Imamat 23:1-44

  • Perayaan dan hari suci (1-44)

    • Sabat (3)

    • Paska (4, 5)

    • Perayaan Roti Tidak Beragi (6-8)

    • Mempersembahkan hasil pertama (9-14)

    • Perayaan Menuai (15-21)

    • Cara menuai hasil (22)

    • Perayaan Tiupan Trompet (23-25)

    • Hari Pengampunan Dosa (26-32)

    • Perayaan Pondok Daun (33-43)

23  Yehuwa berfirman kepada Musa,  “Beritahulah orang Israel, ‘Aku, Yehuwa, telah menetapkan perayaan-perayaan yang harus disambut.+ Perayaan-perayaan yang telah Aku tetapkan itu haruslah diisytiharkan+ sebagai masa untuk berkumpul dan beribadat kepada-Ku.  “‘Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat yang dikhaskan untuk berehat.+ Kamu harus berkumpul dan beribadat pada hari itu. Tidak kira di mana kamu tinggal, kamu tidak boleh bekerja pada hari itu, kerana hari itu ialah hari Sabat bagi Aku, Yehuwa.+  “‘Inilah perayaan-perayaan yang telah Aku, Yehuwa, tetapkan untuk diisytiharkan sebagai masa untuk berkumpul dan beribadat:  Perayaan Paska*+ bagi Aku, Yehuwa, harus disambut pada hari ke-14, bulan pertama,+ pada waktu senja.*  “‘Perayaan Roti Tidak Beragi bagi Aku, Yehuwa,+ akan bermula pada hari ke-15 bulan yang sama. Kamu harus memakan roti yang tidak beragi selama tujuh hari.+  Pada hari pertama, kamu mesti berkumpul dan beribadat.+ Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu.  Selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan korban yang dibakar dengan api untuk Aku, Yehuwa. Pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul dan beribadat. Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu.’”  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 10  “Beritahulah orang Israel, ‘Apabila kamu masuk ke tanah yang akan Aku berikan kepada kamu, lalu kamu menuai hasil tanaman kamu, kamu mesti membawa berkas barli yang pertama+ kepada imam.+ 11  Kemudian imam akan mengayunkan barli itu ke depan dan belakang sebagai korban untuk Aku, Yehuwa, supaya kamu mendapat perkenan-Ku. Imam harus mengayunkan barli itu sehari selepas hari Sabat. 12  Pada hari barli itu diayunkan, kamu mesti mempersembahkan seekor bebiri jantan sebagai korban bakar untuk Aku, Yehuwa. Bebiri itu haruslah berumur satu tahun dan tidak ada kecacatan. 13  Kamu juga mesti mempersembahkan dua persepuluh efa* tepung terbaik yang bercampur minyak sebagai korban bijirin untuk Aku, Yehuwa. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku. Selain itu, kamu mesti mempersembahkan satu perempat hin* wain sebagai korban wain. 14  Kamu tidak boleh memakan roti, biji-bijian yang sudah dipanggang, atau biji-bijian baharu, sebelum kamu mempersembahkan korban kepada Aku. Kamu dan keturunan kamu mesti sentiasa mematuhi perintah ini tidak kira di mana kamu tinggal. 15  “‘Sehari selepas hari Sabat, iaitu hari kamu membawa berkas barli untuk diayunkan sebagai korban kepada Aku, kamu mesti menghitung tujuh minggu*+ penuh. 16  Pada hari ke-50,+ iaitu sehari selepas hari Sabat yang ketujuh, kamu mesti mempersembahkan biji-bijian baharu sebagai korban kepada Aku, Yehuwa.+ 17  Kamu mesti membawa dua buku roti dari rumah kamu untuk diayunkan ke depan dan belakang sebagai korban kepada Aku. Roti itu harus dibuat daripada dua persepuluh efa tepung terbaik yang bercampur ragi.+ Persembahkanlah roti yang dibakar di dalam ketuhar itu sebagai hasil tanaman yang pertama kepada Aku, Yehuwa.+ 18  Bersama dengan roti itu, kamu mesti mempersembahkan tujuh ekor anak bebiri jantan yang berumur satu tahun, seekor lembu jantan, dan dua ekor bebiri jantan,+ sebagai korban bakar untuk Aku, Yehuwa. Semua binatang itu tidak boleh ada kecacatan. Persembahkanlah semua itu kepada Aku, Yehuwa, berserta dengan korban bijirin dan korban wain. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku. 19  Kamu juga mesti mempersembahkan seekor kambing sebagai korban dosa,+ dan dua ekor anak bebiri jantan yang berumur satu tahun sebagai korban pendamaian.+ 20  Kemudian imam akan mengambil dua ekor anak bebiri itu berserta roti yang dipersembahkan sebagai hasil tanaman pertama, lalu mengayunkan semua itu ke depan dan belakang sebagai korban untuk Aku, Yehuwa. Semua itu merupakan sesuatu yang suci bagi Aku, Yehuwa, dan akan menjadi milik imam.+ 21  Pada hari itu, kamu mesti membuat pengumuman+ bahawa semua orang harus berkumpul dan beribadat kepada-Ku. Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu. Kamu dan keturunan kamu mesti sentiasa mematuhi perintah ini tidak kira di mana kamu tinggal. 