Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Daniel 9:1-27

RANGKA KANDUNGAN

  • Daniel berdoa dan mengakui dosa (1-19)

    • Yerusalem menjadi tempat terbiar selama 70 tahun (2)

  • Gabriel datang kepada Daniel (20-23)

  • Nubuat tentang 70 minggu (24-27)

    • Mesias muncul selepas 69 minggu (25)

    • Mesias akan dibunuh (26)

    • Kota dan tempat suci akan dimusnahkan (26)

9  Pada tahun pertama pemerintahan Darius+ anak Ahasweros, iaitu keturunan orang Media yang telah dilantik menjadi raja kerajaan Kasdim,+  ya, pada tahun pertama pemerintahannya, aku, Daniel, faham bahawa Yerusalem akan menjadi tempat terbiar+ selama 70 tahun.+ Aku mengetahui hal ini setelah mengkaji kitab-kitab* yang mengandungi firman Yehuwa kepada Nabi Yeremia.  Maka aku meminta bantuan daripada* Yehuwa, Tuhan yang benar. Aku berdoa kepada-Nya, berpuasa,+ memakai kain guni, dan menaburkan abu* pada diriku.  Aku berdoa kepada Yehuwa, Tuhanku, dan mengakui dosa bangsaku di hadapan-Nya. Aku berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan yang benar, Engkau Tuhan yang agung dan dihormati. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan menunjukkan kasih setia+ kepada orang yang mengasihi-Mu dan mematuhi hukum-Mu.+  Kami telah berdosa dan berbuat salah. Kami telah melakukan kejahatan dan memberontak terhadap-Mu.+ Kami telah menyimpang daripada hukum dan perintah-Mu.  Kami tidak mendengarkan para nabi, hamba-hamba-Mu itu,+ yang telah berucap demi nama-Mu kepada raja kami, para pemimpin kami, nenek moyang kami, dan seluruh bangsa negeri ini.  Ya Yehuwa, Engkau selalu berbuat baik, tetapi kami selalu mendatangkan malu kepada diri sendiri, seperti pada hari ini. Demikian juga semua orang Yehuda, penduduk Yerusalem, dan semua orang Israel yang Engkau cerai-beraikan ke negeri-negeri lain, baik yang dekat mahupun yang jauh, kerana mereka tidak setia kepada-Mu.+  “Kami berasa malu, ya Yehuwa, kerana kami, raja kami, para pemimpin kami, dan nenek moyang kami telah berdosa terhadap-Mu.  Ya Yehuwa, Engkau ialah Tuhan yang berbelas kasihan dan suka mengampuni+ walaupun kami telah memberontak terhadap-Mu.+ 10  Kami tidak mendengarkan suara-Mu, ya Yehuwa, Tuhan kami. Kami tidak mematuhi hukum yang Engkau berikan kepada kami melalui nabi-nabi-Mu.+ 11  Segenap bangsa Israel telah melanggar Hukum-Mu dan tidak mahu mendengarkan suara-Mu. Kami telah berdosa terhadap-Mu, ya Tuhan yang benar.+ Maka Engkau telah mendatangkan kutukan atas kami sesuai dengan sumpah-Mu yang terdapat dalam Hukum yang ditulis oleh Musa, hamba-Mu itu. 12  Engkau bertindak selaras dengan apa yang telah Engkau firmankan kepada kami+ dan kepada para pemerintah kami. Engkau mendatangkan malapetaka yang dahsyat atas kami. Di bawah langit ini, belum pernah ada malapetaka yang lebih teruk daripada apa yang telah berlaku kepada Yerusalem.+ 13  Semua malapetaka ini telah menimpa kami seperti apa yang tertulis dalam Hukum Musa.+ Walaupun semua ini berlaku, kami masih tidak berusaha menyenangkan hati-Mu, ya Yehuwa, Tuhan kami. Kami tidak bertaubat daripada dosa kami+ dan enggan mengakui bahawa Engkau sentiasa berpegang pada kata-kata-Mu.* 14  “Yehuwa, Engkau sentiasa peka, dan Engkau menjatuhkan hukuman atas kami kerana Engkau, Tuhan Yehuwa, benar dalam segala perbuatan-Mu. Walaupun begitu, kami masih tidak mematuhi-Mu.+ 15  “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau telah menyelamatkan umat-Mu dari Mesir dengan tangan-Mu yang perkasa,+ dan membuat nama-Mu nyata kepada semua orang sampai hari ini.