Surat kepada Sidang di Filipi 3:1-21

  • Tidak menaruh keyakinan kepada perkara jasmani (1-11)

    • Kerana Kristus, semua hal merugikan (7-9)

  • Berusaha dengan gigih untuk mencapai matlamat (12-21)

    • Kewarganegaraan di syurga (20)

3  Akhirnya saudara-saudaraku, teruslah bersukacita kerana Tuan kita.+ Aku tidak keberatan untuk menulis tentang perkara-perkara yang sama kepada kamu, dan hal itu adalah untuk keselamatan kamu.  Berwaspadalah terhadap anjing-anjing;* berwaspadalah terhadap orang yang berbuat jahat; berwaspadalah terhadap mereka yang mendesak orang agar disunat.*+  Hal ini demikian kerana kita sudah menerima sunat yang sejati.+ Kitalah orang yang bergantung pada kuasa suci Tuhan untuk menjalankan khidmat suci, yang berbangga kerana Kristus Yesus,+ dan yang tidak menaruh keyakinan kepada perkara-perkara jasmani.  Sebenarnya, berbanding dengan orang lain, aku mempunyai alasan yang lebih baik untuk menaruh keyakinan kepada perkara-perkara jasmani. Jika ada sesiapa yang berfikir bahawa dia mempunyai alasan untuk menaruh keyakinan kepada perkara-perkara jasmani, aku mempunyai alasan yang lebih baik:  Aku disunat pada hari kelapan,+ aku merupakan keturunan Israel daripada suku Benyamin, dan aku ialah orang Ibrani yang dilahirkan oleh orang Ibrani;+ aku ialah orang Farisi+ yang berpaut pada hukum;  aku menganiaya sidang dengan penuh semangat;+ aku sangat teliti semasa melakukan apa sahaja yang benar di sisi hukum.  Tetapi kerana Kristus, perkara-perkara yang dahulunya menguntungkan bagiku kini aku anggap merugikan.*+  Sesungguhnya aku juga menganggap bahawa semua hal merugikan, kerana pengetahuan tentang Tuanku, iaitu Kristus Yesus, jauh lebih bernilai. Deminya, aku sanggup meninggalkan segala-galanya dan menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku dapat memperoleh Kristus  dan didapati bersatu dengannya sebagai orang yang diperkenankan Tuhan. Aku diperkenankan Tuhan kerana aku beriman+ kepada Kristus,+ bukannya kerana aku mematuhi Hukum.+ 10  Inilah matlamatku: Aku ingin mengenal Kristus, mengetahui kuasa yang membangkitkannya,+ menderita sepertinya,+ dan membiarkan diriku menjadi seperti dia dalam hal kematiannya.+ 11  Aku berbuat demikian dengan bersungguh-sungguh agar aku berpeluang untuk menerima pembangkitan* yang lebih awal.+ 12  Aku tidak bermaksud bahawa aku sudah menerima hadiah itu atau bahawa aku sudah menjadi sempurna. Kristus Yesus telah memilih aku untuk menerima hadiah itu,+ dan aku masih berusaha dengan bersungguh-sungguh+ agar aku dapat memperolehnya. 13  Saudara-saudara, aku tidak menganggap bahawa aku sudah memperoleh hadiah itu. Tetapi ada satu perkara yang aku lakukan: Melupakan perkara yang di belakang+ dan berusaha dengan gigih untuk mencapai perkara yang di hadapan.+ 14  Tuhan sudah memanggil aku melalui Kristus Yesus untuk menerima kehidupan di syurga,+ dan aku sedang berlari ke arah tujuanku, iaitu untuk menerima hadiah itu.+ 15  Oleh itu, hendaklah sesiapa sahaja yang matang+ antara kita menunjukkan sikap dan pemikiran sebegitu. Jika fikiran kamu menghala kepada mana-mana kecenderungan yang lain, Tuhan akan menyingkapkan sikap yang betul kepada kamu. 16  Walau bagaimanapun, tidak kira apa tahap kemajuan kita, marilah kita terus maju dengan cara yang sama. 17  Saudara-saudara, hendaklah kamu semua mengikut teladanku.+ Teruslah memperhatikan orang yang hidup menurut teladan kami. 18  Hal ini demikian kerana ada ramai orang yang sering aku sebutkan dahulu kini hidup sebagai musuh kepada tiang seksaan* Kristus. Maka sekarang aku menyebut tentang mereka dengan air mata yang berlinangan. 19  Mereka bertuhankan perut sendiri, mereka bangga akan hal-hal yang seharusnya memalukan, dan fikiran mereka hanya tertumpu kepada hal-hal duniawi.+ Kesudahan mereka ialah kemusnahan. 20  Namun kewarganegaraan kita+ di syurga,+ dan kita sedang menanti-nantikan penyelamat kita, iaitu Tuan Yesus Kristus,+ yang berada di syurga. 21  Dengan kuasanya yang besar, dia akan mengubah tubuh kita yang lemah ini menjadi seperti tubuhnya yang mulia,+ dan dia akan menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya.+

Nota Kaki

Iaitu, orang yang jahat dan tidak bermoral.
Atau “yang mencederakan anggota tubuh.”
Atau mungkin, “aku tinggalkan dengan rela hati.”
Harfiah, “pembangkitan daripada kematian.”
Lihat Kamus.