22  “‘Apabila kamu menuai hasil di ladang kamu, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang kamu sampai habis. Jangan kembali untuk mengumpulkan hasil tuaian yang tertinggal.+ Biarkanlah semua itu untuk orang miskin+ dan orang asing.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’” 23  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 24  “Beritahulah orang Israel, ‘Hari pertama bulan ketujuh mesti dirayakan dan dikhaskan sebagai hari untuk berehat daripada pekerjaan kamu. Ingatlah bahawa kamu mesti berkumpul dan beribadat kepada-Ku semasa kamu mendengar tiupan trompet.+ 25  Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu, dan kamu mesti mempersembahkan korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa.’” 26  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 27  “Hari ke-10 bulan ketujuh, merupakan Hari Pengampunan Dosa.+ Kamu semua mesti berkumpul dan beribadat kepada-Ku. Kamu mesti berdukacita atas dosa-dosa kamu+ dan mempersembahkan korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa. 28  Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu kerana pada hari itu, kamu akan memohon pengampunan dosa+ di hadapan Aku. Dengan demikian, kamu dapat berbaik semula dengan Aku, Yehuwa, Tuhan kamu. 29  Pada hari itu, sesiapa yang tidak berdukacita atas dosa-dosanya* mesti dihukum mati.+ 30  Aku akan membinasakan sesiapa sahaja yang bekerja pada hari itu. 31  Kamu dan keturunan kamu mesti sentiasa mematuhi perintah ini tidak kira di mana kamu tinggal. Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu. 32  Hari itu juga merupakan hari Sabat yang dikhaskan untuk berehat. Kamu mesti menyambut hari itu mulai dari saat matahari terbenam pada hari kesembilan bulan itu, sehingga matahari terbenam pada keesokan harinya. Kamu mesti berdukacita atas dosa-dosa kamu+ pada hari itu.” 33  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 34  “Beritahulah orang Israel, ‘Perayaan Pondok Daun bagi Aku, Yehuwa, akan bermula pada hari ke-15 bulan ketujuh. Kamu harus menyambut perayaan itu selama tujuh hari.+ 35  Pada hari pertama, kamu mesti berkumpul dan beribadat. Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu. 36  Selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa. Pada hari kelapan, kamu mesti berkumpul dan beribadat+ kerana hari itu merupakan hari perhimpunan yang suci. Pada hari itu, kamu tidak boleh bekerja dan kamu harus mempersembahkan korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa. 37  “‘Aku, Yehuwa, telah menetapkan perayaan-perayaan+ yang harus diisytiharkan sebagai masa untuk berkumpul dan beribadat kepada-Ku.+ Kamu mesti mempersembahkan korban bakar+ bersama korban bijirin+ dan korban wain+ menurut apa yang ditetapkan setiap hari sebagai korban yang dibakar untuk Aku, Yehuwa. 38  Korban-korban ini merupakan tambahan kepada apa yang biasanya dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa, pada hari Sabat.+ Korban-korban ini juga merupakan tambahan kepada korban sukarela,+ korban untuk menunaikan ikrar,+ dan korban-korban lain+ yang diberikan kepada Aku, Yehuwa. 39  Pada hari ke-15, bulan ketujuh, setelah kamu habis menuai hasil tanaman kamu, sambutlah perayaan bagi Aku, Yehuwa, selama tujuh hari.+ Hari pertama dan hari kelapan merupakan hari yang dikhaskan untuk berehat.+ 40  Pada hari pertama, kumpulkanlah buah-buahan yang terbaik, daun-daun pokok palma,+ dahan-dahan pokok rimbun, dan dahan-dahan pokok poplar dari lembah,* lalu bersukacitalah+ di hadapan Aku selama tujuh hari.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. 41  Sambutlah perayaan itu selama tujuh hari setiap tahun+ untuk menghormati Aku, Yehuwa. Kamu dan keturunan kamu harus sentiasa mematuhi peraturan untuk menyambut perayaan itu pada bulan ketujuh. 42  Kamu harus tinggal di dalam pondok-pondok selama tujuh hari.+ Ya, semua orang Israel harus tinggal di dalam pondok. 43  Dengan demikian, keturunan kamu akan tahu+ bahawa Aku telah menyuruh kamu tinggal di dalam pondok semasa Aku membawa kamu keluar dari Mesir.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’” 44  Maka Musa memberitahu umat Israel tentang perayaan-perayaan yang telah ditetapkan oleh Yehuwa.

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.
Dua persepuluh efa = 4.4 L.
1 hin = 3.67 L.
Harfiah, “tujuh Sabat.”
Atau mungkin, “sesiapa yang tidak berpuasa.”
Atau “wadi.”