Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Hakim-Hakim 11:1-40

RANGKA KANDUNGAN

  • Hakim Yefta diusir, kemudian menjadi pemimpin (1-11)

  • Yefta berunding dengan raja Ammon (12-28)

  • Ikrar Yefta; anak perempuannya (29-40)

    • Anak perempuannya tidak berkahwin (38-40)

11  Yefta,+ orang Gilead, ialah seorang pahlawan yang gagah. Dahulu ibunya seorang pelacur dan bapanya bernama Gilead.  Isteri Gilead juga melahirkan beberapa orang anak lelaki. Apabila mereka dewasa, mereka mengusir Yefta dan berkata kepadanya, “Kamu tidak akan mendapat warisan daripada keluarga ayah kami, kerana kamu anak daripada perempuan lain.”  Maka Yefta melarikan diri daripada saudara-saudaranya dan menetap di tanah Tob. Di situ, orang yang menganggur menyertai Yefta dan pergi menyerang musuh bersama-samanya.  Beberapa lama kemudian, orang Ammon berperang melawan orang Israel.+  Ketika orang Israel diserang oleh orang Ammon, para pemimpin Gilead segera pergi menjemput Yefta kembali dari tanah Tob.  Mereka berkata kepada Yefta, “Jadilah ketua tentera kami, supaya kami dapat melawan orang Ammon.”  Tetapi Yefta berkata kepada pemimpin-pemimpin Gilead, “Tidakkah kamu begitu membenci aku dahulu sehingga mengusir aku dari rumah bapaku?+ Mengapakah kamu datang kepada aku sekarang semasa kamu menghadapi kesusahan?”  Para pemimpin Gilead menjawab, “Memang betul. Tetapi sekarang kami kembali kepadamu kerana kami ingin menjemput kamu pergi bersama kami untuk melawan orang Ammon. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menjadi pemimpin semua penduduk Gilead.”+  Yefta berkata kepada para pemimpin Gilead, “Jika kamu membawa aku pulang untuk melawan orang Ammon, dan jika Yehuwa mengalahkan mereka untukku, maka aku akan menjadi pemimpin kamu!” 10  Para pemimpin Gilead berkata kepada Yefta, “Biarlah Yehuwa yang menjadi saksi* antara kita jika kami tidak melakukan apa yang kamu katakan.” 11  Oleh itu, Yefta pergi bersama-sama para pemimpin Gilead. Kemudian, dia dijadikan pemimpin dan ketua tentera mereka. Yefta mengulangi segala syaratnya di hadapan Yehuwa di Mizpa.+ 12  Selepas itu Yefta mengutus orang kepada raja Ammon+ untuk bertanya, “Mengapakah tuanku memusuhi hamba dan datang untuk menyerang negeri hamba?” 13  Raja Ammon berkata kepada utusan-utusan Yefta, “Beta menyerang kamu kerana semasa umat Israel keluar dari Mesir,+ mereka telah mengambil tanah beta, dari Lembah Arnon+ sampai ke Lembah Yabok dan Sungai Yordan.+ Sekarang kembalikanlah tanah itu secara damai.” 14  Yefta mengutus orang lagi kepada raja Ammon 15  untuk berkata kepadanya, “Inilah yang dikatakan oleh Yefta: ‘Orang Israel tidak mengambil negeri Moab+ ataupun negeri Ammon.+ 16  Semasa orang Israel keluar dari Mesir, mereka pergi ke Laut Merah+ melalui padang belantara lalu tiba di Kades.+ 17  Kemudian orang Israel menghantar utusan kepada raja Edom+ dan berkata kepadanya, “Izinkanlah kami melalui negeri tuan,” tetapi raja Edom menolak permintaan mereka. Mereka juga menghantar utusan kepada raja Moab,+ tetapi raja itu pun tidak bersetuju. Oleh itu, orang Israel terus tinggal di Kades.+ 18  Apabila mereka meneruskan perjalanan di padang belantara, mereka tidak melalui negeri Edom+ dan negeri Moab.+ Mereka pergi ke sebelah timur negeri Moab dan berkhemah di daerah Lembah Arnon. Mereka tidak memasuki negeri Moab, kerana Lembah Arnon ialah sempadan kawasan Moab.+ 19  “‘Selepas itu orang Israel menghantar utusan kepada Sihon, iaitu raja orang Amori yang memerintah di Hesybon. Orang Israel berkata kepadanya, “Izinkanlah kami melalui negeri tuan, kerana kami hendak pergi ke tanah kami sendiri.”