Surat kepada Sidang di Efesus 2:1-22

  • Dihidupkan bersama Kristus (1-10)

  • Tembok pemisah dirobohkan (11-22)

2  Tuhan telah menghidupkan kamu walaupun kamu sudah mati kerana dosa dan kesalahan kamu.+  Suatu ketika dahulu, kamu berjalan mengikut sistem* dunia ini+ dan mengikut pemerintah yang berkuasa atas udara,+ iaitu kecenderungan mental*+ yang sedang menguasai orang yang ingkar.  Sebenarnya kita semua pernah hidup menurut keinginan tubuh yang berdosa+ dan melakukan hal-hal berdosa yang diingini tubuh dan fikiran kita.+ Seperti orang lain, kita merupakan anak-anak yang membangkitkan kemurkaan Tuhan+ sejak lahir.  Tetapi Tuhan yang berlimpah-limpah dengan belas kasihan+ telah menunjukkan kasih-Nya yang mendalam terhadap kita+  dengan menghidupkan kita bersama Kristus, walaupun kita sudah mati kerana dosa.+ Sebenarnya, kamu diselamatkan melalui kebaikan hati-Nya yang unggul.  Memandangkan kita bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan telah menghidupkan kita bersamanya dan memberi kita tempat duduk di syurga bersamanya.+  Dengan demikian, dalam sistem-sistem dunia* yang akan datang, kebaikan hati Tuhan yang tidak terhingga dinyatakan melalui hal-hal baik yang akan dilakukan-Nya bagi kita yang bersatu dengan Kristus Yesus.  Melalui kebaikan hati Tuhan yang unggul, kamu telah diselamatkan kerana kamu beriman.+ Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, tetapi merupakan kurniaan Tuhan.  Penyelamatan itu bukan hasil perbuatan kamu.+ Oleh itu, tidak ada seorang pun yang mempunyai alasan untuk bercakap besar. 10  Kita ciptaan* Tuhan, dan kita diciptakan+ supaya kita bersatu dengan Kristus Yesus+ untuk melakukan perbuatan yang baik, yang sudah ditetapkan Tuhan terlebih dahulu untuk kita lakukan. 11  Oleh itu, ingatlah bahawa pada suatu ketika dahulu, sebagai orang daripada keturunan bangsa-bangsa lain, kamu dipanggil “orang yang tidak bersunat” oleh “orang yang bersunat,” iaitu mereka yang disunat oleh manusia. 12  Pada masa itu, kamu tidak mengenal Kristus. Kamu terasing daripada bangsa Israel. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian-perjanjian yang dibuat berdasarkan janji Tuhan.+ Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Tuhan.+ 13  Namun sekarang, kerana kamu bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Tuhan dapat mendekati Tuhan melalui darah Kristus. 14  Kristuslah yang membawa kedamaian untuk kita.+ Dia telah menyatukan dua kumpulan itu+ dan merobohkan tembok yang memisahkan mereka.+ 15  Dia telah mengorbankan tubuhnya untuk memansuhkan Hukum yang mengandungi perintah-perintah, yang menyebabkan permusuhan antara dua kumpulan itu. Dengan berbuat demikian, dia mendatangkan kedamaian dan menjadikan dua kumpulan itu satu umat*+ baharu yang bersatu dengannya. 16  Melalui tiang seksaan,*+ Kristus menjadikan dua kumpulan itu satu tubuh dan membantu mereka berbaik semula dengan Tuhan. Melalui kematiannya, dia telah melenyapkan permusuhan mereka.+ 17  Dia telah datang dan mengisytiharkan berita baik tentang kedamaian kepada kamu yang jauh daripada Tuhan, dan kepada orang yang dekat dengan Tuhan. 18  Melalui dia, kita semua, iaitu orang daripada kedua-dua kumpulan itu, dapat menghadap Bapa kita tanpa halangan kerana kita semua menerima kuasa suci yang sama. 19  Oleh itu kamu bukan lagi orang asing.+ Kamu memegang kerakyatan+ yang juga dimiliki umat suci Tuhan, dan kamu ialah anggota keluarga Tuhan.+ 20  Kamu telah dibina seperti sebuah bangunan. Para rasul dan para nabi+ ialah asasnya, manakala Kristus Yesus ialah batu penjuru yang utama.+ 21  Seluruh bangunan itu, yang bersatu dengan Kristus dan yang semua bahagiannya dipersatukan dengan erat,+ sedang bertambah besar sehingga menjadi rumah suci bagi Yehuwa.*+ 22  Oleh sebab kamu bersatu dengan Kristus, kamu juga dibina bersama-sama orang lain untuk menjadi sebuah tempat yang didiami Tuhan menerusi kuasa suci-Nya.+

Nota Kaki

Atau “haluan.”
Lihat Kamus, “Roh.”
Atau “zaman-zaman.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “hasil karya.”
Harfiah, “satu insan.”
Lihat Kamus.