Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Surat kepada Orang Ibrani 4:1-16

RANGKA KANDUNGAN

  • “Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku” (1-10)

  • Berusahalah untuk menikmati hari rehat Tuhan (11-13)

    • Firman Tuhan hidup (12)

  • Yesus, imam agung yang mulia (14-16)

4  Oleh itu, memandangkan Tuhan berjanji bahawa kita masih dapat menikmati hari rehat-Nya, kita patut berwaspada agar tidak ada seorang pun antara kita yang dianggap tidak layak untuk mendapat janji itu.+  Berita baik yang telah diisytiharkan kepada nenek moyang kita juga diisytiharkan kepada kita.+ Tetapi perkhabaran yang didengari mereka tidak mendatangkan manfaat kepada mereka, kerana mereka tidak memiliki iman yang sama dengan iman orang yang patuh.  Bagi kita yang beriman, kita akan menikmati hari rehat-Nya. Tetapi bagi mereka yang ingkar, Tuhan pernah berfirman, “Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.’”+ Tuhan berfirman demikian walaupun kerja-Nya sudah selesai sejak dunia diasaskan.*+  Dalam salah satu ayat, Dia berfirman tentang hari ketujuh seperti berikut: “Tuhan berehat daripada semua kerja-Nya pada hari ketujuh.”+  Dia berfirman lagi, “Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.”+  Mereka yang mula-mula mendengar berita baik yang diisytiharkan tidak dapat menikmati hari rehat Tuhan kerana mereka ingkar.+ Namun demikian, sesetengah orang masih dapat menikmati hari rehat Tuhan.  Itulah sebabnya setelah sekian lama, Tuhan berfirman dalam mazmur Daud, seperti yang pernah dinyatakan dalam surat ini, “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Ku, janganlah keraskan hati kamu.” Dengan demikian, sekali lagi, Dia menetapkan satu hari yang disebut “Hari Ini.”+  Sekiranya Yosua+ sudah memimpin mereka ke suatu tempat rehat, maka Tuhan tidak perlu lagi menyebut tentang suatu hari yang lain.  Oleh itu, umat Tuhan masih berpeluang menikmati hari rehat seperti hari Sabat.+ 10  Hal itu demikian kerana sesiapa yang menikmati hari rehat Tuhan telah berehat daripada kerja sendiri, sebagaimana Tuhan sudah berehat daripada kerja-Nya.+ 11  Oleh itu, marilah kita berusaha sedaya upaya untuk menikmati hari rehat itu, agar tidak ada seorang pun yang menjadi ingkar seperti mereka.+ 12  Firman Tuhan itu hidup, berkuasa,+ dan lebih tajam daripada mana-mana pedang bermata dua.+ Firman Tuhan dapat menusuk dan memisahkan rupa luar seseorang daripada apa yang ada dalam hatinya. Firman Tuhan juga dapat menusuk dan memisahkan sendi-sendi daripada tulang sumsum, dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang. 13  Tidak ada satu ciptaan pun yang tersembunyi daripada pandangan Tuhan.+ Segala sesuatu jelas kelihatan dan terdedah di mata-Nya, dan kita mesti memberikan pertanggungjawaban kepada-Nya.+ 14  Memandangkan kita mempunyai seorang imam agung yang mulia, yang sudah pergi ke syurga, iaitu Yesus, Anak Tuhan,+ marilah kita terus mengisytiharkan bahawa kita beriman kepadanya.+ 15  Hal itu demikian kerana imam agung kita bukanlah imam agung yang tidak dapat bersimpati terhadap kelemahan kita.+ Sebaliknya kita mempunyai imam agung yang telah diuji dalam segala hal seperti kita, tetapi dia tidak mempunyai dosa.+ 16  Oleh itu, marilah kita menghadap takhta Tuhan, iaitu Dia yang mengurniakan kebaikan hati yang unggul, dan berdoa kepada-Nya dengan berani.*+ Dengan demikian, kita dapat menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa kita memerlukan bantuan.

Nota Kaki

Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”