+ 20  Tetapi Sihon tidak mempercayai orang Israel dan tidak mengizinkan mereka melalui negerinya. Sihon bahkan mengumpulkan seluruh angkatan tenteranya lalu mereka berkhemah di Yahas. Apabila mereka berperang melawan orang Israel,+ 21  Yehuwa, Tuhan orang Israel, menyerahkan Sihon dan seluruh tenteranya ke dalam tangan orang Israel. Orang Israel mengalahkan mereka dan menawan semua tempat yang didiami oleh orang Amori di kawasan itu.+ 22  Demikianlah orang Israel mengambil semua negeri orang Amori, dari Lembah Arnon hingga Lembah Yabok, dan dari padang belantara hingga Sungai Yordan.+ 23  “‘Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah mengusir orang Amori dari hadapan umat-Nya, orang Israel.+ Adakah tuan ingin mengusir umat ini sekarang? 24  Tidakkah tuanku mengambil semua tanah yang diberikan oleh Kamos, tuhan tuanku?+ Demikian juga, kami akan mengambil tanah sesiapa sahaja yang telah diusir oleh Yehuwa, Tuhan kami, dari hadapan kami.+ 25  Adakah tuanku lebih baik daripada Balak+ anak Zipor, iaitu raja Moab? Pernahkah dia bersengketa dengan orang Israel atau berperang melawan mereka? 26  Selama 300 tahun orang Israel telah menduduki Hesybon dan pekan-pekan di sekelilingnya,+ Aroer dan pekan-pekan di sekelilingnya, serta semua kota yang terletak di pinggir Lembah Arnon. Mengapakah tuanku tidak pernah merebutnya selama itu?+ 27  Hamba tidak berdosa terhadap tuanku. Sebaliknya, tuankulah yang bersalah kerana menyerang hamba. Biarlah Yehuwa yang menjadi Hakim+ pada hari ini untuk mengadili persengketaan antara orang Israel dengan orang Ammon.’” 28  Tetapi raja Ammon tidak menghiraukan pesan yang dikirim oleh Yefta kepadanya. 29  Kuasa suci Yehuwa dicurahkan ke atas Yefta.+ Kemudian dia menjelajahi negeri Gilead dan Manasye lalu tiba di Mizpe di Gilead.+ Dari sana, dia meneruskan perjalanannya ke negeri orang Ammon. 30  Kemudian, Yefta berikrar+ dan berkata kepada Yehuwa, “Jika Engkau menyerahkan orang Ammon ke dalam tanganku, 31  aku akan memberikan kepada Yehuwa orang yang pertama-tama keluar dari rumahku untuk menyambutku apabila aku kembali dengan selamat dari negeri orang Ammon.+ Aku akan mempersembahkan orang itu sebagai korban bakar.”+ 32  Kemudian Yefta pergi melawan orang Ammon dan Yehuwa menyerahkan mereka ke dalam tangannya. 33  Yefta memerangi mereka habis-habisan dari Aroer sampai ke Minit. Dia menakluki 20 buah kota dan membunuh banyak sekali orang Ammon sampai ke Abel-keramim. Demikianlah orang Ammon dikalahkan oleh orang Israel. 34  Apabila Yefta kembali ke rumahnya di Mizpa,+ anak perempuannya keluar untuk menyambutnya sambil menari dan memukul tamborin. Dia merupakan anak tunggal Yefta. Selain dia, Yefta tidak mempunyai anak lelaki atau anak perempuan yang lain. 35  Apabila Yefta nampak anaknya, dia mengoyakkan pakaiannya lalu berkata, “Aduhai anakku! Hancurlah hatiku! Kamulah yang harus aku usir dari sini. Aku telah berjanji kepada Yehuwa dan aku tidak dapat memungkiri janjiku.”+ 36  Anaknya berkata kepadanya, “Jika ayah telah berjanji kepada Yehuwa, lakukanlah kepada saya sepertimana yang telah ayah janjikan,+ kerana Yehuwa telah membolehkan ayah membalas dendam terhadap orang Ammon, musuh ayah itu.” 37  Anaknya berkata lagi, “Saya cuma mohon satu perkara: Berilah saya masa dua bulan supaya saya dapat pergi ke kawasan pergunungan. Biarlah saya bersedih bersama sahabat-sahabat saya kerana saya tidak akan berkahwin seumur hidup.” 38  Bapanya berkata, “Pergilah.” Maka dia dibenarkan pergi selama dua bulan. Dia pergi ke kawasan pergunungan bersama sahabat-sahabatnya untuk bersedih kerana dia tidak akan berkahwin seumur hidup. 39  Selepas dua bulan, dia kembali kepada bapanya, lalu bapanya menunaikan ikrar yang dibuat mengenainya.+ Seumur hidupnya, dia tidak melakukan hubungan dengan mana-mana lelaki. Sejak itu, terdapat satu adat* di Israel, iaitu 40  setiap tahun, gadis-gadis Israel akan meluangkan masa selama empat hari untuk melawat anak perempuan Yefta, orang Gilead itu, dan memujinya.

Nota Kaki

Harfiah, “pendengar.”
Atau “peraturan.”