+ Tetapi kami pula telah berdosa dan berbuat jahat. 16  Ya Yehuwa, Engkau selalu adil.+ Maka kami merayu agar Engkau tidak lagi marah dan murka terhadap kota-Mu Yerusalem, gunung suci-Mu. Dosa kami dan dosa nenek moyang kami telah menyebabkan Yerusalem dan umat-Mu dihina oleh orang di sekeliling kami.+ 17  Ya Tuhan kami, dengarlah doa dan rayuan hamba-Mu. Demi nama-Mu, ya Yehuwa, tunjukkanlah perkenan-Mu terhadap tempat suci-Mu+ yang terbiar.+ 18  Ya Tuhan, dengarlah dengan teliti! Bukalah mata-Mu dan lihatlah penderitaan kami, dan perhatikanlah kota yang dipanggil dengan nama-Mu. Kami merayu kepada-Mu bukan kerana kami baik, tetapi kerana Engkau penuh dengan belas kasihan.+ 19  Ya Yehuwa, dengarlah! Ya Yehuwa, ampunilah kami!+ Ya Yehuwa, perhatikanlah kami dan bertindaklah! Demi nama-Mu, ya Tuhanku, janganlah berlambat-lambat kerana kota ini dipanggil dengan nama-Mu dan umat ini menyandang nama-Mu.”+ 20  Sewaktu aku masih berdoa, dan mengakui dosaku dan dosa bangsaku Israel, serta meminta perkenan Yehuwa, Tuhanku, berkenaan gunung suci-Nya,+ 21  ya, sewaktu aku masih berdoa, seorang lelaki yang pernah aku nampak dalam penglihatan sebelum ini,+ datang kepadaku. Dialah Gabriel,+ dan dia datang kepadaku kira-kira pada waktu korban petang dipersembahkan. Aku berasa sangat letih pada masa itu. 22  Dia datang untuk memberi aku pengertian. Katanya, “Wahai Daniel, aku datang untuk memberimu pengertian dan pemahaman. 23  Apabila engkau mula berdoa, aku mendapat perintah, dan aku datang kepadamu kerana engkau sangat berharga di mata Tuhan.*+ Maka fikirkanlah apa yang akan aku beritahu engkau, dan fahamilah apa yang akan engkau lihat. 24  “Berkenaan bangsamu dan kota sucimu,+ jangka masa selama 70 minggu* telah ditetapkan untuk menghentikan salah laku, untuk melenyapkan dosa,+ untuk mengampunkan kesalahan,+ untuk menegakkan apa yang adil dan benar buat selama-lamanya,+ untuk memeterai penglihatan dan nubuat,+ dan untuk mentahbiskan Bilik Maha Suci.* 25  Engkau harus tahu dan faham bahawa dari waktu perintah dikeluarkan untuk memulihkan dan membina semula Yerusalem+ sehingga waktu kedatangan Pemimpin+ yang digelar Mesias,*+ jangka masanya ialah 7 minggu, dan juga 62 minggu.+ Yerusalem akan dipulihkan dan dibina semula, siap dengan dataran kota dan parit pertahanan, tetapi hal ini berlaku pada masa yang susah. 26  “Selepas 62 minggu, Mesias akan dibunuh,+ dan dia akan mati tanpa memiliki apa-apa.+ “Seorang pemimpin akan datang dengan tenteranya untuk memusnahkan kota ini dan tempat suci ini,+ seperti banjir yang membawa kemusnahan. Sampai akhir, akan ada peperangan. Seperti yang telah ditentukan oleh Tuhan, kemusnahan akan berlaku.+ 27  “Dia akan memastikan bahawa perjanjian berkuat kuasa selama satu minggu demi banyak orang, dan pada pertengahan minggu itu, dia akan menghentikan persembahan korban binatang dan pemberian hadiah.+ “Orang yang membawa kemusnahan+ akan datang dengan sayap benda-benda yang jijik, dan apa yang telah ditentukan oleh Tuhan akan terus melanda apa yang terbiar sehingga semuanya hancur.”

Nota Kaki

Iaitu, kitab-kitab suci.
Harfiah, “aku memalingkan mukaku kepada.”
Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.
Atau “Engkau setia.”
Atau “engkau amat dikasihi; engkau dipandang tinggi.”
1 minggu melambangkan 7 tahun.
Harfiah, “untuk mengurapi Yang Suci atas Segala yang Suci.” Nampaknya merujuk kepada tempat tinggal Tuhan di syurga.
Atau “Dia yang Terurap.”