan kota ini!” Tetapi mereka menyangka Lot sedang bergurau.+ 15  Pada waktu subuh, malaikat-malaikat itu mula mendesak Lot, “Cepat! Bawalah isterimu dan kedua-dua orang anak perempuanmu, dan keluarlah dari sini agar kamu tidak turut menanggung dosa kota ini dan musnah bersama-samanya.”+ 16  Tetapi Lot berlambat-lambat. Oleh sebab Yehuwa mengasihaninya,+ dua orang lelaki itu memegang tangan Lot, isterinya, dan kedua-dua orang anak perempuannya, lalu membawa mereka ke luar kota.+ 17  Sejurus selepas membawa mereka keluar, salah seorang lelaki itu berkata, “Larilah, dan selamatkanlah diri kamu! Jangan menoleh ke belakang+ dan jangan singgah di mana-mana kawasan sekitar daerah ini!+ Larilah ke pergunungan supaya kamu tidak terbunuh!” 18  Tetapi Lot berkata kepada mereka, “Ya Yehuwa,* janganlah suruh aku pergi ke sana! 19  Memang Engkau berkenan kepada hambamu. Engkau menyelamatkan aku kerana kebaikan hati-Mu* yang melimpah.+ Tetapi aku tidak dapat melarikan diri ke kawasan pergunungan kerana aku takut jika ada bencana yang menimpa aku, aku akan mati.+ 20  Namun, aku dapat melarikan diri ke sebuah kota kecil yang berdekatan. Bolehkah aku melarikan diri ke situ? Kota itu kecil sahaja. Aku akan selamat di sana.” 21  Lelaki itu berkata kepadanya, “Baiklah, aku akan mengabulkan permintaanmu.+ Aku tidak akan membinasakan kota yang kamu sebut itu.+ 22  Cepatlah! Larilah ke kota itu! Aku tidak dapat berbuat apa-apa selagi kamu belum tiba di sana.”+ Maka, kota itu dinamakan Zoar.*+ 23  Matahari sudah terbit ketika Lot tiba di Zoar. 24  Kemudian Yehuwa menurunkan hujan belerang* dan api ke atas kota Sodom dan Gomora. Ya, hujan belerang dan api itu datang daripada Yehuwa, yang berada di syurga.+ 25  Dia membinasakan kedua-dua buah kota itu. Seluruh daerah itu dibinasakan termasuk semua penduduknya dan tumbuh-tumbuhan di situ.+ 26  Tetapi isteri Lot, yang sedang mengikuti Lot, menoleh ke belakang lalu menjadi tiang garam.+ 27  Pada awal pagi, Abraham bangun dan pergi ke tempat dia pernah berdiri di hadapan Yehuwa.+ 28  Apabila dia melihat ke arah kota Sodom dan Gomora serta seluruh daerah itu, dia nampak kepulan asap yang tebal naik dari kawasan itu seperti asap tebal dari relau.+ 29  Tuhan ingat akan Abraham sebelum membinasakan kota-kota di daerah yang didiami Lot. Maka, Tuhan menyelamatkan Lot apabila Dia membinasakan kota-kota itu.+ 30  Lot berasa takut untuk tinggal di Zoar.+ Maka dia bersama dua orang anak perempuannya meninggalkan Zoar, dan pergi ke kawasan pergunungan+ lalu tinggal di dalam gua. 31  Anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, “Ayah kita sudah tua. Tiada seorang lelaki pun di tempat ini yang dapat mengahwini kita seperti yang biasa dilakukan di seluruh bumi. 32  Marilah kita memberikan wain kepada ayah. Selepas itu, kita tidur dengannya supaya kita mendapat keturunan untuknya.” 33  Pada malam itu, mereka memberikan wain kepada ayah mereka untuk diminum sehingga mabuk. Kemudian, anak perempuan yang sulung tidur dengan ayahnya, tetapi ayahnya tidak tahu bila anaknya tidur dengannya dan bangun meninggalkannya. 34  Pada keesokan harinya, anak perempuan yang sulung itu berkata kepada adiknya, “Aku sudah tidur dengan ayah semalam. Marilah kita memberikan wain kepada ayah malam ini juga. Kemudian kamu pergi tidur dengannya supaya kita mendapat keturunan untuknya.” 35  Pada malam itu, mereka memberikan banyak wain kepada ayah mereka untuk diminum sehingga mabuk. Lalu anak perempuan yang bongsu tidur dengan ayahnya, tetapi ayahnya tidak tahu bila anaknya tidur dengannya dan bangun meninggalkannya. 36  Jadi, kedua-dua orang anak perempuan Lot mengandung kerana ayah mereka sendiri. 37  Anak perempuan yang sulung melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Moab.+ Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Moab yang ada sekarang.+ 38  Anak perempuan yang bongsu juga melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Ben-ami. Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Ammon+ yang ada sekarang.

Nota Kaki

Merujuk kepada malaikat-malaikat.
Iaitu, malaikat yang mewakili Yehuwa.
Atau “kerana kasih setia-Mu.”
Maksudnya “Kecil.”
Merujuk kepada sejenis batu yang mudah terbakar.